JAKARTA: Kesemua sembilan rakyat Indonesia yang ditahan oleh Israel semasa misi kemanusiaan, Global Sumud Flotilla (GSF) menuju ke Gaza, selamat pulang ke tanah air, kata Menteri Luar Indonesia, pada 24 Mei.

Para aktivis tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta di Tangerang, berhampiran Jakarta, Indonesia, setelah dibebaskan daripada tahanan Israel pada 21 Mei.

Mereka ditahan setelah pasukan Israel memintas kapal yang menyertai konvoi kemanusiaan GSF pada 18 Mei.

“Hari ini, kami mengalu-alukan sukarelawan kemanusiaan kami yang ditahan oleh tentera Israel. Mereka semua telah pulang dengan selamat,” kata Encik Sugiono, kepada pemberita sebaik sahaja mereka tiba.

Beliau berkata pemerintah Indonesia telah bekerjasama dengan beberapa negara dalam usaha untuk mendapatkan pembebasan dan kepulangan aktivis itu.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada pemerintah Turkey, Jordan, dan Mesir kerana membantu dalam penghantaran pulang warga kami,” tambahnya.

Encik Sugiono mengulangi kecaman Indonesia terhadap keganasan dan layanan buruk yang dialami oleh sukarelawan antarabangsa, termasuk rakyat Indonesia, semasa penahanan mereka oleh pegawai Israel.

“Indonesia sekali lagi mengutuk layanan Israel terhadap rakan senegara dan sukarelawan kemanusiaan kita.

“Ini jelas melanggar undang-undang antarabangsa kerana mereka adalah orang awam yang menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat di Palestin,” ujarnya.

Terdahulu, sukarelawan dari pelbagai negara yang menyertai misi GSF telah dibebaskan dan dihantar pulang dari Israel ke Turkey.

Setibanya di Istanbul, sembilan warga Indonesia itu menjalani pemeriksaan perubatan dan prosedur lain sebelum dibenarkan pulang ke negara mereka.

Para aktivis berkata mereka mengalami keganasan fizikal semasa tahanan, termasuk dipukul, ditendang dan dikena renjatan elektrik.

Media sebelum ini melaporkan Israel mengesahkan pada 21 Mei ia telah mengusir semua aktivis asing flotila menuju ke Gaza yang ditahannya susulan bantahan sejagat terhadap layanan mereka dalam tahanan.

Lebih 430 aktivis dari negara seantero dunia ditahan di Israel selepas mereka dipintas di laut pada 18 Mei ketika melakukan percubaan terkini untuk mengatasi sekatan ke atas wilayah Palestin.

Menteri Keselamatan Negara berhaluan kanan Israel, Encik Itamar Ben Gvir, mencetuskan kecaman meluas dan tindak balas diplomatik pada 20 Mei dengan menyiarkan video yang menunjukkan aktivis yang ditahan dalam keadaan melutut dengan tangan terikat dan dahi di atas tanah. – Agensi berita.