WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, mencetuskan spekulasi baharu apabila memberi bayangan China mungkin membekalkan peralatan berkaitan ketenteraan kepada Iran di tengah-tengah konflik yang sedang berlangsung.

Dalam temu bual pada 21 April bersama CNBC, Encik Trump berkata pihak Amerika telah menahan sebuah kapal yang membawa “hadiah” dari China, tanpa menjelaskan secara terperinci kandungannya.

“Kami menahan sebuah kapal semalam (20 April) yang membawa beberapa barangan yang tidak menyenangkan – mungkin hadiah daripada China, saya tidak pasti,” katanya.

Beliau turut menambah bahawa perkara itu mengejutkannya memandangkan beliau sebelum ini percaya wujud persefahaman antara Amerika dengan Presiden China, Encik Xi Jinping.

“Saya fikir kami ada persefahaman, tetapi begitulah realiti perang,” katanya.

Bagaimanapun, China segera menolak dakwaan tersebut.

Jurucakap Kementerian Luar China, Encik Guo Jiakun, berkata kapal yang dirampas itu merupakan kapal kontena asing dan bukan milik China.

“China menolak sebarang kaitan dan spekulasi yang tidak berasas,” katanya dalam sidang media.

Kedutaan China di Washington turut menegaskan bahawa negara itu mengawal eksport produk ketenteraan secara ketat dan bertanggungjawab, termasuk barangan dwiguna.

Isu itu menjadi sensitif kerana Washington sebelum ini telah menetapkan beberapa batasan bagi mana-mana negara yang membantu Iran dalam perang tersebut.

Encik Trump memberi amaran negara yang membekalkan senjata kepada Teheran boleh dikenakan tarif sehingga 50 peratus.

Langkah sedemikian berpotensi mencetuskan ketegangan ekonomi baharu antara Amerika dengan China.

Walaupun terdapat laporan risikan China mungkin bersedia membekalkan sistem pertahanan udara kepada Iran, tahap penglibatan sebenar Beijing masih belum dapat dipastikan.

Secara tradisi, China mengelakkan diri daripada membekalkan senjata secara terbuka dalam konflik luar bagi mengelakkan pelanggaran sekatan antarabangsa.

Namun, pemerhati berpendapat bantuan tidak langsung masih mungkin berlaku.

“Bantuan ketenteraan pada tahap tertentu mungkin berterusan, walaupun tidak diumumkan secara terbuka,” kata mantan Pegawai Majlis Keselamatan Negara Amerika, Encik Michael Singh.

Pakar melihat kenyataan Encik Trump yang agak berhati-hati itu sebagai usaha mengelakkan ketegangan lebih besar dengan China.

Pengarah Pusat China di Institut Brookings, Encik Ryan Hass, berkata kedua-dua negara cuba mengekalkan hubungan stabil walaupun konflik Iran semakin memuncak.

“China mahu mengekalkan kestabilan dalam hubungan dengan Amerika, manakala Encik Trump ingin menunjukkan keadaan masih terkawal,” katanya.

Dalam masa yang sama, Amerika terus memperketat tekanan terhadap Iran melalui sekatan di Selat Hormuz.

Tentera Amerika telah menahan beberapa kapal dan menghalang puluhan kapal lain daripada melalui kawasan tersebut sebagai sebahagian strategi memberi tekanan kepada Teheran menjelang rundingan.

Sehingga kini, sekurang-kurangnya sebuah kapal tangki minyak dan sebuah kapal kargo Iran telah dirampas, manakala lebih 20 kapal lain diarah berpatah balik.

Seorang penganalisis berkata sebarang bukti jelas bahawa China membekalkan bantuan ketenteraan kepada Iran boleh meningkatkan lagi ketegangan sejagat.

“Jika bantuan itu disahkan, ia berpotensi membuka dimensi baharu konflik yang melibatkan kuasa besar,” katanya. – Agensi berita.