JAKARTA: Pendakwa tentera Indonesia pada 29 April mendakwa empat pegawai tentera atas dakwaan terlibat dalam serangan asid terhadap seorang aktivis hak asasi manusia yang lantang mengkritik peluasan peranan tentera dalam pentadbiran awam.

Empat pegawai itu berdepan pertuduhan melakukan serangan berat secara terancang mengikut Kanun Jenayah Indonesia, yang membawa hukuman maksimum penjara 12 tahun jika sabit kesalahan, menurut dokumen mahkamah.

Mangsa, Encik Andrie Yunus, ialah timbalan penyelaras Suruhanjaya untuk Orang Hilang dan Mangsa Keganasan (KontraS), sebuah kumpulan hak asasi manusia Indonesia.

Beliau mengalami kecederaan melecur pada kira-kira 20 peratus bahagian muka dan badannya selepas disimbah asid oleh penyerang yang menaiki motosikal pada 12 Mac lalu.

Serangan itu menyebabkan Encik Andrie mengalami parut kekal dan kerosakan serius pada mata kanannya.

Insiden berkenaan mencetuskan kecaman daripada pertubuhan tempatan dan antarabangsa.

Pendakwa tentera, Encik Mohammad Iswadi, memberitahu mahkamah tentera bahawa empat pegawai daripada unit perisikan tentera itu didakwa menyerang Encik Andrie kerana tersinggung dengan bantahan yang dilakukan aktivis berkenaan pada 2025 terhadap perubahan undang-undang yang membolehkan lebih ramai pegawai tentera dilantik ke jawatan awam.

“Dengan kejadian itu, suspek menganggap Andrie Yunus telah menghina dan menginjak-injak tentera sebagai sebuah institusi,” kata Encik Mohammad Iswadi ketika prosiding mahkamah.

Beliau berkata tertuduh didakwa menggunakan campuran asid bateri kereta dan bahan penanggal karat dalam serangan terhadap Encik Andrie.

Reuters melaporkan pihaknya belum dapat menghubungi empat pegawai berkenaan atau wakil peguam mereka.

Keempat-empat tertuduh hadir di mahkamah, dengan pangkat mereka dilaporkan merangkumi pegawai berpangkat kapten dan anggota berpangkat sarjan.

Dalam siasatan berasingan, Suruhanjaya Nasional Hak Asasi Manusia Indonesia (Komnas HAM) berkata sekurang-kurangnya 14 individu dipercayai mempunyai kaitan dengan serangan tersebut.

Menurut Komnas HAM, serangan itu bukan sahaja mencederakan seorang aktivis, malah boleh menimbulkan ketakutan dalam kalangan orang awam untuk mengkritik pegawai pemerintah.

“Serangan itu boleh menyebabkan orang awam takut untuk mengkritik pegawai pemerintah,” menurut suruhanjaya berkenaan.

Komnas HAM turut menyuarakan kebimbangan kerana kes Encik Andrie dikendalikan di mahkamah tentera.

Badan itu berkata proses tersebut menunjukkan kurangnya penyertaan awam dan boleh membawa kepada layanan yang lebih ringan terhadap pegawai terbabit.

Suruhanjaya itu turut menggesa polis menyiasat 10 lagi individu yang didakwa mempunyai kaitan dengan serangan tersebut dan membawa mereka ke mahkamah awam.

Kes itu berlaku ketika Indonesia terus berusaha mengukuhkan demokrasi dan tata kelola awamnya, termasuk dalam mengimbangi peranan institusi keselamatan dengan prinsip kebebasan bersuara.

Di bawah pentadbiran Presiden Prabowo Subianto, seorang mantan jeneral tentera, penglibatan tentera dalam sektor awam dan syarikat milik pemerintah turut menjadi perhatian, khususnya dalam memastikan setiap perluasan peranan itu kekal selaras dengan semak imbang demokrasi.

Tidak lama sebelum serangan itu, Encik Andrie dilaporkan merakam satu episod podcast mengenai peluasan kuasa tentera di Indonesia.

Encik Prabowo pada Mac lalu menyifatkan serangan terhadap Encik Andrie sebagai satu tindakan “keganasan” dan berjanji siasatan menyeluruh akan dijalankan. – Agensi berita.