Topik diikuti
Pergi ke BHkuAS-Iran hentikan serangan, beri laluan kepada diplomasi
AS-Iran hentikan serangan, beri laluan kepada diplomasi
AS-Iran hentikan serangan, beri laluan kepada diplomasi
WASHINGTON/TEHERAN: Amerika Syarikat dan Iran memasuki hari kedua tanpa sebarang serangan baharu ketika kedua-dua pihak memberi peluang kepada usaha diplomatik bagi meredakan konflik yang hampir mencetuskan perang lebih besar di Timur Tengah.
Teheran menegaskan ia akan menghentikan serangan selagi Washington tidak menyambung semula kempen pengeboman, manakala Presiden Donald Trump memilih untuk menggantung sementara operasi ketenteraan bagi memberi ruang kepada rundingan.
“Pendirian kami kekal ‘serangan dibalas serangan’. Jika serangan dihentikan, Iran juga akan menghentikan operasinya. Mesej itu sudah disampaikan kepada Amerika Syarikat,” kata seorang pegawai kanan Iran kepada Reuters.
Duta Amerika Syarikat ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik Mike Waltz, berkata Encik Trump sengaja memberi “ruang” kepada usaha diplomatik yang dipergiatkan sejak beberapa hari lalu.
“Beliau memberi ruang kepada rundingan. Kami mahu melihat sama ada diplomasi mampu menghasilkan penyelesaian,” katanya kepada Fox News.
Pentagon menggantung kempen pengeboman pada 24 Julai lalu selepas 13 malam serangan berturut-turut, dengan tiada serangan Amerika Syarikat dilaporkan pada 25 Julai dan 26 Julai.
Iran, yang sebelum ini bertindak balas terhadap setiap serangan Amerika Syarikat dengan menyerang negara jiran yang menempatkan pangkalan tentera Amerika Syarikat, turut menghentikan operasinya sepanjang tempoh sama.
Beberapa pegawai Amerika Syarikat berkata keputusan itu dibuat selepas kebanyakan sasaran ketenteraan yang dikenal pasti berjaya diserang, selain kebimbangan bahawa operasi berterusan akan menghakis stok peluru berpandu dan senjata berpandu tepat Washington.
Pengerusi Ketua Turus Bersama Amerika Syarikat, Jeneral Dan Caine, dilaporkan memberi amaran kepada Encik Trump bahawa meneruskan serangan berskala besar boleh menjejaskan kesiapsiagaan ketenteraan Amerika Syarikat, khususnya bekalan peluru berpandu pemintas yang digunakan untuk mempertahankan pangkalan tenteranya di Timur Tengah.
Bagaimanapun, sumber Iran berkata Teheran tidak melihat penghentian serangan itu sebagai perubahan dasar Washington.
“Pandangan yang dominan ialah penghentian ini hanya bersifat taktikal, bukannya petanda Amerika Syarikat benar-benar mahu menamatkan konflik,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, jurucakap Kementerian Luar Iran, Encik Esmaeil Baghaei, mengesahkan pegawai Oman mengadakan rundingan di Teheran hujung minggu lalu bagi membincangkan krisis di Selat Hormuz.
“Perbincangan itu bermanfaat dan beberapa kemajuan berjaya dicapai,” katanya tanpa mengulas lanjut.
Walaupun keadaan di Teluk kembali tenang, ketegangan masih memuncak di Yaman apabila kumpulan Houthi yang disokong Iran meningkatkan serangan terhadap Arab Saudi.
Houthi mengumumkan sekatan maritim di Laut Merah serta melancarkan serangan roket dan dron ke atas kemudahan syarikat minyak Saudi Aramco, sebelum tentera pimpinan Arab Saudi melancarkan serangan balas terhadap sasaran kumpulan itu.
Perkembangan itu meningkatkan kebimbangan bahawa konflik boleh merebak ke Selat Bab al-Mandab, satu lagi laluan perdagangan maritim paling penting di dunia.
Pakar memberi amaran, jika Selat Hormuz dan Bab al-Mandab sama-sama terganggu, bekalan tenaga global, rantaian bekalan serta perdagangan antarabangsa akan menerima kesan yang jauh lebih besar.
Walaupun harga minyak mentah Brent susut lebih lima peratus pada 26 Julai susulan jeda dalam pertempuran, pasaran kekal berhati-hati kerana rundingan antara Washington dan Teheran masih belum menghasilkan sebarang penyelesaian muktamad. - Agensi berita