Topik diikuti
Pergi ke BHku13 kakitangan pusat jagaan ditahan dalam kes dera kanak-kanak di Yogyakarta
13 kakitangan pusat jagaan ditahan dalam kes dera kanak-kanak di Yogyakarta
13 kakitangan pusat jagaan ditahan dalam kes dera kanak-kanak di Yogyakarta
YOGYAKARTA: Polis Indonesia menahan 13 individu susulan pendedahan rakaman penderaan terhadap kanak-kanak kecil di sebuah pusat jagaan harian di Yogyakarta, yang mencetuskan kemarahan meluas di negara itu.
Serbuan dilakukan pada 24 April di pusat jagaan Little Aresha selepas seorang bekas pekerja membuat laporan kepada pihak berkuasa.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang tular di media sosial menunjukkan kanak-kanak, kebanyakannya berusia bawah dua tahun, terbaring di lantai hanya memakai lampin, dengan tangan dan kaki diikat menggunakan kain.
Ketua Polis Yogyakarta, Encik Eva Guna Pandia, berkata rakaman tersebut adalah sahih.
“Setakat ini, 13 individu telah dikenal pasti sebagai suspek dan mereka telah ditahan,” katanya kepada pemberita.
Menurut polis, seramai 20 kanak-kanak ditempatkan dalam sebuah bilik kecil berukuran kira-kira 3 meter kali 3 meter.
Antara yang ditahan termasuk 11 penjaga kanak-kanak, serta pengetua dan ketua yayasan yang mengendalikan pusat tersebut.
Suspek memaklumkan kepada polis bahawa sebahagian kanak-kanak diikat bagi mengelakkan mereka mengganggu yang lain.
Mereka turut mendakwa pusat itu kekurangan kakitangan untuk menguruskan keperluan asas seperti memandikan dan memakaikan pakaian kepada kanak-kanak.
Seorang pegawai penyiasat, Encik Riski Adrian, berkata pusat tersebut menempatkan kira-kira 100 kanak-kanak, dengan lebih separuh dipercayai menjadi mangsa layanan buruk.
Seorang bapa, Encik Noorman Windarto, 42 tahun, berkata beliau terkejut selepas dimaklumkan oleh ibu bapa lain mengenai kejadian itu.
Beliau segera mengambil anak lelakinya yang berusia dua tahun, sebelum dimaklumkan oleh polis bahawa kanak-kanak itu turut menjadi mangsa.
“Hati saya hancur. Isteri saya menangis,” katanya.
Menurutnya, anak perempuannya yang kini berusia enam tahun pernah pulang dengan kesan lebam, namun pihak pusat jagaan mendakwa kecederaan itu berlaku ketika bermain.
Beliau turut mempersoalkan keadaan anak lelakinya yang sering dimasukkan ke hospital akibat radang paru-paru.
“Saya sangat marah. Mereka mesti dihukum seberat-beratnya,” katanya.
Encik Noorman menambah beliau membayar kira-kira 1.1 juta rupiah ($81), iaitu sekitar separuh daripada gaji minimum di Yogyakarta bagi setiap seorang daripada dua anaknya untuk menghadiri pusat tersebut.
Menurut undang-undang perlindungan kanak-kanak Indonesia, kesemua suspek boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun serta denda sehingga 100 juta rupiah.
Pihak berkuasa memaklumkan siasatan masih diteruskan dan tidak menolak kemungkinan pertuduhan tambahan akan dikenakan. – Agensi berita.
