MANAMA: Bahrain menarik balik kewarganegaraan sekurang-kurangnya 69 individu yang didakwa bersimpati dengan Iran serta “membantu entiti asing”, menurut arahan rasmi yang dikeluarkan oleh Raja Hamad bin Isa Al Khalifa.

Keputusan itu dibuat berdasarkan peruntukan dalam undang-undang kewarganegaraan negara tersebut yang membenarkan penarikan status warganegara jika seseorang didapati “memudaratkan kepentingan kerajaan atau bertindak bertentangan dengan kewajipan taat setia”.

Arahan berkenaan turut melibatkan ahli keluarga tanggungan individu yang disenaraikan.

Menurut kenyataan rasmi, mereka yang terlibat didakwa menunjukkan sokongan terhadap “tindakan bermusuhan Iran yang keji” serta terlibat dalam aktiviti pengintipan bersama pihak asing.

Aktivis hak asasi mendakwa ramai daripada individu yang terlibat adalah daripada masyarakat Ajami, iaitu kelompok masyarakat lama di negara Teluk yang mempunyai asal usul dari Iran.

Aktivis Bahrain-Denmark, Cik Maryam al-Khawaja, menyifatkan tindakan itu sebagai pendekatan yang berulang dalam pengurusan isu keselamatan negara.

“Bahrain sekali lagi menggunakan penarikan kewarganegaraan sebagai satu langkah dalam menangani cabaran keselamatan,” katanya.

“Langkah ini dilihat sebagai pendekatan yang telah lama digunakan oleh keluarga pemerintah Al Khalifa dalam mengurus golongan pembangkang serta dinamika dalam komuniti Syiah secara lebih meluas.”

Menurut Institut Hak Asasi dan Demokrasi Bahrain (BIRD) langkah ini merupakan penarikan kewarganegaraan secara besar-besaran pertama dalam tempoh lebih tujuh tahun, sekali gus mencerminkan pendekatan tegas kerajaan dalam menangani isu berkaitan keselamatan dan kesetiaan negara.

Antara 2012 hingga 2019, sekurang-kurangnya 990 individu pernah kehilangan kewarganegaraan.

Namun, pada 2019, seramai 551 daripada mereka telah diberikan semula status tersebut, menunjukkan adanya ruang semakan semula dalam dasar berkenaan.

Aktivis, Cik Maryam al-Khawaja, berkata sebahagian individu yang terkesan kini sedang menyesuaikan diri dengan keadaan baharu.

“Tanpa kewarganegaraan, mereka menghadapi cabaran dalam mengakses pendidikan kerajaan, perkhidmatan kesihatan dan perumahan,” katanya.

Seorang lagi aktivis BIRD, Sayed Ahmed Alwadaei, berkata terdapat individu yang masih belum jelas mengenai asas keputusan tersebut.

“Mereka sendiri tidak mengetahui secara terperinci sebab tindakan ini diambil,” katanya.

Keputusan itu dibuat beberapa hari selepas Raja Hamad mempengerusikan mesyuarat peringkat tinggi bagi membincangkan langkah terhadap rakyat yang didakwa “mengkhianati negara”.

Ia juga berlaku selepas pertemuan dengan Menteri Luar Kuwait, di tengah langkah serupa oleh Kuwait yang sejak beberapa bulan lalu turut menarik balik kewarganegaraan dalam skala besar.

Aktivis melihat trend ini semakin ketara sejak tercetusnya konflik melibatkan Iran.

“Sejak perang dengan Iran bermula, negara Teluk menggunakan keadaan ini untuk memperketat tindakan terhadap rakyat,” kata Cik Maryam al-Khawaja.

Sejak konflik serantau meningkat, lebih 200 individu dilaporkan ditahan di Bahrain, menurut BIRD.

Penahanan itu termasuk berkait dengan protes serta hantaran media sosial, termasuk penyebaran video serangan Iran.

Satu kes yang mencetuskan kemarahan awam ialah kematian seorang lelaki, Encik Mohamed al-Mosawi, 32 tahun, ketika dalam tahanan pada Mac.

Rakaman dan gambar yang dilihat media menunjukkan kesan kecederaan pada tubuhnya, mencetuskan dakwaan bahawa beliau diseksa hingga mati.

Beberapa hari lalu, seorang pegawai perisikan didakwa atas tuduhan menyerang tahanan semasa siasatan berkaitan kes tersebut. – Agensi berita.