BAITULMAKDIS: Pemerintah dari pelbagai negara dunia kini sibuk mengesan warga negara mereka yang masih berada di Israel, dan dalam beberapa kes, memindahkan mereka di tengah-tengah konflik yang semakin memuncak antara Israel dengan kumpulan militan Palestin, Hamas.
Terdapat laporan beberapa warga asing terbunuh atau dijadikan tebusan apabila pejuang Hamas menyusup masuk ke Semenanjung Gaza pada Sabtu dan mula menyerang sasaran di Israel terutamanya ketika satu pesta muzik berlangsung.
Kerajaan Thailand mendakwa 12 warganya telah terbunuh dan 11 lagi dijadikan tebusan oleh Hamas. Argentina mengesahkan empat rakyatnya terbunuh.
Manakala BBC melaporkan lebih 10 warga Britain dikhuatiri maut atau hilang, walaupun hanya dua kematian telah disahkan.
Dengan kebanyakan penerbangan masuk dan keluar dari lapangan terbang utama Israel dibatalkan, pemerintah beberapa negara telah mendapatkan khidmat penerbangan sewa untuk memindahkan warga negaranya yang ingin meninggalkan Israel.
Dalam pada itu, Hungary telah memindahkan 215 orang dari Israel dengan dua pesawat semalaman, dan mereka mendarat dengan selamat di Budapest, kata Menteri Luar Encik Peter Szijjarto, dalam hantaran Facebook pada pagi Isnin.
Syarikat penerbangan Albania melaporkan bahawa sebuah pesawat yang membawa 40 warga negara dari Albania, Kosovo dan Macedonia Utara mendarat di ibu negara Albania, Tirana, pada petang Ahad.
Ketibaan mereka di lapangan terbang tersebut disambut oleh Menteri Luar Albania, Encik Igli Hasani.
Kementerian Luar Albania mengumumkan bahawa “dalam beberapa hari akan datang, akan ada lebih banyak penerbangan khas ke Tel Aviv, sementara kami juga menyelaraskan dengan kementerian di negara-negara di rantau ini untuk membantu semua rakyat masing-masing yang ingin kembali ke negara mereka”.
Macedonia Utara sedang cuba mengaturkan pemindahan antara 150 dengan 200 rakyatnya yang masih berada di Israel.
Perdana Menteri negara itu, Encik Dimitar Kovacevski, berkata kedutaan di Israel “bekerja sepanjang masa” untuk menghubungi dan mengesan mereka semua.
Usaha pemindahan berskala besar lain sedang dijalankan.
Kementerian Luar Thailand berkata 1,000 warga Thailand telah meminta bantuan untuk meninggalkan Israel. Untuk itu, Tentera Udara Diraja Thailand sedang bersiap sedia untuk memindahkan mereka, kata Perdana Menteri, Encik Srettha Thavisin.
Mexico mengumumkan pada Isnin bahawa ia menghantar dua pesawat ke Tel Aviv untuk mengambil warga Mexico. Presiden Encik Andres Manuel Lopez Obrador berkata bahawa kira-kira 5,000 warga Mexico berada di Israel dan kira-kira 300 telah memohon untuk pulang.
Jurucakap kerajaan Kemboja, Encik Pen Bona, memberitahu bahawa negara itu bekerjasama dengan pihak berkuasa Israel untuk memindahkan warga Kemboja.
Menteri Luar Nepal, Encik Narayan Prakash Saud, berkata 17 pelajar Nepal sedang belajar di Kibbutz Alumim, penempatan Yahudi berhampiran Semenanjung Gaza, dan tidak ada komunikasi dengan 11 daripada mereka.
“Pada masa ini, terdapat kira-kira 4,500 warga Nepal berkhidmat sebagai pengasuh di Israel.
“Selain itu, 265 pelajar Nepal mengambil bahagian dalam program pembelajaran dan pendapatan di Israel, yang ditaja oleh pemerintah Israel,” kata Encik Saud. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg