Topik diikuti
Pergi ke BHkuAustralia naikkan 25% bayaran visa pelajar antarabangsa kecuali Asean
Australia naikkan 25% bayaran visa pelajar antarabangsa kecuali Asean
Pengecualian sebahagian usaha perdalam penglibatan Australia dengan Asia Tenggara
Australia naikkan 25% bayaran visa pelajar antarabangsa kecuali Asean
SYDNEY: Australia telah menaikkan secara mendadak bayaran visa pelajar antarabangsa sebanyak 25 peratus tetapi mengecualikan pelajar dari Asia Tenggara dalam usaha meningkatkan hubungan dengan negara jiran serantaunya.
Kerajaan persekutuan pada 3 Julai telah menaikkan bayaran yang tidak boleh dikembalikan untuk pelajar yang memohon visa di Australia daripada A$2,000 ($1,810) kepada A$2,500.
Namun, buat kali pertama, pelajar dari negara Asean dikecualikan daripada kenaikan tersebut dan hanya tertakluk kepada kenaikan yang diselaraskan oleh inflasi sebanyak A$50, menjadikan bayaran tersebut kepada A$2,050.
Bayaran visa pelajar antarabangsa Australia adalah yang tertinggi di dunia.
Sebagai perbandingan, bayaran di Amerika Syarikat dan Britain, masing-masing sebanyak AS$535 ($690) dan £558 ($959).
Kenaikan bayaran tersebut dilakukan ketika kerajaan cuba menangani lonjakan migrasi sejak pandemik Covid-19.
Ia meningkat daripada A$710 kepada A$1,600 pada Julai 2024 dan kepada A$2,000 pada Julai 2025.
Penolong Menteri Pendidikan Antarabangsa Australia, Encik Julian Hill, memberitahu The Straits Times (ST), kerajaannya telah mengecualikan pelajar Asean sebagai sebahagian daripada usaha untuk memperdalam penglibatan Australia dengan Asia Tenggara.
Australia mengenakan bayaran yang lebih rendah – hanya A$745 – untuk negara Pasifik, termasuk Timor-Leste, yang menjadi anggota Asean pada Oktober 2025, sebagai sebahagian daripada jangkauan diplomatiknya.
“Kadar bayaran visa yang dikurangkan untuk pelajar dari negara-negara Asean mencerminkan kepentingan Australia dalam mengalu-alukan pelajar bermutu tinggi dari Asia Tenggara,” kata Encik Hill.
“Australia dan negara-negara Asean berkongsi ikatan yang mendalam dan berkekalan. Justeru adalah penting bagi golongan muda kita meluangkan masa dalam tahun-tahun pembentukan mereka untuk mengenali antara satu sama lain dan membina ikatan sepanjang hayat,” tambahnya.
Walaupun terdapat peningkatan dan permohonan kekal tinggi, namun ramai pelajar di seluruh rantau ini menyatakan bayaran visa itu tidak akan menghalang mereka daripada memohon.
Agensi Perkhidmatan Pelajar AUG, yang mempunyai lebih 30 tahun pengalaman dalam memberi kaunseling kepada pelajar Malaysia tentang pembelajaran di Australia berkata, kenaikan bayaran visa tidak mungkin menghalang pemohon untuk melanjutkan pelajaran di negara itu.
Sejak 2022, Australia, yang kini menempatkan kira-kira 15,000 pelajar Malaysia, telah menjadi destinasi pengajian luar negara utama bagi rakyat Malaysia.
“Kenaikan itu hanya 2.5 peratus, atau A$50, daripada A$2,000 sebelumnya,” kata Pengarah Perkongsian AUG (Australia), Cik Nicole Chong, kepada ST.
“Ini menunjukkan keazaman kerajaan Australia untuk mengekalkan hubungan pendidikan yang kukuh dengan Asean,” tambahnya.
Sektor pendidikan antarabangsa Australia merupakan eksport kelima terbesar negara itu, dengan pendapatan A$55 bilion pada 2025.
Ia kini mempunyai kira-kira 681,000 pelajar asing di universiti, kolej vokasional, sekolah dan institusi lain, termasuk 160,000 dari China, 111,000 (India), 61,000 (Nepal), 31,000 (Vietnam) dan Singapura (6,165).