Topic followed successfully
Go to BHku70 terbunuh, 30 cedera dalam pembunuhan beramai-ramai oleh geng Haiti
70 terbunuh, 30 cedera dalam pembunuhan beramai-ramai oleh geng Haiti
70 terbunuh, 30 cedera dalam pembunuhan beramai-ramai oleh geng Haiti
PORT-AU-PRINCE: Sekurang-kurangnya 70 orang terbunuh dan lebih 30 cedera dalam “pembunuhan beramai-ramai” oleh kumpulan geng di wilayah Artibonite Haiti, kata dua badan hak asasi manusia.
Kejadian itu berlaku ketika hampir 6,000 penduduk melarikan diri daripada serangan ke atas bandar Jean Denis dan Pont Sonde.
Pegawai perhubungan Defenders Plus, Encik Garry Doriscat, berkata serangan itu adalah “pelanggaran hak untuk hidup dan keselamatan secara terang-terangan”.
Beliau menuduh pemerintah Haiti bersubahat dengan kumpulan tersebut secara terang-terangan.
Dalam kenyataan bersama Kolektif pou Sove Latibonit (KSL), beliau menyatakan lebih 50 rumah musnah dan ramai keluarga yang hilang tempat tinggal apabila mereka melarikan diri ke bandar-bandar berdekatan dan kini hidup dalam “kemiskinan yang tidak berperikemanusiaan.”
Kedua-dua badan itu menuntut campur tangan segera untuk melindungi orang awam, memberi amaran bahawa kekebalan daripada hukuman “tidak lagi menjadi tindak balas negara terhadap pertumpahan darah.”
Polis Haiti berkata bahawa pegawai, yang disokong oleh anggota Pasukan Penindasan Geng Kenya, campur tangan pada pagi 29 Mac selepas kumpulan geng “Gran Grif” menyerang Jean Denis
Kumpulan geng itu telah menggali parit dan menyekat jalan raya untuk melambatkan kehadiran polis dan dalam masa yang sama membunuh dan membakar rumah penduduk sebelum melarikan diri.
Polis mengesahkan 16 mangsa maut dan 10 cedera - jauh lebih rendah daripada jumlah yang disebut oleh kumpulan hak asasi.
Pasukan keselamatan sejak itu telah memulihkan ketenteraman dan meneruskan operasi untuk memberks anggota geng yang masih hidup di kawasan sekitar.
Pembunuhan beramai-ramai itu merupakan kejadian pertumpahan darah terbaru di negara yang telah dilanda keganasan geng dan ketidakstabilan politik selama bertahun-tahun.
Krisis tersebut menjadi semakin buruk berikutan pembunuhan Presiden Jovenel Moise pada 2021, dan selepas itu kumpulan bersenjata yang bersaing semakin meluaskan cengkaman mereka ke atas negara itu.
Empat pembunuh upahan telah ditembak mati sementara dua lain ditahan dalam kes pembunuhan Encik Moise, kurang 24 jam selepas pemimpin negara rantau Caribbean itu terbunuh dalam serangan bersenjata di rumahnya.
"Empat pembunuh upahan telah ditembak mati, dua telah ditahan. Tiga anggota polis yang dijadikan tebusan telah ditemui," kata pengarah agung polis Haiti, Encik Leon Charles.
Timbalan Menteri Komunikasi, Encik Frantz Exantus, berkata suspek dipintas polis di Pelerin sebelum jam 6 petang.
Serangan di kediaman peribadi Encik Moise di bandar Port-au-Prince turut menyebabkan isterinya, Martine cedera dan dirawat di sebuah hospital tempatan sebelum dipindahkan menggunakan ambulans udara ke Pusat Trauma Ryder di Miami.
Kumpulan tersebut akhirnya menguasai sekitar 80 peratus ibu kota, Port-au-Prince, dan memaksa Perdana Menteri ketika itu, Encik Ariel Henry, untuk meletak jawatan pada April 2024.
Ahli perniagaan Haiti, Encik Alix Didier Fils-Aime, mengangkat sumpah sebagai perdana menteri sementara pada November 2024, menggantikan Encik Garry Conille susulan penyusunan semula pemerintah di tengah-tengah situasi keselamatan yang semakin buruk.
Kira-kira 5.5 juta orang memerlukan bantuan kemanusiaan, menurut agensi bantuan, ketika negara itu bergelumang dengan pergolakan awam, penyakit, keruntuhan ekonomi dan ketidakstabilan. - Agensi berita

