Raja Ali Haji Raja Haji Ahmad (1808-1873) ialah salah seorang bangsawan ternama daripada keluarga Yang Dipertuan Muda Kesultanan Johor-Riau-Lingga.
Meskipun dilahirkan di Selangor, beliau dibesarkan di Kepulauan Riau. Beliau adalah cucu kepada pahlawan terbilang Raja Haji, yang masyhur dengan gelaran ‘Marhum’ di Ketapang, dan telah gugur sewaktu menentang Belanda di Melaka.
Pendidikan Raja Ali Haji berlangsung dalam lingkungan istana. Dalam kalangan para bangsawan keturunan Yang Dipertuan Muda yang berdarah Bugis, beliau menonjol sebagai kerabat yang paling tekun dalam bidang penulisan, di samping minatnya terhadap ajaran tasawuf.
Raja Ali Haji hidup sezaman dengan pergeseran kuasa antara pihak Sultan daripada suku Melayu dengan pihak Yang Dipertuan Muda daripada suku Bugis, serta menyaksikan peningkatan campur tangan Residen Belanda dalam pentadbiran Riau.
Beliau terkenal dengan karyanya Gurindam Dua Belas dan buku sejarah Tuhfat al-Nafis, sebuah mahakarya sejarah tentang kerajaan Melayu Johor yang terjalin erat dengan pahlawan-pahlawan Bugis yang kemudiannya menerajui jawatan Yang Dipertuan Muda dalam kerajaan Johor-Riau-Lingga.
Raja Ali Haji mengharungi zaman kekuasaan Belanda yang semakin kuat genggamannya di Riau, apatah lagi Singapura terlepas ke tangan British pada 1819.
Kerajaan Johor-Riau sendiri terbahagi dua wilayah pengaruh ekoran termeterainya perjanjian Inggeris dan Belanda pada 1824.
Wilayah di bahagian utara Singapura diletakkan di bawah pengaruh British, manakala wilayah di selatan Singapura berada di bawah pengaruh Belanda. Pembahagian ini memecahkan kerajaan Johor-Riau; Pahang, Johor, dan Singapura bernaung di bawah Inggeris, sementara kepulauan Riau dalam pantauan Belanda.
Di Lingga, Sultan Melayu ingin melepaskan diri daripada pengawasan Yang Dipertuan Muda di Penyengat. Belanda pula semakin galak memperkukuh kekuasaan, bimbang wilayah lain akan diserahkan lagi, terutamanya selepas insiden Singapura jatuh ke tangan British.
Walau apa pun pergolakan dalam kalangan pembesar Riau, ia mencetuskan kesedaran tentang pentingnya para pembesar memerintah dengan baik, adil, dan berilmu agar kekuasaan dapat dikekalkan. Kesedaran ini jelas terpancar daripada sejumlah karya Raja Ali Haji.
Kepimpinan yang hanya menurut nafsu tidak akan kekal. Memerintah dengan adil menjamin ketaatan dan kesetiaan daripada pengikut dan rakyat.
Kehancuran moral akan menghakis kekuasaan dan kewibawaan. Tanpa pasak moral yang kuat, golongan ini tidak mungkin dapat memerintah dengan adil, saksama, dan membawa manfaat kepada rakyat. Sebaliknya, merekalah yang boleh menjadi punca kerosakan dan keruntuhan negeri.
Raja Ali Haji digelar pujangga kerana beliau menuangkan gagasan pemikiran dan hikmah renungannya dalam bentuk karya sastera.
Karya-karya beliau terkandung pesan amanat yang dibingkis dalam bentuk gurindam dan syair.
Nilai-nilai yang disampaikan jelas daripada tradisi Islam di mana hal menegakkan syariat mengambil ranah ilmu daripada fikah dan tasawuf.
Catatan Residen Belanda di Riau merekodkan bahawa Raja Ali Haji tidak menyenangi Belanda dan dianggap sebagai “fanatik Islam”, kerana sangat memperhatikan ilmu dan amalan Islam.
Daripada karyanya, terlihat desakan untuk menulis sebagai panduan dan peringatan kepada anak-anak raja yang memerintah.
Nilai dan pemikiran dalam karya beliau mencerminkan kepentingan kelompok penguasa istana yang berusaha melakukan reformasi dari dalam, tatkala kuasa kolonial semakin kuat mencengkam.
Beliau menekankan nilai-nilai seperti kewarasan akal budi, kepatuhan kepada suruhan agama, dan keutuhan peribadi yang memahami tempat serta peranannya, sebagai jalan keluar daripada kerosakan dan kejahatan..
Namun, kerana beliau juga dari lingkungan istana, nilai-nilai utama yang dipegang dalam feudalisme Melayu, tetap dapat dikesani dalam karya beliau, seperti taat setia mutlak kepada raja, tertib menjaga hierarki dalam susunan feudal dan kedaulatan raja menjadi penaung yang menjamin kesejahteraan rakyat.
Gurindam Dua Belas ini tertulis di Pulau Penyengat, Riau pada 1847 semasa Raja Ali Haji berusia 38 tahun.
Ia terbahagi kepada 12 fasal.
Gurindam ini disusun seperti sebuah risalah pendidikan, atau ringkasan etika moral yang padat dan beritma, seolah-olah harus dihafal dan diperingatkan agar menjadi pedoman hidup.
Bentuk penyampaian sebegini tidak menghairankan, kerana banyak terdapat syair-syair yang menerangkan ajaran sufi dan syair-syair nasihat yang dibuat sedemikian rupa, dengan ritma serta aturan konvensional (seperti pantun) yang memang sesuai untuk penghafalan bagi masyarakat yang kuat tradisi lisannya.
Amat jelas Gurindam Dua Belas ini ditujukan kepada bangsawan Melayu-Bugis yang memerintah, sebagaimana yang ditunjukkan dengan terang oleh beberapa barisan gurindam itu.
Contohnya, bahagian yang berbunyi:
“Raja muafakat dengan menteri
Seperti kebun berpagar duri
Betul hati kepada raja
Tanda jadi sebarang kerja
Hukum adil atas rakyat
Tanda raja beroleh inayat
Kasihkan orang yang berilmu
Tanda rahmat atas dirimu
Hormat akan orang yang pandai
Tanda mengenal kasa dan cindai
Ingatkan dirinya mati
Itulah asal berbuat bakti
Akhirat itu terlalu nyata
Kepada hati yang tidak buta.”
Di lain pasal juga ada disebut supaya pandai menjaga hamba abdi.
Pastinya ini merujuk kepada bangsawan Melayu yang empunya hamba abdi dalam istana mereka.
Menarik untuk diperhatikan pada fasal pertama Gurindam Dua Belas, adalah intinya yang merupakan ajaran tauhid dan kerohanian tasawuf, seperti yang terlafaz berikut:
“Barang siapa tiada memegang agama
Sekali-kali tiada boleh dibilangkan nama
Barang siapa mengenal yang empat
Maka ia itulah orang yang makrifat
Barang siapa mengenal Allah
Suruh dan tegahnya tiada ia menyalah
Barang siapa mengenal diri
Maka telah mengenal akan Tuhan yang bahri
Barang siapa mengenal dunia
Tahulah ia barang yang terpedaya
Barang siapa mengenal akhirat
Tahulah ia dunia mudarat.”
Raja Ali Haji banyak menghasilkan karya-karya dalam pelbagai bidang bahasa, sejarah, hukum-hakam, panduan nasihat moral, politik dan pentadbiran.
Daripada karya-karya beliau ternyata niat memberi nasihat begitu jelas.
Dalam penyusunan kamus yang diusahakan beliau berjudul, Kitab Pengetahuan Bahasa, iaitu kamus loghat Melayu Johor, Pahang dan Riau-Lingga, persoalan adab dan sopan mendasari kepeduliannya, kerana selain ilmu, adab itulah yang akan membentuk dan mempengaruhi kelakuan dan perbuatan manusia.
Pemakaian bahasa yang baik adalah sebahagian daripada pemeliharaan adab itu.
Seruan kepada pemulihan moral etika dan kritikan halus dapat kita kesani tentang hilangnya kemampuan untuk memerintah dengan adil dan cekap.
Daripada nasihat-nasihat yang disusun khasnya kepada pembesar negeri, beliau mengingatkan bahawa kekerasan memerintah menimbulkan kebencian rakyat jelata:
“Jika memerintah dengan cemeti
Dengan perkataan pasti-pasti
Sekalian orang bencilah hati
Tiadalah suka berbuat bakti.”
dan
“Mengerjakan gubernemen janganlah malas
Zahir dan batin janganlah culas
Jernihlah hati hendaklah ikhlas
Seperti air di dalam gelas.”
Yang penting, mereka yang memerintah itu baik anak-anak raja, pegawai istana dan kadi harus memiliki ilmu, suka bermusyawarah, dan selalu merujuk kepada ulama yang memakai “kitab mutaqaddimin (terdahulu) dan mutaakhirin (kontemporari)”.
Malah dalam menjalankan aturan keadilan seharian, adab al-mahkamah disebut agak terperinci:
“Pada menyatakan adab hal mahkamah itu di dalam mahkamah maka hendaklah ahl al-mahkamah tatkala berhimpun di dalam mahkamah jangan ia ujub dan takabur akan dirinya, yang ia mendapat pangkat daripada jabatan menteri atau pegawai… Akan tetapi hendaklah tafakur dan insaf pada memandang orang yang berdakwa itu… [hendaklah] takut kepada Allah ta’ala serta adil dan siasat dan periksa habis-habis serta sabar serta takut dan kuat memegang dan mendirikan tiap-tiap hukuman yang sebenar-benarnya.”
Dengan lebih terperinci, ditegaskan kerja di mahkamah jangan diringankan, seperti bersenda gurau sewaktu bersidang. Selanjutnya disebut:
“Hendaklah ahl al-mahkamah itu beradab, bersopan dengan kelakuan yang tetap dan hebat, serta jangan hingar-bingar di dalam mahkamah itu dan memperlahankan suara pada perkataannya, melainkan karena hajat. Dan hendaklah ahl al-mahkamah itu berhadap pada masing-masing pekerjaan jangan campur dan peduli pada yang bukan bahagian pekerjaan dirinya.”
Sekiranya Abdullah Munshi pernah mengeluh kepada undang-undang lama yang sudah dianggap sebagai adat tidak boleh diubah dan dibuang, dalam teks Tsammarat al-Muhimmah juga mempertegaskan bahawa segala pemakaian undang-undang itu harus berdasarkan syariat, yakni,
“Jika terkena perkara yang bersalahan itu kepada kanun dan adat, rujuklah kepada undang-undang atau kepada atsar yakni bekas dan resam yang sudah dijalankan raja-raja dan orang besar-besar yang kepada dahulu-dahulu yang dibilangkan kepada indah dan patut dan adil dan insaf yang tiada melanggar kepada syariat yang mulia.”
Pendek kata, penulisan Raja Ali Haji sarat dengan pesan amanat dan jelas dapat kita perhatikan persoalan adab yang merangkumi keadilan, ketertiban, akhlak, keilmuan, kesopanan dan memegang amanah.
Berpegang kepada akhlak yang tinggi dan memiliki ilmu adalah antara prasyarat penting tatkala memegang amanat memimpin.
Kecenderungan Raja Ali Haji untuk memberati persoalan etika dan berpegang kuat kepada landasan agama, ditanggapi oleh beberapa pemerhati sebagai respons dari pemerintahan elit keturunan Bugis untuk tetap menjadi relevan setelah kekuasaan ketenteraan mereka sudah ditundukkan oleh kolonial Belanda.
Zaman itu juga menyaksikan pergeseran politik antara puak Melayu dengan puak Bugis.
Keterabaian pemimpin menjalankan pemerintahan yang adil dan cekap adalah punca melemahnya kuasa kerajaan, kelembapan ekonomi sehingga menyebabkan keperitan rakyat.
Tidak keterlaluan bahawa kesedaran moral-etika yang terpancar dalam karya-karya Raja Ali Haji tidak dapat membawa kesedaran utuh dalam kalangan bangsawan Riau untuk bangun mencergaskan kegiatan keilmuan dan kebudayaan.
Selepas beliau wafat, anak-anak bangsawan Riau-Lingga menubuhkan Rusdiyah Club.
Di sinilah berkumpul cerdik pandai negeri itu.
Antara yang tersenarai dalam kumpulan kecil itu ialah Syed Sheikh al-Hady yang dibesarkan dalam lingkungan bangsawan Riau.
Raja Ali Haji pula sering disebut-sebut sehingga hari ini sebagai tokoh sasterawan yang memberi tunjuk ajar kepada bangsa Melayu, bukan sahaja sebagai seorang sejarawan dan bangsawan yang berilmu tetapi juga seorang agamawan yang banyak memberi panduan moral etika dan kerohanian.
Tidak kurang nilai-nilai Islam yang dianjurkan beliau mencerminkan kefahaman agama yang bersifat insani yakni memulia dan menjaga kebajikan manusia, betapapun dalam bingkai pemahaman Islam yang tradisional.
Gurindam Dua Belas terus dibaca dan dilantun sehingga hari ini, menjadi lambang pesanan etika Melayu yang paling gemilang perlafazannya.
Atas sumbangan Raja Ali Haji yang meluas, tokoh pujangga ini dinobatkan sebagai Pahlawan Nasional oleh pemerintah Indonesia pada 2004.
Keluasan ilmu, kearifan yang berhemah dan pegangan Islam yang kental yang ada pada diri Raja Ali Haji menjadikan beliau sebagai tokoh pujangga Melayu yang disegani, sehingga pengajian sastera Melayu klasik dianggap tidak cukup sempurna sekiranya tidak diberikan perhatian kepada karya dan idea-idea beliau.
Sehingga hari ini beliau terus disanjung dan karyanya dibaca, sedangkan Gurindam Dua Belas didendang dan disyairkan, seolah-olah mewakili tatanilai dan keindahan bagi bangsa Melayu, selain bidang ilmu bahasa, sejarah dan perundangan Melayu sehingga menjadi inspirasi kepada kesarjanaan Melayu masa kini.
Penulis ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Nasional Singapura. Beliau juga Naib Pengerusi Majlis Bahasa Melayu Singapura, selain Ketua Perwakilan Mastera, Singapura. Dr Azhar antara panel penulis yang diundang khas Berita Minggu (BM) untuk mengupas isu bahasa, budaya dan warisan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg