BANGKOK: Sejenis spesies baru dinosaur gergasi berleher panjang telah dikenal pasti oleh saintis daripada tulang-belulang yang digali di Thailand.

Nagatitan, dinosaur terbesar yang pernah ditemui di Asia Tenggara, mempunyai berat 27 tan - sebanyak sembilan gajah Asia dewasa - dan berukuran 27 meter (88 kaki) panjang, lebih panjang daripada diplodokus.

Ia tergolong dalam keluarga sauropod herbivor berleher panjang.

Sepasukan penyelidik dari United Kingdom dan Thailand mengenal pasti spesies tersebut daripada fosil yang ditemui di tepi sebuah kolam di timur laut Thailand sedekad yang lalu.

Mereka menyatakan penemuan itu memberi gambaran tentang bagaimana perubahan dalam keadaan iklim purba membolehkan dinosaur gergasi membiak.

Nama penuh dinosaur ini ialah Nagatitan chaiyaphumensis, dengan “naga” merujuk kepada seekor ular dalam cerita rakyat Asia Tenggara dan “titan” pula merujuk kepada dewa-dewa dalam mitologi Yunani.

Chaiyaphumensis pula bermaksud “Chaiyaphum”, tempat fosil-fosil itu ditemui.

Ia hidup antara 100 dengan 120 juta tahun lalu - sekitar 40 juta tahun lebih awal daripada tyrannosaurus rex - dan saiznya kira-kira dua kali ganda daripada haiwan itu.

Encik Thitiwoot Sethapanichsakul, seorang pelajar kedoktoran Thailand di Kolej Universiti London (UCL), merupakan penulis utama penyelidikan yang diterbitkan dalam jurnal Scientific Reports.

Beliau berkata para penyelidik merujuk nagatitan sebagai “titan terakhir” Thailand, kerana fosil-fosil tersebut ditemui dalam formasi batuan dinosaur termuda di negara itu.

“Jadi ini mungkin sauropod gergasi terakhir atau terbaru yang ditemui di Asia Tenggara,” katanya.

Encik Sethapanichsakul, yang mengaku dirinya sebagai “budak dinosaur” berkata penyelidikan itu juga “memenuhi impian zaman kanak-kanaknya untuk menamakan dinosaur”.

Nagatitan merupakan dinosaur ke-14 yang dinamakan di Thailand. Ahli paleontologi Dr Sita Manitkoon, dari Universiti Mahasarakham, berkata bahawa negaranya mempunyai kepelbagaian fosil dinosaur yang tinggi dan “mungkin ketiga paling banyak di Asia dari segi tinggalan dinosaur”.

Nagatitan berkeliaran di bumi apabila tahap karbon dioksida atmosfera planet ini meningkat selaras dengan suhu global yang tinggi.

Pengarang bersama penyelidikan itu, Profesor Paul Upchurch dari UCL, berkata keluarga dinosaur sauropod telah menjadi agak besar pada masa ini.

“Agak pelik juga sauropod dapat mengatasi keadaan suhu yang lebih tinggi”, kerana badan besar mengekalkan haba dan lebih sukar untuk sejuk. - Agensi berita