JAKARTA: Sekurang-kurangnya 14 orang maut manakala 84 lagi cedera selepas sebuah tren komuter bertembung dengan tren jarak jauh di Bekasi, kawasan pinggir Jakarta, pada malam 27 April.

Kemalangan berlaku sekitar jam 8.52 malam berhampiran Stesen Bekasi Timur - laluan rel yang sibuk di kawasan metropolitan itu - melibatkan tren komuter (KRL) dan tren Argo Bromo Anggrek yang sedang dalam perjalanan dari Jakarta ke Surabaya, Jawa Timur.

Jurucakap syarikat kereta api milik negara, Kereta Api Indonesia (KAI), Cik Anna Purba, mengesahkan angka korban dalam kenyataan awal kepada media. “14 disahkan maut dan 84 cedera setakat ini,” katanya sambil menyatakan pasukan penyelamat sedang berusaha mengeluarkan dua orang yang masih terperangkap dalam keadaan hidup di dalam runtuhan gerabak.

Rakaman awal yang tular di media sosial menunjukkan kerosakan teruk pada beberapa gerabak, khususnya gerabak khas wanita, dengan penumpang dilihat terperangkap dan memberi isyarat meminta bantuan.

Pengurus perhubungan awam KAI Jakarta, Encik Franoto Wibowo, berkata operasi menyelamat masih giat dijalankan. “Setakat ini, KAI bersama pihak polis terus menjalankan operasi pemindahan mangsa dan memberikan bantuan di lokasi kejadian,” katanya.

“Kejadian ini menyebabkan beberapa penumpang cedera, dan beberapa mangsa dilaporkan terperangkap di dalam gerabak akibat hentakan kuat perlanggaran,” tambahnya.

Operasi menyelamat menjadi sukar kerana struktur gerabak yang remuk teruk, memaksa pasukan penyelamat memotong besi yang berpintal untuk mengeluarkan mangsa. Bekalan elektrik di laluan Cibitung–Bekasi Timur turut dihentikan sementara bagi memastikan keselamatan operasi.

Mangsa yang cedera dihantar ke beberapa hospital berhampiran, termasuk Hospital Daerah Bekasi, dengan unit kecemasan dilaporkan sesak.

Laporan awal menunjukkan ramai mangsa terdiri daripada wanita yang dalam perjalanan pulang dari tempat kerja, dengan sebahagian mengalami patah tulang.

Seorang mangsa terselamat, Cik Sausan Sarifah, 29 tahun, menceritakan detik cemas ketika kejadian.
“Saya fikir saya akan mati,” katanya dari katil hospital.

Menurutnya, tren yang dinaikinya berhenti di stesen sebelum dirempuh secara tiba-tiba. “Semuanya berlaku sangat pantas. Kami bersedia untuk turun, kemudian tiba-tiba terdengar bunyi kuat lokomotif,” katanya.

“Tiada masa untuk keluar. Semua orang bertindih antara satu sama lain. Saya tidak tahu keadaan orang di bawah saya.” Beliau berkata, beliau hampir lemas akibat himpitan penumpang.
“Syukur saya berada di atas, jadi dapat diselamatkan lebih awal,” katanya.

Menurut Encik Franoto, tren komuter dipercayai berhenti di landasan selepas dilanggar sebuah teksi di lintasan, sebelum dirempuh tren jarak jauh dari belakang. Ketua Polis Jakarta, Asep Edi Suheri, berkata tren jarak jauh itu melanggar gerabak terakhir tren komuter, iaitu gerabak khas wanita.

Semua mangsa berada dalam tren komuter, manakala kira-kira 240 penumpang tren jarak jauh berjaya dipindahkan dengan selamat.

Timbalan Speaker Dewan Perwakilan Rakyat Indonesia, Sufmi Dasco Ahmad, yang melawat lokasi kejadian, berkata jumlah korban mungkin meningkat. “Melihat kepada operasi pemindahan yang masih berjalan, jumlah mangsa berkemungkinan bertambah,” katanya kepada pemberita.

Pasukan penyelamat melibatkan tentera, bomba, agensi mencari dan menyelamat nasional serta Palang Merah Indonesia. Agensi mencari dan menyelamat Jakarta memaklumkan beberapa mangsa masih terperangkap dalam gerabak akibat impak perlanggaran yang kuat.

Seorang waris, Cik Eva Chairista, 39 tahun, berkata suasana di hospital sangat tegang apabila ramai mangsa dibawa masuk serentak. “Doktor minta kami bersabar kerana ada mangsa lain yang lebih parah daripada adik ipar saya,” katanya.

KAI memohon maaf atas kejadian itu dan menyatakan keutamaan kini adalah keselamatan serta rawatan mangsa.

Kemalangan pengangkutan bukan perkara luar biasa di Indonesia, sebuah negara kepulauan besar di mana bas, tren dan juga pesawat sering berusia dan kurang penyelenggaraan.

Kemalangan kereta api besar terakhir di Indonesia berlaku pada Januari 2024 di Jawa Barat, yang mengorbankan empat kakitangan dan mencederakan lebih 20 mangsa.

Pada 2015, 16 orang terbunuh apabila sebuah tren komuter merempuh sebuah van di lintasan jalan di Jakarta.