Topic followed successfully
Go to BHkuAS, Iran masing-masing dakwa menang perang
AS, Iran masing-masing dakwa menang perang
AS, Iran masing-masing dakwa menang perang
TEHERAN: Iran dan Amerika Syarikat masing-masing mendakwa kemenangan dalam konflik yang berlarutan selama 40 hari – ketika kedua-dua pihak bersetuju melaksanakan gencatan senjata selama dua minggu bagi membuka laluan kepada rundingan diplomatik.
Majlis Keselamatan Tertinggi Iran menyatakan tenteranya hampir mencapai kejayaan sepenuhnya, malah menggambarkan keadaan musuh sebagai “kekalahan bersejarah”.
“Hampir semua objektif perang telah dicapai dan musuh kini berada dalam keadaan tidak berdaya,” menurut kenyataan rasmi yang dipetik media tempatan pada 8 April.
Teheran turut menggambarkan keadaan tersebut sebagai “penyerahan musuh di medan perang”, namun menegaskan bahawa kemenangan sebenar hanya akan diiktiraf jika ia diterjemahkan kepada kejayaan politik dalam rundingan akan datang.
Pada masa sama, di Washington, Presiden Donald Trump, turut mengisytiharkan kemenangan mutlak bagi pihak Amerika, sekali gus mencerminkan percanggahan naratif antara kedua-dua negara.
“Kemenangan sepenuhnya. 100 peratus. Tiada persoalan mengenainya,” kata Encik Trump dalam temu bual telefon selepas pengumuman gencatan senjata.
Bagaimanapun, beliau enggan menjelaskan sama ada ancaman terdahulu untuk memusnahkan prasarana awam Iran akan dilaksanakan sekiranya rundingan gagal. “Anda perlu lihat nanti,” katanya, ringkas.
Encik Trump turut memberi jaminan bahawa isu uranium Iran akan ditangani dalam perjanjian tersebut, walaupun tidak memperincikan mekanismenya.
“Ia akan diuruskan dengan sempurna, jika tidak saya tidak akan bersetuju,” katanya.
Walaupun kedua-dua pihak bersetuju menghentikan serangan buat sementara waktu, Iran menegaskan bahawa perang belum berakhir.
Pemimpin Agung Iran, Encik Mojtaba Khamenei, telah mengarahkan semua cabang ketenteraan menghentikan tembakan, namun pada masa sama memberi amaran bahawa kesiapsiagaan kekal pada tahap tinggi.
“Ini bukan penamat perang, tetapi semua cabang ketenteraan mesti mematuhi arahan untuk menghentikan operasi,” katanya dalam kenyataan rasmi.
Majlis Keselamatan Tertinggi Iran turut menegaskan bahawa tenteranya kekal bersedia untuk bertindak balas.
“Ini tidak bermakna perang telah berakhir… tangan kami masih berada pada picu, dan sebarang kesilapan musuh akan dibalas dengan kekuatan penuh,” menurut kenyataan tersebut.
Rundingan antara Iran dan AS dijangka bermula pada 11 April di Islamabad, Pakistan, dengan tempoh perbincangan sekitar dua minggu.
Menurut laporan, rundingan itu bertujuan memuktamadkan butiran yang dianggap sebagai kejayaan Iran di medan perang, namun Teheran menegaskan konflik akan diteruskan sekiranya semua tuntutannya tidak dipenuhi.
“Rundingan yang dijadual berlangsung selama dua minggu itu bertujuan memuktamadkan butiran kejayaan Iran di medan perang. Bagaimanapun, Teheran menegaskan peperangan akan diteruskan sehingga pelan 10 perkara dilaksanakan sepenuhnya dan semua tuntutan nasional dipenuhi,” kata laporan itu.
Washington pula menegaskan bahawa operasi ketenteraan berjaya mencapai matlamat utama, termasuk mengekang ancaman nuklear Teheran.
Encik Trump turut membayangkan bahawa China mungkin memainkan peranan dalam membawa Iran ke meja rundingan. – Agensi berita.

