Topic followed successfully
Go to BHkuChiang Mai isytihar zon bencana kebakaran, risiko jerebu serantau meningkat
Chiang Mai isytihar zon bencana kebakaran, risiko jerebu serantau meningkat
Chiang Mai isytihar zon bencana kebakaran, risiko jerebu serantau meningkat
CHIANG MAI: Wilayah Chiang Mai di utara Thailand mengisytiharkan dua daerah sebagai zon bencana kebakaran hutan susulan keadaan kebakaran dan jerebu yang kain memburuk.
Pihak berkuasa wilayah menetapkan daerah Samoeng dan Hot sebagai kawasan terjejas serta zon bantuan kecemasan bagi mempercepat penyaluran pertolongan kepada penduduk.
Di Samoeng, pengisytiharan melibatkan empat daerah iaitu Samoeng Tai, Mae Sap, Samoeng Nuea dan Yang Moen, selepas kebakaran hutan terus merebak ke kawasan hutan dan masyarakat berhampiran.
Di daerah Hot pula, enam daerah termasuk Hang Dong, Ban Tan, Na Kho Ruea, Hot, Bo Luang dan Bo Sali, mengalami kerosakan harta benda akibat kebakaran yang sekali gus menjejas kehidupan penduduk.
Pihak berkuasa mengarahkan agensi kerajaan dan pihak pentadbiran tempatan agar segera menilai kerosakan serta menyalurkan bantuan kepada penduduk, termasuk sokongan kehidupan harian dan pemulihan bagi kawasan terjejas.
Pegawai turut memaklumkan pemantauan rapi sedang dijalankan kerana banyak kawasan masih berisiko tinggi mengalami kebakaran dan jerebu, yang boleh menjejas kesihatan awam serta kegiatan harian.
Dalam perkembangan berkaitan, jumlah tompok panas kebakaran di Indonesia dan Malaysia kini berada pada tahap tertinggi dalam tempoh tujuh tahun, sekali gus meningkatkan risiko jerebu teruk di rantau Asia Tenggara dalam beberapa bulan akan datang.
Menurut laporan Pusat Meteorologi Khas Asean, sebanyak 825 tompok panas dikesan pada Mac di kawasan utama penanaman kelapa sawit di kedua-dua negara.
Data tersebut diperoleh melalui imej satelit yang digunakan untuk mengenal pasti lokasi sebenar kebakaran.
Kebakaran dan jerebu berpotensi menjejas pelancongan, menyebabkan masalah pernafasan serta kerugian ekonomi yang besar.
Krisis paling teruk pernah berlaku pada 2015 apabila kebakaran berskala besar mencetuskan kecemasan jerebu serantau, mengakibatkan kerugian dianggar mencecah AS$16 bilion ($20.6 bilion), selain penutupan sekolah, gangguan penerbangan dan ketegangan diplomatik.
Peramal cuaca memberi amaran keadaan cuaca kering pada 2026 boleh mencetuskan keadaan serupa.
Di Malaysia, beberapa kawasan seperti utara Johor, Sarawak dan sebahagian Sabah mencatat taburan hujan lebih rendah daripada biasa sepanjang Mac.
Sarawak mencatat keadaan paling teruk, dengan kekurangan hujan sehingga 210 milimeter berbanding purata.
Indonesia turut mengalami kemarau, khususnya di Sumatera serta Kalimantan Barat dan Tengah, dengan keadaan kering dijangka berterusan dalam tempoh terdekat.
Kebakaran di kawasan tanah gambut menambah cabaran kepada usaha pemadaman kerana api boleh terus membara di bawah tanah selama berminggu-minggu.
Walaupun penggunaan api untuk pembersihan tanah dilarang, penguatkuasaan sukar dilakukan terutama ketika musim kering antara April dengan September.
Menurut ramalan, hujan dijangka rendah pada April di kebanyakan kawasan Malaysia dan sebahagian Kalimantan, sebelum meningkat pada Mei.
Namun, tempoh Jun hingga Ogos dijangka kembali kering di seluruh Asia Tenggara, sekali gus meningkatkan risiko kebakaran dan jerebu berpanjangan. – Agensi berita.

