Topic followed successfully
Go to BHkuSimposium Akar 2026 bincang peranan belia bawa budaya Melayu ke masa depan
Simposium Akar 2026 bincang peranan belia bawa budaya Melayu ke masa depan
Tema 2026: Teliti peranan adat, jati diri dalam hadapi perubahan serantau dan cabaran sejagat
Simposium Akar 2026 bincang peranan belia bawa budaya Melayu ke masa depan
Generasi muda bertanggungjawab besar membawa budaya Melayu merentasi zaman kerana mereka perlu meneruskan usaha memelihara budaya supaya ia terus relevan, kata Duta Bahasa 2025, Encik Fatih Hamdani Muhammad Effendy.
“Budaya tidak akan hidup kalau hanya disimpan. Ia perlu diamalkan dan diterjemahkan dalam konteks zaman kita,” katanya.
Menurut Encik Fatih, belia hari ini memiliki kelebihan dari segi kefahaman konteks semasa serta kebolehan menggunakan wadah digital untuk menyampaikan budaya dengan cara yang lebih dekat dan relevan kepada generasi mereka.
“Identiti dan jati diri tidak akan pupus, yang berubah hanyalah cara kita melahirkannya,” ujarnya, sambil menggesa belia agar lebih berani mendekati wacana budaya dan tidak menganggapnya sebagai sesuatu yang lapuk.
Beliau berkata demikian semasa menyertai perbincangan dalam Simposium Akar 2026 yang diadakan di Wisma Geylang Serai, pada 31 Januari.
Simposium tersebut, yang diadakan buat kali ke-12, adalah inisiatif pendidikan budaya anjuran persatuan seni, Variasi, yang telah melibatkan lebih 300 belia sejak ia diperkenalkan lebih sedekad lalu.
Bermula sebagai bengkel seni, Akar kini berkembang menjadi wadah berteras wacana yang meneroka budaya melalui perbincangan akademik serta penglibatan masyarakat.
Ia turut menyediakan peluang pembelajaran serta membina keupayaan belia dan bakat baharu dalam bidang seni persembahan, sastera dan bahasa menerusi bengkel.
Seiring dengan sokongan masyarakat, program itu berkembang menjadi pesta pembelajaran, termasuk penganjuran berskala besar di The Arts House pada 2023 yang menarik kehadiran ribuan pengunjung.
Tahun ini (2026), dengan tema, ‘Adat dan Jati Diri’, simposium itu memilih Budaya yang Mengakar, Meneduh dan Membuah dalam Arus Pergolakan dan Peluang Serantau, sebagai topik utama bagi meneliti peranan adat dan jati diri budaya Melayu dalam menghadapi perubahan serantau serta cabaran sejagat.
Antara topik perbincangan ialah peranan belia sebagai penerus dan penentu hala tuju budaya pada masa depan.
Ia menampilkan barisan panel jemputan daripada latar belakang seni dan bahasa.
Selain Encik Fatih, simposium itu turut menampilkan aktivis seni dan Duta Bahasa, Aidli ‘Alin’ Mosbit, dan Pengarah Artistik Era Dance Theatre, Osman Abdul Hamid, yang disertai Dr Farizan Amin, seorang ahli akademik, selaku pengendali perbincangan.
Pengerusi merangkap Ketua Pengarah Variasi, Raja Hamzah, berkata pelestarian budaya Melayu dan Nusantara memerlukan pendekatan holistik yang melibatkan kerjasama erat antara generasi senior sebagai pemegang pengetahuan, dengan generasi muda sebagai penerus budaya.
“Akar diwujudkan sebagai ruang pertemuan dua generasi, yang berpengalaman dan yang sedang mencari makna,” katanya.
Menurutnya, gabungan ilmu, pengalaman dan tenaga muda penting bagi memastikan budaya terus ‘mengakar’, ‘meneduh’ dan akhirnya ‘membuah’ dalam kehidupan masyarakat.
Beliau turut menegaskan bahawa usaha melestarikan budaya bukan sekadar memelihara perbezaan, bahkan juga mengiktiraf kepelbagaian sambil menekankan persamaan dan keunikan bersama dalam konteks budaya Melayu dan Nusantara.
Simposium Akar 2026 membuka tirai sambutan ulang tahun Variasi yang ke-25.
Ia turut dihadiri tetamu kehormat, Menteri Negara (Ehwal Luar merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, dan Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan merangkap Pembangunan Negara), Dr Syed Harun Alhabsyi.
Dalam ucapannya, Encik Zhulkarnain berkata seni dan budaya Melayu mempunyai tempat yang kukuh dalam masyarakat majmuk Singapura.
Beliau berkata usaha memelihara, melestarikan dan mengembangkan seni budaya Melayu tidak harus dipandang ringan, dan perlu diteruskan agar budaya Melayu bukan sahaja terus berkembang, malah dikenali di peringkat antarabangsa.
Selain sesi simposium, pengunjung turut berpeluang menyaksikan pameran serta persembahan daripada masyarakat Bugis, Jawa, Banjar, Bawean dan Minangkabau, yang mempamerkan budaya, bahasa, masakan serta tekstil tradisional.
Dalam perancangan jangka panjang, Variasi merancang memperluaskan Akar ke peringkat Nusantara menerusi penganjuran Persidangan dan Simposium Akar Antarabangsa di Malaysia pada 2027, diikuti Indonesia pada 2028.
Penolong Pengarah Akar 2026, Encik Zahid Zailani, 26 tahun, berkata peluasan itu penting kerana rantau Nusantara berkongsi persamaan bahasa, budaya dan warisan yang boleh memperkukuh jaringan serantau.

