WASHINGTON: Bekas penasihat utama penyakit berjangkit Amerika Syarikat, Dr Anthony Fauci, enggan menjawab soalan dalam satu pendengaran Senat yang tegang selepas menggunakan hak di bawah Pindaan Kelima Perlembagaan Amerika Syarikat lebih 100 kali bagi mengelakkan dirinya daripada memberi keterangan yang mungkin boleh digunakan dalam pendakwaan jenayah.

Keputusan Dr Fauci itu mencetuskan konfrontasi baharu dengan Senator Republikan dari Kentucky, Rand Paul, yang sekian lama menuduh beliau menyembunyikan maklumat mengenai asal-usul Covid-19 dan mengelirukan Kongres berhubung pembiayaan penyelidikan virus di Wuhan, China.

Pendengaran hampir tiga jam di Jawatankuasa Keselamatan Dalam Negeri Senat itu berlangsung hanya beberapa hari selepas Encik Paul mendedahkan lebih 1,100 halaman diari harian Dr Fauci sepanjang pandemik, sekali gus menghidupkan semula perdebatan mengenai sama ada virus SARS-CoV-2 berpunca daripada haiwan atau terbocor dari sebuah makmal di Wuhan.

Dr Fauci, yang mengetuai Institut Nasional Alahan dan Penyakit Berjangkit (NIAID) selama hampir empat dekad sebelum bersara pada penghujung 2022, hadir selepas dipanggil secara rasmi oleh jawatankuasa itu.

Bagaimanapun, selepas memberikan kenyataan pembukaan ringkas, beliau enggan menjawab hampir semua soalan.

“Atas nasihat peguam, saya dengan hormat enggan menjawab berdasarkan hak saya di bawah Pindaan Kelima Perlembagaan,” katanya berulang kali sepanjang pendengaran.

Dr Fauci berkata beliau menghormati fungsi pengawasan Kongres dan mengingatkan bahawa sepanjang 38 tahun menerajui NIAID, beliau telah memberi keterangan lebih 200 kali kepada ahli Kongres daripada kedua-dua parti.

Namun beliau mendakwa siasatan kali ini bukan bertujuan mendapatkan kebenaran, sebaliknya untuk mencari alasan bagi mendakwa beliau.

“Melihat kepada obsesi Senator Paul untuk mendakwa saya, kenyataan fitnah yang berulang kali dibuat terhadap saya, serta tindakan beliau menyiarkan diari peribadi saya tanpa suntingan bagi memalukan dan menakut-nakutkan saya, saya hanya boleh menyimpulkan bahawa tujuan sebenar pendengaran ini ialah untuk memaksa saya mengatakan sesuatu yang boleh digunakan bagi memenuhi janji beliau untuk melihat saya dipenjarakan,” katanya.

Encik Paul bagaimanapun menegaskan Dr Fauci tidak boleh menggunakan pengampunan awal yang diberikan bekas Presiden Joe Biden sebagai alasan untuk terus berdiam diri.

Beliau mengumumkan jawatankuasa itu akan mengundi minggu depan sama ada Dr Fauci patut dikenakan tindakan menghina Kongres kerana enggan memberikan kerjasama.

“Rakyat Amerika berhak mendapat penjelasan dan juga permohonan maaf,” katanya.

Pertikaian antara kedua-dua tokoh itu sebenarnya sudah berlarutan sejak pandemik Covid-19 melanda dunia pada 2020.

Encik Paul mendakwa NIAID membiayai penyelidikan berisiko tinggi dikenali sebagai “gain-of-function”, iaitu pengubahsuaian virus bagi mengkaji cara ia berkembang dan berpotensi menjadi lebih berjangkit, di Wuhan yang didakwanya akhirnya menyebabkan virus itu terlepas dari makmal.

Penyelidikan gain-of-function melibatkan pengubahsuaian genetik virus bagi membantu saintis memahami bagaimana virus berkembang dan bagaimana wabak pada masa depan boleh dicegah.

Dr Fauci berkali-kali menafikan dakwaan bahawa agensinya membiayai penyelidikan sedemikian yang berkaitan dengan virus penyebab Covid-19.

Institut Kesihatan Nasional Amerika Syarikat (NIH) sebelum ini turut menjelaskan bahawa virus yang dikaji di makmal Wuhan melalui pembiayaan Amerika Syarikat berbeza daripada virus SARS-CoV-2 yang mencetuskan pandemik.

Namun Encik Paul berhujah bahawa definisi gain-of-function yang digunakan Dr Fauci terlalu sempit sehingga tidak menggambarkan risiko sebenar penyelidikan berkenaan.

“Kita bukan sedang berbahas mengenai istilah saintifik. Rakyat Amerika mahu tahu sama ada penyelidikan itu berbahaya atau tidak,” katanya.

Kontroversi itu kembali memuncak selepas Encik Paul mendedahkan kandungan diari Dr Fauci yang ditulis sepanjang pandemik.

Dalam catatan bertarikh 26 Januari 2020, Dr Fauci menulis bahawa beliau percaya Pasar Huanan di Wuhan bukan punca asal virus, sebaliknya hanya lokasi yang mempercepatkan penularannya.

“Kini kita tahu pasar itu bukan sumber asal, tetapi tempat yang mempercepat penyebaran virus. Walaupun begitu, virus itu tetap berpindah daripada haiwan kepada manusia di suatu tempat,” tulisnya.

Encik Paul mendakwa catatan itu menunjukkan Dr Fauci mengetahui lebih awal bahawa pasar berkenaan bukan lokasi asal virus, sekali gus bercanggah dengan gambaran yang diberikan kepada orang ramai.

Bagaimanapun, penyokong Dr Fauci menegaskan beliau pernah menyatakan perkara sama secara terbuka hanya beberapa minggu kemudian dalam satu temu bual media, sekali gus menolak dakwaan wujud percanggahan.

Diari itu turut menunjukkan bahawa pada peringkat awal pandemik, komuniti saintifik sendiri masih belum mencapai kata sepakat mengenai asal-usul virus.

Dalam satu catatan pada penghujung Januari 2020, Dr Fauci merekodkan bahawa beliau mengadakan perbincangan dengan 11 pakar virologi dan ahli biologi evolusi selepas beberapa saintis membangkitkan kemungkinan virus itu telah diubah suai di makmal.

Menurut catatan itu, hanya dua saintis yakin virus berkenaan muncul secara semula jadi, manakala selebihnya masih belum pasti.

Dr Fauci bagaimanapun tidak menyatakan pendirian peribadinya dalam perbincangan tersebut.

Walaupun selama bertahun-tahun teori kebocoran makmal dianggap sebagai teori konspirasi oleh ramai pegawai kesihatan awam, beberapa agensi perisikan Amerika Syarikat kini menganggap kebocoran makmal sebagai antara kemungkinan yang munasabah, walaupun bukti muktamad masih belum diperoleh.

Sejak Presiden Donald Trump kembali ke Rumah Putih pada Januari 2025, pentadbirannya turut memberi penekanan baharu kepada teori itu.

Laman web rasmi Covid.gov yang sebelum ini mempromosikan vaksin telah diubah kepada halaman yang memaparkan mesej besar bertulis “LAB LEAK: The True Origins of Covid-19” (“KEBOCORAN MAKMAL: Asal Usul Sebenar Covid-19”).

Selain isu saintifik, diari Dr Fauci turut menarik perhatian kerana mengandungi pelbagai catatan peribadi mengenai kehidupannya sepanjang pandemik.

Beliau menulis bahawa dirinya menjadi antara individu paling terkenal di Amerika Syarikat ketika krisis Covid-19 memuncak dan merekodkan pertemuan dengan beberapa selebriti terkenal termasuk Julia Roberts, Barbra Streisand dan Joan Baez.

Dr Fauci turut menyifatkan Roberts sebagai “menawan, mesra dan sangat cantik”, manakala Baez menghadiahkan potret dirinya.

Encik Paul menggunakan catatan itu untuk menggambarkan Fauci sebagai terlalu memikirkan populariti ketika rakyat Amerika sedang berdepan kehilangan ahli keluarga akibat pandemik.

Malah Presiden Trump turut menyindir Dr Fauci dengan memuat naik semula rakaman lama yang menunjukkan beliau gagal melakukan lontaran pertama dalam satu perlawanan besbol sambil menyifatkannya sebagai “lontaran paling buruk” pernah dilihatnya.

Serangan terhadap Dr Fauci bagaimanapun mendapat tentangan daripada penyokong beliau.

Lebih 155 doktor, saintis dan pakar kesihatan awam menandatangani surat terbuka mempertahankan Dr Fauci serta mengecam apa yang disifatkan mereka sebagai serangan politik berterusan terhadap sains dan komuniti saintifik.

Beberapa Senator Demokrat turut menyifatkan pendengaran itu sebagai cubaan memerangkap Dr Fauci, sambil memuji lebih lima dekad khidmat beliau dalam menangani pelbagai krisis kesihatan termasuk AIDS, Ebola, antraks dan Covid-19.

Walaupun telah menerima pengampunan awal daripada Encik Biden sebelum meninggalkan jawatan, Dr Fauci masih boleh berdepan tindakan jika didapati memberi keterangan palsu di bawah sumpah.

Justeru, keputusan beliau menggunakan hak di bawah Pindaan Kelima dijangka terus mencetuskan perdebatan politik, selain menghidupkan semula kontroversi mengenai asal-usul pandemik Covid-19 yang sehingga kini masih belum mempunyai jawapan muktamad. - Agensi berita