Dalam artikel saya sebelum ini yang bertajuk, ‘Cara Melayu dulu ukur isi padu, kepanjangan’ (terbitan Berita Minggu, 21 September), pencerahan telah diberikan mengenai cara inovasi masyarakat Melayu tradisional mengukur kepanjangan dan isi padu, iaitu dengan menggunakan anggota badan (seperti jari dan tangan) serta bekas pengisi yang terdapat di sekeliling mereka.
Pada penghujung artikel itu, saya tidak menafikan bahawa sistem ukuran tradisional sebegini mempunyai kekurangan.
Disebabkan itu, sistem metrik yang dicipta dunia Barat diterima masuk ke dunia Melayu kerana ia konsisten dan tepat dari segi saintifik.
Namun, di sebalik kelemahan ini, pemahaman mengenai ukuran tradisional masih perlu didalami, bagi membolehkan kita, generasi moden, menghargai kepintaran nenek moyang kita memanfaatkan sepenuhnya anggota badan serta objek di sekeliling mereka.
Pada kali ini saya ingin mengetengahkan ukuran berat tradisional pula, yang sudah tidak dipraktikkan lagi, terutama dengan pelaksanaan Akta Metrikasi pada 1970 di Singapura.
Melalui akta ini, ia menyediakan kuasa perundangan untuk menghapuskan sistem ukuran tradisional secara berperingkat dan menggantikannya dengan Sistem Unit Antarabangsa (SI), atau dikenali sebagai sistem metrik di Singapura.
Kati merupakan ukuran berat yang paling lazim digunakan pada zaman dahulu.
Perkataan ‘kati’ dipinjam daripada bahasa Tamil, katti, yang bermaksud ‘berat’, menurut Kamus Etimologi Bahasa Melayu Dewan (2024).
Dalam sistem metrik, satu kati bersamaan 600 gram.
Selain kati, tahil juga digunakan sebagai ukuran berat barangan.
Perkataan ‘tahil’ diwarisi daripada bahasa Melayu-Jawanik Purba dan unit ukuran ini lebih kecil daripada kati, kerana satu tahil hanya seberat 37.8 gram, atau ¹/₁₆ kati.
Untuk mengukur berat, masyarakat dahulu menggunakan dacing dan beberapa batu penimbang yang sudah ditanda beratnya.
Barang yang hendak diukur beratnya akan diletakkan di satu sisi dacing, manakala satu lagi sisi akan diletakkan batu penimbang itu.
Apabila kedua-dua sisi dacing seimbang, maka itulah berat barang tersebut.
Perkataan ‘kati’ atau ‘tahil’ ada terkandung dalam peribahasa Melayu misalnya, ‘dikati sama berat, diuji sama merah’ dan ‘diuji sama merah, ditahil sama berat’.
Kedua-dua peribahasa tersebut membawa maksud yang sama, iaitu pasangan yang sangat sepadan dari segi darjat, kedudukan atau pangkat.
Pikul adalah perbuatan membawa barangan dengan menggunakan kayu berbentuk tongkat, yang diletakkan di atas bahu.
Pada zaman dahulu, jika seseorang itu dikatakan membawa satu pikulan barang, ia bermaksud berat barang yang dibawa itu 100 kati, atau 60 kilogram jika mengikut kiraan sistem metrik.
Berat ini (60 kilogram) dianggap beban yang mampu dipikul seseorang manusia secara umum, dalam satu pikulan.
Perkataan ‘pikul’ juga ada terkandung dalam beberapa peribahasa Melayu dan antara yang tidak asing lagi adalah seperti, ‘berat sama dipikul, ringan sama dijinjing’.
Peribahasa ini bermaksud suka duka sama-sama ditanggung.
Peribahasa lain yang mungkin jarang kita dengar adalah seperti ‘memikul di bahu, menjunjung di kepala’ yang bermaksud, mengerjakan sesuatu hendaklah menurut aturannya; serta ‘tangan mencencang, bahu memikul’ iaitu, siapa bersalah dia yang akan dihukum.
Bungkal, mayam, malah saga kenderi, merupakan unit ukuran tradisional untuk mengukur berat emas.
Satu bungkal, perkataan yang diwarisi daripada bahasa Melayu Polinesia Barat Purba, sama dengan 53.9 gram, atau 16 mayam.
Menariknya juga, biji saga kenderi berwarna merah, turut digunakan dalam menimbang berat emas di atas dacing pada zaman dahulu kerana bentuk dan saiz biji yang dihasilkan, semuanya sama.
Kalau dikatakan berat emas itu satu saga kenderi, ia bermakna emas itu seberat 0.378 gram dan 12 saga kenderi pula bersamaan dengan satu mayam.
Sistem ukur berat tradisional lazimnya digunakan dalam urusan jual beli barangan dan ia banyak kekurangannya.
Bagi peniaga yang tidak jujur, mereka boleh memperdaya pembeli dengan menggunakan batu timbangan yang tidak tepat atau tidak sejajar dengan tanda sebenarnya.
Bagi ukuran pikul pula, bukan semua orang mampu memikul beban seberat 60 kilogram dalam satu pikulan.
Sungguhpun begitu, yang baik kita jadikan teladan, yang buruk kita jadikan sempadan.
Ukuran tradisional wajar dilihat daripada sudut yang positif kerana ia bukan sekadar ukuran semata-mata, tetapi sebagai sebahagian warisan budaya yang perlu kita ketahui dan hargai.
“
Sungguhpun begitu, yang baik kita jadikan teladan, yang buruk kita jadikan sempadan. Ukuran tradisional wajar dilihat daripada sudut yang positif kerana ia bukan sekadar ukuran semata-mata, tetapi sebagai sebahagian warisan budaya yang perlu kita ketahui dan hargai.

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg