JAKARTA: Dua pelancong Austria maut selepas terjatuh dari sebuah jambatan gantung yang runtuh, berhampiran air terjun terkenal Cunca Wulang di Pulau Flores, Indonesia.

Demikian menurut pihak berkuasa pada 25 Mei.

Mangsa terdiri daripada seorang lelaki berusia 55 tahun dan seorang wanita berusia 57 tahun, yang dipercayai sedang bercuti di kawasan pelancongan popular berhampiran Labuan Bajo.

Ketua agensi mencari dan menyelamat tempatan, Encik Fathur Rahman, berkata mayat kedua-dua mangsa ditemui di sungai, di bawah jambatan tersebut pada 24 Mei.

“Mangsa ditemukan di dasar sungai selepas operasi mencari dan menyelamat dijalankan,” katanya.

Menurut pihak berkuasa, pasangan itu dipercayai sedang menyeberangi jambatan gantung sepanjang kira-kira 50 meter, sebelum struktur tersebut tiba-tiba runtuh.

Jambatan itu merupakan laluan utama menuju ke air terjun Cunca Wulang yang terletak kira-kira dua jam perjalanan dari Labuan Bajo, destinasi pelancongan terkenal yang menjadi pintu masuk ke Taman Negara Komodo.

Pemandu pelancong pasangan tersebut memberitahu portal tempatan, Hey Bali News, bahawa jambatan itu runtuh secara tiba-tiba, ketika mangsa sedang berjalan sambil bergambar.

“Mereka sedang berjalan beriringan dan tersenyum ke arah kamera,” katanya.

“Tiba-tiba saya terdengar bunyi kayu patah yang sangat kuat, seperti dahan pokok besar jatuh.”

Menurut beliau, beberapa papan kayu jambatan runtuh dalam beberapa saat sebelum kedua-dua pelancong terjatuh kira-kira 20 meter ke dalam sungai di bawah.

Gambar yang disiarkan media tempatan menunjukkan terdapat lubang besar pada bahagian tengah jambatan gantung tersebut.

Setakat ini, pihak berkuasa Indonesia masih menyiasat punca sebenar kejadian dan tahap keselamatan struktur jambatan itu.

Laporan media tempatan menyebut banyak jambatan gantung di kawasan pedalaman Indonesia dibina menggunakan bahan tempatan, dan jarang menjalani pemeriksaan keselamatan secara berkala.

Keadaan itu menimbulkan kebimbangan mengenai tahap keselamatan di beberapa lokasi pelancongan semula jadi yang semakin popular dalam kalangan pelancong asing.

Flores yang terletak kira-kira 500 kilometer di timur Bali, terkenal dengan landskap gunung berapi, lokasi menyelam dan tarikan semula jadi termasuk air terjun serta gaung batu yang sering dibandingkan dengan ‘Grand Canyon mini’.

Air terjun Cunca Wulang khususnya menjadi tumpuan pelancong kerana airnya yang jernih berwarna biru kehijauan serta kegiatan berenang dan terjun dari tebing batu.

Namun, beberapa kawasan pelancongan terpencil di Indonesia sering berdepan cabaran dari segi prasarana dan akses kecemasan.

Kemalangan maut melibatkan pelancong asing di lokasi pelancongan semula jadi di Indonesia bukan perkara baharu.

Pada Disember 2025, empat anggota sebuah keluarga dari Sepanyol maut selepas bot yang dinaiki mereka karam berhampiran Flores.

Pada Jun 2025 pula, seorang wanita dari Brazil maut selepas terjatuh ketika mendaki Gunung Rinjani di Pulau Lombok.

Penganalisis pelancongan berkata peningkatan jumlah pelancong antarabangsa ke kawasan semula jadi terpencil di Indonesia, memerlukan perhatian lebih serius terhadap aspek keselamatan dan penyelenggaraan kemudahan awam.

“Indonesia mempunyai potensi pelancongan alam semula jadi yang sangat besar, tetapi keselamatan pelancong perlu menjadi keutamaan,” kata pemerhati industri pelancongan di Jakarta.

Menurut beliau, banyak kawasan pelancongan di kepulauan Indonesia masih bergantung pada prasarana lama yang tidak direka untuk menerima jumlah pengunjung yang ramai.

Tragedi terkini di Flores itu sekali lagi mencetuskan persoalan mengenai tahap keselamatan lokasi pelancongan popular di Indonesia, khususnya di kawasan terpencil yang sukar diakses pasukan penyelamat. – Agensi berita.