BUSAN: Enam individu disahkan maut manakala 25 lagi tercedera dalam kebakaran yang berlaku di sebuah tapak pembinaan resort hotel di bandar pelabuhan Busan, Korea Selatan, menurut agensi bomba tempatan.
Seramai 14 orang diselamatkan menggunakan helikopter setelah mereka berlari ke atas bumbung untuk berlindung dalam kebakaran yang berlaku di kawasan pembinaan yang sedang giat dijalankan itu.
Menurut kenyataan dari Ibu Pejabat Bomba dan Bencana Busan, kira-kira 100 orang telah dipindahkan dari kawasan tapak pembinaan yang merangkumi tiga bangunan dengan 12 tingkat di atas tanah dan tiga tingkat di bawah tanah.
Sebahagian besar mangsa berjaya dipindahkan dengan selamat, namun kira-kira 25 orang dilaporkan mengalami kecederaan ringan.
Beberapa orang daripada mereka yang mengalami kecederaan ringan terhidu asap tebal akibat kebakaran tersebut.
Sumber daripada agensi bomba mengesahkan bahawa kebakaran dipercayai bermula daripada bahan penebat yang disimpan berdekatan dengan kawasan kolam renang tertutup di tingkat satu bangunan tersebut.
Bomba serta pasukan penyelamat bertungkus lumus untuk memadamkan api yang marak, namun keadaan semakin sukar disebabkan oleh saiz tapak pembinaan yang luas.
Presiden Sementara Korea Selatan, Choi Sang-mok, mengarahkan penggunaan segala sumber yang ada untuk memadamkan kebakaran tersebut.
“Kami akan memastikan segala usaha dilakukan untuk menyelamatkan mereka yang terlibat dan memadamkan api secepat mungkin,” katanya dalam satu kenyataan.
Pihak berkuasa masih meneruskan siasatan bagi mengenal pasti punca kebakaran yang meragut nyawa ini. - Agensi berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg