Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

AS gesa Thai-Kemboja henti tempur, teruskan rundingan damai

Dec 26, 2025 | 12:25 PM
Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Encik Marco Rubio
Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Encik Marco Rubio, menggesa Kemboja dan Thailand supaya menamatkan keganasan ketika kedua-dua negara meneruskan rundingan bagi menamatkan pertempuran. - Foto REUTERS

WASHINGTON: Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Encik Marco Rubio, menyeru Kemboja dan Thailand supaya menamatkan keganasan ketika kedua-dua negara meneruskan rundingan bagi menamatkan pertempuran maut selama berminggu-minggu.

Encik Rubio mengulangi hasrat Presiden Donald Trump untuk kembalikan keamanan di kedua-dua negara dalam satu panggilan telefon dengan Perdana Menteri Kemboja, Encik Hun Manet.

“Setiausaha Rubio seterusnya menegaskan bahawa Amerika bersedia untuk memudahkan perbincangan bagi memastikan keamanan dan kestabilan antara Kemboja dengan Thailand,” kata jurucakap Jabatan Negara Encik Tommy Pigott dalam satu kenyataan pada 25 Disember

Thailand dan Kemboja duduk semeja buat kali pertama sejak pertempuran bermula pada 7 Disember yang menyaksikan sekurang-kurangnya 44 orang terbunuh dan lebih setengah juta orang awam kehilangan tempat tinggal di kedua-dua belah sempadan.

Pertempuran selama lima hari pada Julai berakhir dengan perjanjian gencatan senjata awal dengan Malaysia dan Amerika menjadi pengantara.

Kedua-dua negara mesti mematuhi langkah pengurangan ketegangan yang digariskan dalam perjanjian damai yang diusahakan oleh Encik Trump pada Oktober, kata Encik Rubio.

Kedua-dua negara saling menyalahkan satu sama lain kerana mencetuskan semula pertempuran, yang telah menyaksikan serangan udara dan pertukaran tembakan meriam.

Jumlah kematian dalam pertempuran tiga hari lalu mencecah 10 orang – tujuh di Kemboja dan tiga di Thailand.

Pegawai Thailand berkata mereka telah memindahkan lebih daripada 400,000 orang, manakala Phnom Penh berkata 100,000 rakyat Kemboja telah dipindahkan ke tempat perlindungan.

Kementerian Pertahanan Thailand berkata pada 24 Disember bahawa tindakan ketenteraannya “terhad dalam skop dan digunakan sebagai pilihan terakhir”.

“Keamanan mesti datang dengan keselamatan dan keamanan rakyat kita, noktah,” tambah jurucakap kementerian itu.

Kemboja sebaliknya menuduh Thailand melancarkan “serangan ketenteraan agresif” yang menyasarkan institusi awam dan “tapak budaya suci”, termasuk kuil bersejarah di sepanjang sempadan yang dipertikaikan.

Juga pada 24 Disember, Kemboja mengumumkan bahawa ia menarik diri daripada Sukan Asia Tenggara yang dianjurkan di Thailand.

Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan Kemboja memetik “kebimbangan dan permintaan serius” daripada keluarga atletnya untuk pengunduran itu. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg