SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Badan antirasuah Indonesia batal tahanan rumah Aidilfitri bekas menteri agama

Badan antirasuah Indonesia batal tahanan rumah Aidilfitri bekas menteri agama

Mar 24, 2026 | 4:00 PM

Badan antirasuah Indonesia batal tahanan rumah Aidilfitri bekas menteri agama

rasuah, Indonesia, menteri agama, Yaqut Cholil Qoumas
Bekas Menteri Hal Ehwal Agama dan suspek rasuah, Encik Yaqut Cholil Qoumas (tengah), diiring keluar dari ibu pejabat Suruhanjaya Pemberantasan Rasuah (KPK) di Jakarta Selatan pada 12 Mac. - Foto fail

Suruhanjaya Pemberantasan Rasuah (KPK) pada 24 Mac memindahkan semula suspek rasuah berprofil tinggi Encik Yaqut Cholil Qoumas ke pusat tahanan di ibu pejabatnya di Jakarta Selatan.

Ia sekali gus membatalkan keputusan terdahulu yang meletakkan bekas Menteri Hal Ehwal Agama itu di bawah tahanan rumah semasa cuti Aidilfitri, yang mencetuskan kritikan hebat orang ramai.

“KPK telah mengubah status penahanan suspek YCQ (Yaqut Cholil Qoumas) daripada tahanan rumah kepada penahanan di pusat tahanan KPK,” kata jurucakap agensi itu, Encik Budi Prasetyo kepada Berita Harian (BH) pada 24 Mac, merujuk Encik Yaqut dengan singkatan namanya.

Encik Budi berkata proses tersebut bermula pada 23 Mac apabila Encik Yaqut dimasukkan ke Hospital Bhayangkara Polis Negara untuk menjalani pemeriksaan kesihatan dan bermalam di situ.

“Saya boleh sahkan setakat tengah hari Selasa (24 Mac), beliau telah kembali ditahan di Gedung Merah Putih KPK,” tambahnya.

KPK telah menahan Encik Yaqut sejak 12 Mac selepas beliau dinamakan sebagai suspek dalam kes rasuah dan penyalahgunaan kuasa berkaitan pengagihan kuota tambahan haji bagi musim 2023 hingga 2024, yang berpotensi menyebabkan kerugian negara sebanyak 622 bilion rupiah ($52.7 juta).

Berbeza dengan tahanan lain, Encik Yaqut sempat menyambut Aidilfitri bersama keluarganya di kediamannya di Jakarta Timur.

Berita mengenai ketiadaannya di penjara KPK mula didedahkan oleh Cik Silvia Rinita Harefa, isteri bekas timbalan menteri tenaga kerja dan pesalah rasuah Immanuel ‘Noel’ Ebenezer, selepas beliau melawat suaminya pada Sabtu, 20 Mac.

Cik Silvia berkata beliau tidak melihat Encik Yaqut dalam kalangan tahanan dan menurut mereka, Encik Yaqut tidak kelihatan ketika solat Aidilfitri yang diadakan di dalam penjara pada 20 Mac.

“Mereka memberitahu saya dia keluar pada malam Khamis (19 Mac). Sejak itu, tiada siapa nampaknya. Mereka semua sedar dia tiada dan tertanya-tanya ke mana dia pergi,” kata Cik Silvia.

Penyelaras Masyarakat Antirasuah Indonesia, Encik Boyamin Saiman berkata keputusan KPK untuk meletakkan Encik Yaqut di bawah tahanan rumah secara sementara merupakan satu tindakan luar biasa dalam sistem badan itu, yang mencatat kadar sabitan 100 peratus sejak ditubuhkan.

“KPK telah memecahkan rekodnya sendiri. Sejak ditubuhkan pada 2002, ia tidak pernah menggantung penahanan. Kami sangat kecewa kerana keputusan ini dibuat tanpa pengetahuan awam,” katanya kepada BH.

Encik Boyamin turut menyifatkan langkah tersebut sebagai diskriminasi yang berpotensi mendorong tahanan lain menuntut layanan sama.

“Jika KPK mengumumkan penahanan seseorang suspek, ia juga perlu mengumumkan sebarang perubahan status penahanan. Seperti mana tahanan dipaparkan kepada umum dengan pakaian tahanan berwarna jingga dan digari, perubahan status mereka juga perlu diumumkan,” katanya.

Mengulas kritikan yang memuncak, Encik Budi berkata KPK meluluskan tahanan rumah sementara kepada Encik Yaqut selepas menerima permohonan daripada keluarganya pada 17 Mac, yang diluluskan pada 19 Mac.

Beliau menegaskan bahawa perubahan status penahanan itu tidak menjejaskan siasatan terhadap kes rasuah kuota haji yang melibatkan Encik Yaqut, yang juga dikenali sebagai penyokong setia bekas presiden Joko Widodo.

Namun, Encik Boyamin berpendapat penjelasan KPK selepas isu tersebut didedahkan memberi gambaran buruk terhadap komunikasi awam badan itu dan boleh menimbulkan rasa ketidakadilan.

Beliau membandingkan kes Encik Yaqut dengan mendiang Lukas Enembe, bekas Gabenor Papua, yang dilaporkan sakit tenat ketika ditahan sebagai suspek rasuah pada Januari 2023.

Permohonan peguam dan keluarganya untuk penahanan dalam bandar ketika itu ditolak selepas pasukan perubatan KPK mengesahkan beliau layak dibicarakan.

Lukas kemudian disabitkan kesalahan dan meninggal dunia dalam tahanan pada Disember 2023.

“Jika alasan tahanan rumah Yaqut bukan kerana sakit, maka kami tertanya-tanya atas dasar apa status itu diberikan. Ia sangat tidak jelas,” kata Encik Boyamin.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg