SEOUL: Seorang wanita yang hamil 29 minggu diterbangkan sejauh 280 kilometer ke Busan lewat pada 1 Mei selepas enam hospital enggan menerimanya, mengakibatkan kematian bayi dalam kandungannya.

Menurut pihak bomba pada 3 Mei, wanita itu awalnya dimasukkan ke sebuah klinik perbidanan di Cheongju, wilayah Gyeongsang Utara, akibat pendarahan.

Klinik berkenaan telah menghubungi talian kecemasan 119 Korea Selatan sekitar 11 malam apabila kadar denyutan jantung janinnya merosot.

Namun, enam hospital menolak pemindahan itu, dengan alasan kekurangan doktor pakar.

Wanita itu kemudian dibawa menaiki helikopter ke Hospital Universiti Donga di Busan, kira-kira tiga setengah jam selepas panggilan klinik pertama.

Namun, janin itu disahkan meninggal dunia sewaktu si ibu tiba di hospital.

Mujur, keadaan si ibu dilaporkan stabil.

Sistem ambulans Korea Selatan memerlukan kelulusan daripada hospital penerima sebelum boleh membawa pesakit ke unit rawatan kecemasan.

Masalah penolakan pesakit oleh hospital kian memuncak sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Ia didorong oleh kekurangan staf dan rasa takut kakitangan perubatan dalam menghadapi pertuduhan jenayah jika pesakit meninggal dunia di bawah jagaan mereka.

Pelbagai kajian menunjukkan kadar dakwaan kecuaian perubatan terhadap doktor di Korea Selatan dilapor lebih tinggi berbanding negara maju lain.

Pada Februari, seorang lagi wanita hamil 28 minggu di Daegu yang mengalami tanda kelahiran pramatang, ditolak oleh tujuh hospital tempatan sebelum dihantar ke sebuah hospital sejauh 230 kilometer di Seoul.

Beliau melahirkan bayi kembar melalui pembedahan kecemasan, tetapi hanya seorang terselamat. – Agensi berita.