TEL AVIV: Ketua pembangkang Israel berhaluan tengah, Encik Yair Lapid, dan bekas perdana menteri berhaluan kanan, Encik Naftali Bennett, mengumumkan pada Ahad bahawa mereka akan bergabung dalam pilihan raya yang dijangka berlangsung hujung tahun ini, dalam usaha mencabar kepimpinan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu.

Kedua-dua tokoh itu berkata parti masing-masing, Yesh Atid dan Bennett 2026, akan disatukan di bawah satu parti baharu dikenali sebagai “Yachad”, yang bermaksud “bersama”, dengan Bennett sebagai pemimpin.

Mereka menyifatkan langkah itu sebagai usaha awal untuk memulihkan perpaduan negara yang dilihat semakin berpecah. “Ini adalah langkah pertama dalam proses menyatukan dan membaiki negara Israel,” kata mereka dalam satu sidang media bersama.

Penggabungan ini dilihat sebagai usaha menghidupkan semula kerjasama politik antara kedua-dua pemimpin yang pernah berjaya menyingkirkan Encik Netanyahu daripada tampuk kuasa lima tahun lalu.

Dalam sidang media yang disiarkan secara langsung, Encik Bennett dan Encik Lapid mengakui perbezaan ideologi antara mereka, namun menegaskan ia merupakan kekuatan, bukan kelemahan.
“Perpaduan yang kita tunjukkan adalah mesej kepada seluruh rakyat Israel,” kata Encik Bennett.

Encik Lapid pula menyifatkan V Bennett sebagai pemimpin kanan yang sederhana. “Beliau seorang tokoh kanan, tetapi seorang yang liberal, berintegriti dan menghormati undang-undang,” katanya.

Encik Netanyahu, yang merupakan perdana menteri paling lama berkhidmat dalam sejarah Israel, telah memimpin negara itu selama sebahagian besar daripada 17 tahun terakhir melalui parti Likud.

Selepas pilihan raya 2022, beliau membentuk gabungan pemerintah paling kanan dan konservatif dalam sejarah Israel, melibatkan parti sayap kanan ekstrem dan kumpulan agama ortodoks.

Walaupun Likud masih mendahului tinjauan dengan potensi memenangi lebih 25 kerusi daripada 120 kerusi Parlimen, sokongan terhadap gabungan pemerintah dilihat merosot sejak serangan Hamas pada Oktober 2023 yang mencetuskan perang berpanjangan di Gaza.

Ramai rakyat Israel menyuarakan kekecewaan terhadap kegagalan perisikan dan dasar pemerintah sebelum serangan itu, serta keengganan Encik Netanyahu mengambil tanggungjawab.

Encik Bennett berjanji bahawa jika beliau memimpin pemimpin, satu suruhanjaya siasatan bebas akan ditubuhkan segera. “Kami akan menubuhkan suruhanjaya siasatan bebas pada hari pertama,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa pemerintah di bawah pimpinannya tidak akan menyerahkan sebarang wilayah kepada musuh, satu kenyataan yang dilihat sebagai usaha menarik sokongan pengundi sayap kanan.

Gabungan Encik Lapid dan Encik Bennett dilihat sebagai strategi untuk menarik sokongan lebih luas, merangkumi pengundi tengah, liberal serta golongan kanan sederhana. Encik Lapid sebelum ini dilihat lemah dalam isu keselamatan, manakala Encik Bennett cuba menonjolkan imej pragmatik dan bersatu.

Dengan bergabung, kedua-duanya berharap dapat mengatasi kekuatan Likud dan membentuk pemerintah baharu. Dalam sistem politik Israel, parti yang memperoleh kerusi terbanyak dan berpotensi membentuk gabungan akan diberi peluang pertama untuk menubuhkan pemerintah.

Encik Lapid dan Encik Bennett bukanlah sekutu baharu. Mereka pernah bekerjasama dalam kerajaan campuran pada 2021 yang menghimpunkan lapan parti dengan ideologi berbeza, termasuk sokongan parti Arab, Raam.

Pemerintah tersebut digelar sebagai “pemerintah perubahan”, namun hanya bertahan selama setahun sebelum runtuh akibat perpecahan dalaman.

Encik Lapid kemudian berkhidmat sebagai perdana menteri sementara selama enam bulan sebelum pilihan raya 2022 yang membawa kembali Encik Netanyahu ke tampuk kuasa.

Sebagai tindak balas, Encik Netanyahu segera mengkritik gabungan Lapid-Bennett, khususnya hubungan mereka sebelum ini dengan pemimpin parti Raam, Encik Mansour Abbas.

Dalam satu hantaran media sosial, Encik Netanyahu memaparkan imej lama mereka bersama dengan kapsyen: “Mereka pernah melakukannya sebelum ini. Mereka akan melakukannya lagi.” Beliau turut menuduh parti Raam sebagai “penyokong keganasan”, satu tuduhan yang sering digunakan dalam kempen politiknya.

Pilihan raya akan datang, yang dijangka berlangsung selewat-lewatnya Oktober, dilihat sebagai penentu masa depan politik Israel.

Gabungan Lapid-Bennett berusaha memanfaatkan ketidakpuasan rakyat terhadap kerajaan sedia ada, sambil menawarkan naratif perpaduan dan perubahan. Namun, kejayaan mereka masih belum pasti, memandangkan landskap politik Israel yang kompleks dan berpecah. Apa yang jelas, pertandingan kali ini bukan sekadar perebutan kuasa, tetapi juga penentuan arah masa depan negara dalam menghadapi krisis dalaman dan konflik berterusan di rantau itu. - Agensi berita