GAZA: Ketika umat Islam di seluruh dunia membuat persiapan menyambut Aidiladha dengan penuh kegembiraan, ramai penduduk di Gaza pula hanya mampu mengenang semula suasana perayaan sebelum perang.

Bagi Encik Ahmed Nashwan, seorang penduduk Gaza, Aidiladha 2026 menjadi tahun ketiga berturut-turut beliau tidak dapat meneruskan tradisi membeli haiwan korban bersama anggota keluarganya.

“Sebelum perang, Aidiladha adalah saat yang menggembirakan buat kami,” katanya kepada agensi berita Xinhua.

“Kami sekeluarga akan pergi memilih haiwan korban, membuat persiapan Raya dan mengagihkan daging kepada saudara-mara serta keluarga miskin.”

Aidiladha yang disambut pada 27 Mei lazimnya menjadi antara perayaan Islam terbesar dengan penyembelihan haiwan korban seperti kambing dan lembu bagi mereka yang mampu.

Namun bagi penduduk Gaza, sambutan itu kini berubah sama sekali akibat peperangan dan sekatan berpanjangan.

“Sekarang Aidiladha bagi kami hanya tinggal solat dan kenangan,” kata Encik Nashwan.

“Tiada haiwan ternakan masuk ke Gaza dan kebanyakan orang pun sukar mendapatkan makanan harian.”

Walaupun gencatan senjata antara Hamas dengan Israel dicapai pada Oktober 2025, Israel masih mengekalkan sekatan ketat ke atas Gaza yang mengehadkan kemasukan barangan termasuk haiwan ternakan.

Pengarah Dewan Perdagangan Gaza, Enck Maher al-Tabbaa, berkata harga seekor haiwan korban meningkat berkali ganda sejak perang bermula.

“Sebelum perang, harga seekor haiwan korban sekitar AS$500 ($638),” katanya.

“Sekarang harganya mencecah antara AS$6,000 dengan AS$7,000 dan kebanyakan penduduk langsung tidak mampu membelinya.”

Menurut beliau, kemusnahan kawasan penternakan di timur Gaza menyebabkan bekalan haiwan korban semakin berkurangan.

“Penduduk Gaza sudah tiga tahun berturut-turut tidak dapat menikmati ibadah korban seperti biasa,” katanya.

“Tiada siapa tahu berapa lama lagi keadaan ini akan berterusan.”

Seorang lagi penduduk Bandar Gaza, Encik Mohammed al-Hissi, berkata Aidiladha sebelum perang sentiasa menjadi saat paling menggembirakan buat keluarganya.

“Anak-anak saya dulu akan bangun awal pagi, memakai pakaian baharu dan ikut saya menziarahi saudara-mara selepas kami mengagihkan daging korban,” katanya.

“Tetapi sekarang semuanya berubah akibat perang dan keadaan kemanusiaan yang semakin buruk.”

Menurut bapa kepada empat anak itu, kebanyakan keluarga di Gaza kini tidak lagi memikirkan soal membeli haiwan korban kerana kehilangan pekerjaan, rumah dan sumber pendapatan.

Di selatan Gaza pula, seorang pemuda bernama, Encik Mohammed Shallah, berdiri di sisi kubur bapanya yang terbunuh dalam serangan udara Israel di Khan Younis sambil mengenang tradisi Aidiladha bersama keluarganya.

“Kami selalu pergi bersama ayah untuk memilih haiwan korban,” katanya.

“Tetapi sekarang, saya tidak lagi mampu meneruskan tradisi itu.”

Beliau berkata walaupun masih terdapat haiwan ternakan di beberapa kawasan, harganya terlalu tinggi untuk dibeli rakyat biasa.

Seorang peniaga ternakan, Encik Salah Afana, berkata harga haiwan meningkat beberapa kali ganda sejak perang tercetus manakala permintaan hampir tidak wujud akibat kemiskinan yang meluas.

“Banyak haiwan mati akibat serangan udara, kekurangan makanan ternakan dan musnahnya perkhidmatan veterinar,” katanya.

“Pada masa sama, tiada haiwan ternakan dibawa masuk kerana pintu sempadan ditutup.”

Jurucakap Kementerian Pertanian Gaza, Encik Raafat Asaliya, berkata sebelum perang, Gaza biasanya mengimport antara 10,000 dengan 20,000 ekor lembu serta 30,000 hingga 40,000 ekor kambing setiap tahun menjelang Aidiladha.

Namun, semua import terhenti sepenuhnya selepas perang dan penutupan lintasan sempadan.

Beliau berkata banyak ladang ternakan, kandang haiwan dan gudang makanan ternakan turut musnah akibat perang. – Agensi berita.