Novel terbaharu penggiat sastera, Anuar Othman, berjudul Fatihah mempunyai watak kanak-kanak perempuan bernama Fatihah dengan jalan cerita bertaut pada makna dan pengajaran ayat-ayat dalam surah Al-Fatihah.

Anuar, 69 tahun, menyifatkan buku dengan hampir 100 muka surat itu sebagai novel tadabbur yang mengajak pembaca merenung, menghayati dan memikirkan secara mendalam makna ayat-ayat Al-Quran untuk memahami maksud yang ingin disampaikan Allah swt dan mengaplikasinya dalam kehidupan sehari-hari.

“Saya namakan novel ini sebagai novel tadabbur, kalau dapat diterima umum,” kata Anuar dalam wawancara bersama Berita Harian (BH) baru-baru ini.

“Apabila kita melakukan tadabbur, kita membuat renungan atas apa yang kita baca, tidak semestinya ayat Al-Quran.

“Dalam bacaan itu, kita melihat diri kita, bukan orang lain.

“Sebab itu, penghayatan atau pandangan mengenai sesuatu yang dibaca tidak sama kerana ia bergantung kepada kehidupan dan perjalanan hidup masing-masing,” tambahnya.

Novel ‘Fatihah’ mengisahkan kehadiran seorang anak perempuan bernama Fatihah yang menjadi titik perubahan dalam hidup sepasang suami isteri, sekali gus membuka kesedaran mereka tentang makna syukur, kehebatan doa dan kebesaran Tuhan.
Novel ‘Fatihah’ mengisahkan kehadiran seorang anak perempuan bernama Fatihah yang menjadi titik perubahan dalam hidup sepasang suami isteri, sekali gus membuka kesedaran mereka tentang makna syukur, kehebatan doa dan kebesaran Tuhan. - Foto ANUAR OTHMAN

Secara ringkas, novel Fatihah mengisahkan tentang Yusuf dan Mariam, sepasang suami isteri yang hidup sederhana, namun diuji dengan harapan, penerimaan dan peranan sebagai ibu bapa.

Kehadiran seorang anak perempuan bernama Fatihah menjadi titik perubahan yang membuka semula pintu kesedaran dalam hidup mereka, tentang makna syukur, tentang kehebatan doa, dan tentang kebesaran Tuhan.

Setiap bab dalam novel Fatihah diilhamkan daripada makna ayat-ayat surah Al-Fatihah, dengan contoh unsur tadabbur dilihat dalam ayat-ayat berikut:

“Yusuf memandang langit malam, bintang berkelip di celah awan. Maaliki yaumiddin memberi kita dua hal, Yam.

“Pertama, rasa takut. Takut kerana segala amal akan dihisab.

“Kedua, rasa harap. Harap kerana hanya Allah yang Maha Adil, dan Dia tak akan zalim walau sebutir zarah. Di situ letaknya keseimbangan.”

Anuar mahu menerapkan kelainan dalam penulisan novel iaitu melalui dakwah secara halus. 
Anuar mahu menerapkan kelainan dalam penulisan novel iaitu melalui dakwah secara halus.  -

Berkongsi ilhamnya bagi novel Fatihah, Anuar berkata setiap kali beliau membaca surah Al-Fatihah, terlintas dalam fikirannya untuk mendalami surah tersebut.

“Saya melihat diri saya dalam tujuh ayat ini. Setiap ayat yang kita baca, Allah membalasnya.

“Adakah kita faham apa yang kita baca? Tadabbur lebih bersifat refleksi diri dan bermuhasabah,” kata penulis mapan itu.

Anuar, yang turut meminati karya Inggeris, menambah karya penulis, Charles Dickens, juga mempunyai banyak unsur tadabbur, iaitu bagaimana manusia mengisi ruang sosial lebih adil.

“Saya ingin membawa kelainan dalam penulisan novel, melalui dakwah secara halus.

“Ini mungkin selari dengan gaya Hamka seperti yang dilihat dalam karya, Di Bawah Lindungan Kaabah, Tenggelamnya Kapal van der Wijck, dan banyak lagi.

“Saya gemar melakukan tadabbur setelah belajar daripada Allahyarham Ustaz Mohammad Jakfar Embek,” ujarnya.

Fatihah merupakan novel tadabbur kedua Anuar.

Novel pertama beliau berjudul, Rahman, yang mengandungi renungan ayat-ayat daripada surah Ar-Rahman.

Novel refleksi ketiga Anuar pula berjudul Demi Masa, yang sedang dalam penulisan, mengandungi renungan ayat-ayat daripada surah Al-Asr.

Anuar meluah harapan pembaca novelnya itu akan lebih mengerti surah Al-Fatihah yang dibaca dan pengajaran di sebaliknya.

“Harapan saya, pembaca bukan hanya mendapat sebuah cerita tetapi ‘sesuatu’ yang insya-Allah akan membuat mereka sedar betapa pentingnya surah ini di dalam kehidupan mereka,” katanya.

Ditanya tentang sambutan kepada genre novel bersifat refleksi dalam kalangan penulis, Anuar berkata beliau tidak begitu pasti tetapi berpendapat ia harus dimulakan.

“Harus ada pengkritik atau pengulas yang memahami unsur tadabbur.

“Saya rasa Hamka sudah lama memulakannya tetapi kurang dikaji.

“Sastera harus membina kemanusiaan, dan saya harap saya dapat menyumbang ke arah itu,” katanya.

Novel Fatihah dilancarkan di sebuah kafe di Kuala Lumpur pada Februari dan boleh dibeli dengan menghubungi Anuar di 9082-4337.

Saya namakan novel ini sebagai novel ‘tadabbur’, kalau dapat diterima umum. Apabila kita melakukan ‘tadabbur’, kita membuat renungan atas apa yang kita baca, tidak semestinya ayat Al-Quran. Dalam bacaan itu, kita melihat diri kita, bukan orang lain. Sebab itu, penghayatan atau pandangan mengenai sesuatu yang dibaca tidak sama kerana ia bergantung kepada kehidupan dan perjalanan hidup masing-masing.
Anuar Othman.
Laporan berkaitan
Hamka ulama novelisJul 30, 2024 | 11:20 AM
Pendorong agar anda terus menulisJul 22, 2024 | 9:52 AM