BAITULMAKDIS: Dakwaan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, melakukan lawatan sulit ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) ketika perang Israel-Iran memuncak sekali lagi mendedahkan hubungan semakin rapat antara kedua-dua negara, walaupun ia terus menjadi isu sensitif di Asia Barat.

Pejabat Netanyahu pada 13 Mei mendakwa beliau telah mengadakan pertemuan rahsia dengan Presiden UAE, Mohamed bin Zayed Al Nahyan, semasa kempen ketenteraan Israel terhadap Iran awal tahun 2026 ini.

Menurut kenyataan itu, lawatan tersebut membawa kepada “kejayaan bersejarah” dalam hubungan antara Israel dan UAE.

Namun hanya beberapa jam selepas kenyataan itu dikeluarkan, Kementerian Luar UAE tampil menafikan lawatan tersebut pernah berlaku. Kerajaan UAE menegaskan laporan mengenai kunjungan Netanyahu atau penerimaan delegasi ketenteraan Israel adalah “tidak berasas”.

“UAE menjalankan hubungannya dengan Israel secara terbuka. Sebarang dakwaan mengenai lawatan yang tidak diumumkan atau pengaturan rahsia adalah tidak benar kecuali diumumkan secara rasmi oleh pihak berkuasa UAE,” menurut kenyataan itu.

Percanggahan kenyataan tersebut menyerlahkan betapa sensitifnya hubungan antara negara Arab dengan Israel, khususnya ketika kemarahan rakyat Arab terhadap perang di Gaza masih memuncak.

Walaupun UAE terus memperkukuh kerjasama keselamatan dengan Israel, sentimen awam di dunia Arab secara umumnya masih menolak hubungan rapat dengan negara itu.

Menurut laporan Reuters, Encik Netanyahu dikatakan bertemu Sheikh Mohamed selama beberapa jam di bandar Al Ain berhampiran sempadan Oman pada 26 Mac lalu. Bagaimanapun, pejabat Netanyahu tidak menjelaskan bila lawatan itu berlaku, bagaimana beliau memasuki UAE atau perbincangan sebenar yang diadakan.

Laporan media antarabangsa turut mendakwa ketua agensi perisikan Israel, Mossad, Encik David Barnea, melakukan sekurang-kurangnya dua lawatan ke UAE ketika perang Iran berlangsung bagi menyelaraskan operasi ketenteraan.

Hubungan UAE dan Israel semakin rapat sejak kedua-dua negara menandatangani Perjanjian Abraham pada 2020 yang memulihkan hubungan diplomatik mereka.

Sejak itu, pelabur dan pelancong Israel mula membanjiri Dubai, manakala syarikat teknologi dan tenaga kedua-dua negara turut menandatangani pelbagai kerjasama strategik.

Namun perang Iran-Israel dilihat mempercepatkan lagi hubungan keselamatan antara kedua-dua negara.
UAE menjadi negara Teluk yang paling banyak menerima serangan dron dan peluru berpandu Iran sejak konflik bermula pada 28 Februari lalu.

Serangan itu merosakkan kemudahan tenaga, lapangan terbang dan hotel selain mengorbankan sekurang-kurangnya 10 orang awam.

Iran pula memberi amaran keras terhadap mana-mana negara yang bekerjasama dengan Israel. Menteri Luar Iran, Encik Abbas Araghchi, menyifatkan kerjasama dengan Israel sebagai sesuatu yang “tidak boleh dimaafkan”. “Pihak yang bekerjasama dengan Israel akan dipertanggungjawabkan,” katanya dalam satu hantaran media sosial.

Walaupun tidak menamakan UAE secara langsung, kenyataan itu dilihat jelas ditujukan kepada Abu Dhabi.

Pada awal Mei lalu, Iran turut memberi amaran bahawa UAE akan menghadapi “akibat berbahaya” jika terus mengekalkan hubungan rapat dengan Israel dan Amerika Syarikat. Namun ancaman itu tidak menghalang hubungan kedua-dua negara daripada berkembang.

Duta Amerika Syarikat ke Israel, Encik Mike Huckabee, sebelum ini mengesahkan Israel telah menghantar sistem pertahanan udara Iron Dome ke UAE semasa perang berlangsung. Ia merupakan kali pertama sistem pertahanan Israel digunakan untuk melindungi sebuah negara Arab.

“Terdapat hubungan luar biasa antara UAE dan Israel,” kata Huckabee dalam satu persidangan di Tel Aviv.
Beliau turut memuji UAE sebagai negara pertama yang menyertai Perjanjian Abraham. “Lihat manfaat yang diperoleh UAE hasil hubungan ini,” katanya.

Laporan media turut mendakwa UAE secara rahsia melancarkan serangan sendiri terhadap Iran termasuk ke atas sebuah kilang penapisan minyak di Pulau Lavan pada April lalu sebagai tindak balas terhadap serangan Iran ke atas kemudahan minyak UAE. Namun setakat ini, UAE tidak mengesahkan dakwaan tersebut.

Pemerhati melihat perkembangan itu sebagai tanda perubahan besar dalam landskap politik Asia Barat apabila beberapa negara Arab mula melihat Israel sebagai rakan strategik keselamatan bagi menghadapi ancaman Iran.

Pada masa sama, UAE juga semakin berani membentuk dasar luar yang lebih bebas daripada pengaruh Arab Saudi.

Awal bulan Mei ini, UAE meninggalkan kumpulan pengeluar minyak Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Minyak (Opec) yang diterajui Arab Saudi, sekali gus melemahkan pengaruh organisasi itu dalam pasaran global.

Israel dan UAE juga dilihat semakin rapat dengan pentadbiran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, terutama selepas kerjasama mereka dalam konflik Iran. Namun hubungan itu turut mengundang kritikan antarabangsa.

Israel kini berdepan tuduhan melakukan genosid di Gaza, manakala Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap terhadap Encik Netanyahu dan bekas menteri pertahanannya, Encik Yoav Gallant.

UAE pula dituduh membiayai dan membekalkan senjata kepada kumpulan Pasukan Sokongan Pantas (RSF) separa tentera di Sudan yang didakwa terbabit dalam pelbagai kekejaman perang. Kerajaan UAE bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut.

Di sebalik penafian rasmi mengenai lawatan Netanyahu, pendedahan itu menunjukkan hubungan UAE-Israel kini bukan lagi sekadar hubungan diplomatik biasa, tetapi semakin menyerupai pakatan keselamatan serantau yang dibentuk atas kebimbangan bersama terhadap Iran. - Agensi berita