Topic followed successfully
Go to BHkuBeza tarikh Lebaran di Indonesia peluang tingkat kefahaman amalan, hormat kepelbagaian
Beza tarikh Lebaran di Indonesia peluang tingkat kefahaman amalan, hormat kepelbagaian
Beza tarikh Lebaran di Indonesia peluang tingkat kefahaman amalan, hormat kepelbagaian
Kejadian Insiden melibatkan jemaah Muhammadiyah yang dihalang menunaikan solat Aidilfitri lebih awal di beberapa daerah mencetuskan perbincangan luas mengenai toleransi dan pengurusan perbezaan dalam masyarakat majmuk Indonesia.
Kes yang dilaporkan di Sukabumi di Jawa Barat, Sukoharjo di Jawa Tengah; dan Barru di Sulawesi Selatan pada 20 Mac itu berlaku apabila Muhammadiyah menetapkan 1 Syawal lebih awal berdasarkan kaedah hisab.
Ia berbeza dengan keputusan pemerintah yang menggunakan ‘rukyatul hilal’ – melihat anak bulan dengan mata – dan menetapkan Aidilfitri sehari kemudian.
Walaupun kejadian itu menerima kritikan daripada aktivis hak asasi, ia juga membuka ruang penting untuk menilai semula pendekatan terhadap kepelbagaian amalan dalam masyarakat.
Pengarah Eksekutif, Institut Maarif, Encik Andar Nubowo, menegaskan bahawa kebebasan beragama perlu dipelihara sebagai asas perpaduan negara.
“Kami mengecam segala bentuk larangan dan halangan terhadap pelaksanaan solat Aidilfitri oleh jemaah Muhammadiyah kerana ia bertentangan dengan perlembagaan dan nilai kemanusiaan,” katanya.
Beliau menyifatkan kejadian itu sebagai peringatan bahawa perlindungan terhadap hak beragama perlu diperkukuh.
Di peringkat tempatan, cabaran itu jelas kelihatan di Sukabumi apabila permohonan menggunakan Dataran Merdeka untuk solat Aidilfitri ditolak kerana tarikh rasmi belum diumum ketika itu.
Namun, jemaah tetap berjaya menunaikan solat di lokasi alternatif termasuk di kampus Universiti Muhammadiyah Sukabumi (UMMI) dengan kehadiran kira-kira 1,500 orang, mencerminkan keupayaan masyarakat menyesuaikan diri dalam keadaan mencabar.
“Kami kecewa, tetapi telah bersedia dengan pelan alternatif,” kata Ketua Muhammadiyah Sukabumi, Encik Ade Rahmatullah.
Keadaan serupa turut berlaku di Barru dan Sukoharjo, yang menyaksikan sekatan dikenakan atas alasan kesepakatan tempatan untuk menyelaraskan sambutan Aidilfitri mengikut keputusan pemerintah.
Namun begitu, reaksi daripada pimpinan Muhammadiyah sendiri menunjukkan pendekatan yang lebih sederhana dan membina.
Presidennya, Encik Haedar Nashir, menggesa semua pihak agar mengelakkan pertikaian dan menghormati perbezaan.
“Kita sudah biasa berbeza. Tidak perlu bertengkar untuk mempertahankan pendapat sendiri sambil menghukum pihak lain,” katanya.
Pandangan itu selari dengan kenyataan Pengarah Eksekutif, Institut Setara, Encik Halili Hasan, yang menegaskan bahawa perbezaan dalam menentukan Aidilfitri adalah perkara biasa dan sebahagian daripada kebebasan dalaman organisasi.
“Semua pihak perlu menghormati dan tidak campur tangan dalam amalan tersebut,” katanya.
Dalam masa sama, langkah pemimpin tempatan yang memohon maaf atas kejadian yang berlaku dilihat sebagai perkembangan positif, sekali gus menunjukkan kesediaan untuk memperbaiki keadaan dan mempertahankan prinsip kepelbagaian agama.
Isu itu turut dijangka berterusan dalam beberapa tahun akan datang susulan penggunaan kalendar Hijrah sejagat oleh Muhammadiyah, yang berpotensi menghasilkan perbezaan tarikh yang lebih kerap.
Namun, daripada sudut lebih luas, keadaan itu bukan sekadar konflik, malah, peluang untuk memperkukuh kefahaman antara anggota masyarakat.
Pendekatan yang lebih bersifat terangkum, komunikasi yang jelas serta penghormatan terhadap perbezaan dilihat sebagai kunci dalam memastikan perpaduan terus terpelihara.
Seperti yang ditegaskan oleh Setiausaha Muhammadiyah Sukabumi, Encik Yana Basori, perbezaan tidak seharusnya membawa kepada perpecahan.
“Kami tidak mahu terus bertelagah. Kami akan kekal dengan prinsip sambil terus mendidik masyarakat,” katanya.
Walaupun kejadian itu mencerminkan cabaran dalam mengurus kepelbagaian, reaksi daripada pelbagai pihak menunjukkan bahawa ruang dialog dan penambahbaikan masih terbuka – satu petanda positif bagi masa depan keharmonian masyarakat Indonesia.

