Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

10 negara Barat luah kebimbangan, situasi kemanusiaan Gaza disifatkan ‘bencana’

Dec 31, 2025 | 11:12 AM
Kanak-kanak memerhati ketika artis Yazed Abo Jarad menghasilkan arca pasir bertemakan tahun baharu, ketika penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal bersiap menyambut ketibaan Tahun Baharu di Deir El-Balah, di tengah Jaluran Gaza, pada 30 Disember 2025. Gencatan senjata yang rapuh bermula pada Oktober lalu setakat ini berjaya menghentikan peperangan selama dua tahun antara Israel dan Hamas di Semenanjung Gaza, meskipun kedua-dua pihak saling menuduh berlakunya pelanggaran perjanjian gencatan senjata.
Kanak-kanak memerhati ketika artis Yazed Abo Jarad menghasilkan arca pasir bertemakan tahun baharu, ketika penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal bersiap menyambut ketibaan Tahun Baharu di Deir El-Balah, di tengah Jaluran Gaza, pada 30 Disember 2025. Gencatan senjata yang rapuh bermula pada Oktober lalu setakat ini berjaya menghentikan peperangan selama dua tahun antara Israel dan Hamas di Semenanjung Gaza, meskipun kedua-dua pihak saling menuduh berlakunya pelanggaran perjanjian gencatan senjata. - Foto AFP

LONDON: Menteri-menteri luar dari 10 negara menyuarakan “kebimbangan serius” terhadap kemerosotan semula keadaan kemanusiaan di Gaza, dengan menyifatkan situasi di wilayah Palestin itu sebagai “bencana”, ketika jutaan penduduk awam berdepan musim sejuk dalam keadaan serba kekurangan.

Dalam satu kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Pejabat Luar Britain pada 30 Disember, menteri luar Britain, Canada, Denmark, Finland, Perancis, Iceland, Jepun, Norway, Sweden dan Switzerland berkata penderitaan orang awam di Gaza semakin meruncing, khususnya dengan ketibaan musim sejuk.
“Ketika musim sejuk bermula, orang awam di Gaza berdepan keadaan yang amat menyedihkan dengan hujan lebat dan suhu yang semakin menurun,” menurut kenyataan itu.

Para menteri memberi amaran bahawa krisis kemanusiaan kini berada pada tahap kritikal. Menurut mereka, seramai 1.3 juta penduduk masih memerlukan sokongan perlindungan segera, manakala lebih separuh daripada kemudahan kesihatan hanya berfungsi secara separa dan kekurangan peralatan serta bekalan perubatan asas. “Kehancuran sepenuhnya infrastruktur sanitasi telah menyebabkan 740,000 orang terdedah kepada risiko banjir beracun,” kata kenyataan tersebut.

Kenyataan itu dikeluarkan ketika Israel mengumumkan akan menggantung lesen 37 pertubuhan bantuan yang beroperasi di Gaza dan Tebing Barat yang diduduki, dengan alasan gagal memenuhi syarat di bawah peraturan pendaftaran baharu. Antara pertubuhan bukan pemerintah antarabangsa (INGO) terkenal yang terjejas ialah ActionAid, Jawatankuasa Penyelamat Antarabangsa dan Majlis Pelarian Norway.

Menurut pengumuman Israel, lesen pertubuhan berkenaan akan digantung mulai 1 Januari, dan operasi mereka perlu ditamatkan dalam tempoh 60 hari.
Para menteri luar memberi amaran bahawa langkah itu berisiko mengganggu perkhidmatan kesihatan dan perkhidmatan penting lain kepada penduduk awam. Mereka menegaskan bahawa INGO mesti dibenarkan beroperasi secara “konsisten dan boleh diramal”.

“Majoriti penduduk Gaza, dianggarkan sekitar 1.6 juta orang, kini mengalami tahap ketidakamanan makanan akut yang serius,” menurut kenyataan itu, sambil menambah bahawa usaha bantuan “terus berdepan kekangan besar akibat halangan akses yang berterusan”.

Mereka turut menekankan keperluan agar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan rakan-rakannya, termasuk  Agensi Bantuan dan Kerja Menyelamat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Pelarian Palestin (UNRWA) dapat meneruskan penyampaian bantuan secara berkecuali kepada orang awam.

Kenyataan bersama itu menyeru Israel mengambil tindakan segera bagi menangani krisis kemanusiaan, termasuk menarik balik sekatan ke atas import barangan penting seperti bekalan perubatan dan peralatan perlindungan, serta membuka sepenuhnya lintasan sempadan bagi meningkatkan aliran bantuan.

Menurut kenyataan itu penghapusan kekangan tersebut adalah penting bukan sahaja untuk penyampaian bantuan yang berkesan, tetapi juga bagi usaha pembinaan semula dan kestabilan jangka panjang Gaza.
Kenyataan itu dikeluarkan sehari selepas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, memberi amaran keras kepada kumpulan Hamas bahawa akan ada “harga yang perlu dibayar” sekiranya kumpulan itu gagal melucutkan senjata di Gaza. Amaran itu disampaikan ketika Encik Trump menampilkan pendirian bersama Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu.

Dalam sidang media bersama Encik Netanyahu di Florida, Encik Trump berkata Israel telah “memenuhi komitmennya” dalam pelaksanaan gencatan senjata, dan menegaskan bahawa tanggungjawab kini terletak pada Hamas. Beliau turut meremehkan laporan mengenai ketegangan antara dirinya dan Encik Netanyahu berhubung fasa kedua gencatan senjata Gaza yang rapuh.

Para menteri luar dalam kenyataan mereka berkata mereka mengalu-alukan kemajuan yang dicapai bagi menghentikan pertumpahan darah di Gaza serta usaha membebaskan tebusan Israel. Namun, mereka menegaskan bahawa penderitaan orang awam di Gaza tidak boleh diketepikan.

“Kami tidak akan mengalihkan fokus daripada nasib penduduk awam di Gaza,” menurut kenyataan itu, sambil menggesa kerajaan Israel mengambil beberapa langkah yang disifatkan sebagai “mendesak dan penting”.

Antara gesaan utama ialah memastikan NGO antarabangsa dapat beroperasi di Gaza secara berterusan dan tidak terganggu, khususnya menjelang 31 Disember apabila banyak pertubuhan berisiko dibatalkan pendaftarannya di bawah syarat baharu Israel.

Para menteri turut menggesa agar sekatan yang dianggap “tidak munasabah” ke atas import barangan dwi-guna ditarik balik, termasuk peralatan perubatan dan perlindungan. Mereka juga menyeru pembukaan lintasan sempadan bagi meningkatkan aliran bantuan kemanusiaan.

Walaupun mengalu-alukan pembukaan sebahagian lintasan Allenby di Tebing Barat, mereka menyatakan kebimbangan bahawa laluan lain, termasuk Rafah, kekal ditutup atau sangat terhad untuk bantuan kemanusiaan.

“Proses kastam yang birokratik dan pemeriksaan yang meluas menyebabkan kelewatan, sedangkan kargo komersial dibenarkan masuk dengan lebih bebas,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menegaskan sasaran 4,200 trak seminggu, termasuk 250 trak PBB sehari, sepatutnya menjadi paras minimum, bukan had maksimum, bagi memastikan bekalan penting dapat disalurkan pada skala yang benar-benar diperlukan oleh penduduk Gaza. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg