AS bentang rang undang-undang larang DeepSeek pada peranti pemerintah
AS bentang rang undang-undang larang DeepSeek pada peranti pemerintah
WASHINGTON: Anggota parlimen Amerika Syarikat pada 6 Februari mengemukakan rang undang-undang yang bertujuan untuk melarang penggunaan program kecerdasan buatan (AI) China, DeepSeek, pada peranti pemerintah ekoran kebimbangan terhadap keselamatan data pengguna.
Rang undang-undang ini dibentangkan oleh perwakilan Josh Gottheimer, seorang Demokrat dari New Jersey, bersama Darin LaHood, perwakilan Republikan dari Illinois. Mereka menyatakan bahawa DeepSeek membawa ancaman yang membimbangkan terhadap keselamatan negara Amerika dan memberi amaran mengenai “hubungan langsung” antara DeepSeek dengan pemerintah China.
Pengenalan rang undang-undang ini dibuat selepas laporan yang diterbitkan pada 5 Februari oleh Feroot Security, sebuah firma keselamatan siber dari Amerika, yang mendapati bahawa model AI tersebut mengandungi kod tersembunyi yang mampu menghantar data pengguna ke China Mobile, sebuah syarikat telekomunikasi milik negara China.
“Ancaman yang dibawa oleh DeepSeek ini sangat membimbangkan, dengan kemungkinan ia digunakan oleh pemerintah China untuk mengumpul data penting serta menyebarkan maklumat yang membahayakan keselamatan negara,” kata Encik Gottheimer dalam satu kenyataan.
DeepSeek, sebuah syarikat permulaan dari China, mengejutkan industri AI global pada Januari dengan melancarkan ‘chatbot’ berkualiti tinggi dan kos rendah yang mencabar kedudukan teratas yang dimiliki oleh Amerika Syarikat dan negara-negara lain dalam perlumbaan teknologi ini.
Parti Komunis China (CCP) “telah dengan jelas menunjukkan bahawa mereka akan memanfaatkan sebarang alat yang ada untuk melemahkan keselamatan negara kita, menyebarkan maklumat palsu, dan mengumpul data mengenai rakyat Amerika,” tambah Encik Gottheimer.
Encik LaHood pula menyifatkan DeepSeek sebagai “syarikat yang berafiliasi dengan CCP” dan menegaskan bahawa “tidak kira apa keadaan sekalipun”, syarikat ini tidak boleh dibenarkan untuk “mengakses data kerajaan atau data peribadi yang sensitif.”
Rang undang-undang ini turut mendapat perhatian global, di mana kementerian dan pihak polis Korea Selatan telah menghalang akses DeepSeek ke komputer mereka setelah syarikat itu gagal memberi respons terhadap permintaan pengawal selia data mengenai pengurusan maklumat pengguna.
Sementara itu, Australia telah melarang penggunaan DeepSeek pada semua peranti pemerintah atas nasihat agensi keselamatan mereka, manakala Perancis dan Italy turut menyuarakan kebimbangan mengenai amalan pengumpulan data oleh DeepSeek.
Manakala aplikasi perkongsian video TikTok kini berhadapan dengan undang-undang di Amerika yang mengarahkan syarikat itu untuk berpisah dengan pemilik China, ByteDance, atau menghadapi kemungkinan diharamkan di negara tersebut.
“Rangkaian tindakan ini adalah langkah yang perlu untuk melindungi data peribadi rakyat Amerika dan memastikan keselamatan negara kita daripada ancaman luar,” kata Encik LaHood. - Agensi berita

