Dengan kedatangan bulan Zulhijah dan sambutan Aidiladha ini, Madrasah Al-Ma’arif Al-Islamiah sekali lagi bakal menganjurkan khidmat ibadah korban kambing di Indonesia.
Ini adalah tahun ke-14 pihak madrasah bekerjasama dengan pesantren di Baabussalaam, Kopo, Bandung.
Projek ibadah korban ini juga dilaksanakan bagi membantu golongan fakir miskin, penduduk memerlukan, individu di sekitar pesantren dan warga kerja di sana.
Sebahagian daripada hasil korban itu juga bakal disalurkan kepada dana pembangunan madrasah.
Walaupun pihak madrasah mempunyai vendor untuk melaksanakan ibadah korban ini, tenaga kerja daripada pihak Madrasah Al-Ma’arif akan ‘turun padang’ ke Bandung, demi memastikan segala amanah untuk ibadah korban atau akikah berjalan lancar serta mematuhi syarat yang ditetapkan.
Antara kriteria penting ialah memastikan setiap haiwan korban sihat, bebas daripada penyakit, cukup umur dan mempunyai berat antara 21 kilogram dengan 24 kilogram bagi seekor kambing.
Keluasan kandang kambing juga diambil kira – dianggarkan 350 meter persegi – dan dikendalikan tiga pembantu demi memastikan persekitaran kandang dijaga rapi dan teratur.
Menurut Pegawai Pembangunan Dana Madrasah Al-Ma’arif Al-Islamiah, Cik Siti Radhiyah Rahmat, harga bagi seekor kambing korban ialah $260 dan akikah pula $280. Sijil penyertaan akan diberikan.
“Pada 2023 ini, genap 14 tahun pihak madrasah bekerjasama dengan pesantren di Indonesia ini. Insya-Allah jika tiada halangan, wakil madrasah akan ke Bandung dan melihat sendiri upacara penyembelihan di pesantren Baabussalaam.
“Kami sering berhubung untuk mengetahui perkembangan di sana. Sokongan yang diberikan oleh pihak pesantren sangat memberangsangkan. Ramai sukarelawan yang membantu menyembelih, memotong dan memasak (akikah) dan sebagainya.
“Kami akan mula menyembelih pada pagi hari selepas solat Aidiladha, dan selesai sebelum waktu zuhur. Daging korban ini bakal diagihkan pada waktu petang selepas segala urusan memotong selesai dijalankan.
“Berat kambing kami titikberatkan juga supaya lebih manfaat dapat diraih dan dagingnya boleh diagihkan kepada ramai penerima yang layak di sana.
“Segala amanah yang diberikan peserta korban akan kami laksanakan dengan sempurna dan sebaik mungkin. Sebahagian daripada harga tempahan korban ini disalurkan juga kepada dana pembangunan madrasah,” jelas Cik Siti Radhiyah.
Tarikh tutup bagi tempahan untuk ibadah ini ialah 23 Jun 2023.
Pihak madrasah mengalu-alukan sokongan dan sumbangan orang ramai bagi mengumpul dana $2 juta pada fasa 2021-2023 untuk projek naik taraf dan pembangunan.
Untuk pertanyaan, tempahan dan menderma:
– Anda boleh WhatsApp atau hubungi talian 9182-4766.
– Ke pejabat Madrasah Al-Ma’arif Al-Islamiah di No 3 Lorong 39 Geylang, Singapura 387865. Pembayaran secara tunai/Nets atau cek diterima. Waktu pejabat semasa cuti sekolah dari 9 pagi hingga 3 petang.
– PayNow ke UEN : S36MM0001G (rujukan: korban).
– Perbankan Internet: 507018232001 (rujukan: korban).
– Pendaftaran dari rumah: WhatsApp ke talian 9182-4766, sertakan nama, alamat dan jumlah korban yang diingini.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg