Topik diikuti
Pergi ke BHkuRahsia penulis drama hasil karya cetus kesedaran diri
Kejutan plot, konflik dan dialog cetus emosi, bantu pembaca fahami diri dengan lebih mendalam
Rahsia penulis drama hasil karya cetus kesedaran diri
Plato pernah mengemukakan kritikan yang tajam terhadap karya-karya yang dihasilkan, yang beliau anggap sebagai tidak lebih daripada suatu mimesis, yakni proses peniruan yang rendah mutunya.
Beliau menganggap bahawa pengalaman dan tindakan manusia yang mutlak hanyalah dari Tuhan.
Namun demikian, Aristotle melalui bukunya, Poetics, mendepankan gagasan bahawa setiap karya sebenarnya mempunyai nilai.
Baginya, mimesis adalah lumrah bagi manusia yang mengalami dan memerhatikan alam serta kehidupan.
Malah, melalui penghasilan semula pengalaman yang disempurnakan, ia sebenarnya mampu membawa pembaca kepada katarsis (kelegaan perasaan), yakni suatu proses penyucian jiwa setelah mereka membaca sesebuah karya.
Dalam erti kata lain, karya yang sebenar seharusnya mampu membawa pembaca ke dalam suatu pengalaman yang realistik sehingga dapat memupuk kesedaran dalam jiwa mereka, lalu membantu proses memahami diri masing-masing dengan lebih dekat lagi.
Usaha melahirkan katarsis ini sebenarnya kompleks dan memerlukan kemampuan pengamatan dan pengadunan realiti dan fantasi yang kuat.
Inilah kelebihan para penulis drama yang mampu mengangkat harapan Aristotle melalui naratif yang mereka hasilkan dalam bentuk cerpen, novel dan puisi.
Satu ciri yang ketara ialah kecenderungan mereka untuk menunjukkan keadaan dalaman watak melalui konflik dalaman dan dialog, sehingga dapat menghasilkan sebuah prosa yang mampat, di mana setiap ayat menggerakkan plot ke hadapan.
Dalam konteks puisi pula, ia menghasilkan sebuah puisi yang dramatik di mana puisi itu berfungsi sebagai ucapan atau pemaparan suasana yang dinamik.
Satu lagi kekuatan penulis drama ialah penggunaan bahasa yang ekonomis kerana sudah terbiasa dengan kekangan waktu dan ruang di pentas.
Ini menyebabkan mereka terpaksa mengilhamkan sesuatu yang menarik atau terserlah dari segi aksi mahupun prop dalam menghasilkan sesebuah latar.
Memandangkan cerpen mempunyai jumlah perkataan yang pendek, maka seorang dramatis mempunyai kemampuan untuk melahirkan sebuah latar yang lengkap dalam imaginasi pembaca, melalui ‘petunjuk-petunjuk’ yang diberikan secara tidak langsung dalam karyanya.
Ini merupakan aset terbesar bagi sang penulis drama.
Dalam konteks puisi pula, ia mampu menggunakan genre seperti tragedi, komedi dan operetta (teater pendek yang menggabungkan nyanyian, muzik orkestra serta tarian) untuk mengumpulkan realiti sosial yang kompleks dalam sebuah bentuk puisi yang tajam.
Memandangkan drama hanya ditulis melalui dialog dan aksi, penerbit dan penulis drama memahami cara untuk menggunakan kata-kata sebagai alat psikologi oleh watak untuk mendapatkan apa yang diinginkan.
Kesannya, penulis seumpama ini dapat menggunakan dialog dalam cerpennya sebagai unsur bertenaga yang bersulam dengan konflik, bukan untuk melambakkan maklumat.
Akhir sekali, penulis drama mementingkan penglibatan pembaca secara langsung dalam karya mereka.
Maka, mereka sentiasa peka terhadap keperluan untuk mencungkil ‘respons yang diharapkan’ daripada pembaca.
Mereka akan memperlakukan puisi atau cerpen bukan hanya sebagai sebuah karya tetapi sebuah persembahan dengan tujuan menjentik katarsis emosi tertentu dalam diri pembaca.
Monolog dalaman obsesif
Keunikan daya penulisan ini boleh dialami dalam karya-karya yang dihasilkan oleh Hamed Ismail, menerusi kumpulan cerpennya berjudul, Hendak Membunuh Cemburu.
Karya ini berjaya membawa pembaca menyelami lapisan psikologi watak secara mendalam.
Penulis ibarat pakar bedah yang membedah anatomi emosi, apabila beliau mendedahkan proses yang dilalui oleh manusia yang musnah akibat termakan virus cemburu, yang terus memburu urat nadinya setiap waktu dan menular tanpa belas.
Unsur psikologi gelap ini berjaya ditanam dalam naluri pembaca melalui ‘petunjuk-petunjuk’ yang membujuk mereka sehingga sama terheret ke dalam plot yang terus memuncak dengan permainan jiwa.
Ini dapat dialami apabila pembaca dipaksa masuk ke dalam kotak pemikiran watak yang sedang bergelut dengan syak wasangka, sehinggakan rasa cemburu menjadi ‘pita rakaman’ yang berputar tanpa henti, dalam membayangkan kecurangan dan perlakuan pasangan.
Psikosis ini menjadi lebih dahsyat lagi apabila setiap tindakan-tindakan lumrah pasangan seperti pergerakan mata yang beralih walaupun sedikit, nada suara yang berubah ataupun kelewatan dalam menjawab panggilan telefon, ditafsirkan sebagai suatu pengkhianatan.
Demikian kemampuan Hamed melahirkan kesan dramatik dengan menjadikan unsur psikologi gelap sebagai mainan jiwa watak yang terjerat dalam perangkap cemburu.
Manipulasi Plot
Amanah Mustafi pula berjaya mengangkat konsep-konsep berat dalam aspek nilai dan menjadikan ia suatu pengalaman estetika yang penuh dengan debaran, kesangsian, keresahan, kegusaran dan kerisauan.
Ini membuatkan pembaca terperangkap untuk menentukan pergerakan plot, melalui keputusan-keputusan yang dirasakan wajar atau sebaliknya, yang sepatutnya diambil oleh watak-watak yang terlibat dalam konflik emosi yang tegang dan mendesak.
Cerpen Debar, misalnya, memaparkan konflik antara keikhlasan dengan kepentingan diri, serta keadilan dan dendam.
Manakala cerpen Nilai Dua Batang Ubi Kayu mendepankan konflik integriti dan persahabatan serta penakatan dan prinsip.
Konflik jiwa menjadi lebih mencabar dalam cerpen Cincin Buah Kana apabila cincin pemberian seorang suami akhirnya ‘dikembalikan’ kepada bekas kekasih yang dalam keadaan terdesak.
Cincin itu menjadi lambang cagaran kesetiaan yang berdepan dengan realiti kehidupan.
Ini merupakan kelebihan Amanah yang bijak melakukan kejutan plot atau plot twist agar dapat memberikan kesan dramatik yang menjunamkan pembaca langsung ke dalam dunia yang direkanya semula, penuh dengan konflik nilai, emosi dan pegangan hidup.
Naratif sinematik
Ketekunan mencorak jiwa pembaca mendapat perhatian Jamal Ismail melalui novel epiknya, Mustafa, yang memaparkan kemampuan bahasa sinematiknya.
Ini jelas terpancar daripada cara beliau menggambarkan suasana, cahaya, bunyi dan pergerakan watak secara terperinci, seolah-olah pembaca adalah penonton menyaksikan sebuah filem.
Beliau secara artistik membina peristiwa melalui sulaman visual yang jelas dalam imaginasi pembacanya.
Misalnya, beliau menghidupkan suasana tegang dan muram ketika konflik melanda kota Singapura pada zaman kolonial melalui gambaran lorong-lorong gelap, cahaya lampu minyak yang malap, bunyi ombak di pelabuhan dan derap langkah askar British.
Hal ini secara langsung menimbulkan kesan dramatik apabila pembaca turut merasakan tekanan, keterdesakan dan ketakutan yang dialami watak-watak dalam suasana tersebut.
Selain itu, beliau juga menggunakan kesan kamera dalam novelnya seperti sewaktu Kiai Mustafa sedang mengajar atau berzikir.
Di sini beliau memberi fokus kepada gerakan tangan dengan suara yang halus dan suasana surau yang hening.
Keunikan novel ini juga terletak pada kemampuan Jamal Ismail dalam mencetuskan kesan dramatik dan emosi apabila suasana ketenangan tadi dikontraskan dengan kekacauan politik dan ancaman penjajah yang menyelubungi novel ini.
Bahasa Autentik
Samsudin Said pula menghidupkan konsep peminggiran yang kompleks dengan sekadar menggunakan seekor cencorot.
Dalam koleksi puisinya, Seekor Cencorot di dalam Longkang Hanyir di Pinggir Kotaraya, beliau menarik perhatian pembaca ke dalam sisi kehidupan yang sering terlupa atau tersembunyi daripada naratif kemajuan kota.
Ketajaman kata-katanya menghumbankan pembaca ke dalam longkang hanyir, lalu mengalami kehidupan bersama-sama sang cencorot.
Ini berjaya dilakukan dengan menghidupkan rangsangan daripada persekitaran seperti bunyi hujan, haiwan di kawasan kejiranan, dan transformasi bandar yang menjadi refleksi suara hati yang menyentuh nilai-nilai kehidupan.
Sesuai dengan tabiat penulisan dramanya, beliau menggunakan pengucapan yang mudah dan bahasa perbualan bersahaja, memudahkan pengaliran gagasan yang cuba disampaikan kaya dengan diksi, imejan, dan perlambangan yang autentik ke dalam longkang-longkang pemikiran pembaca.
Ketegangan dalaman
Keunikan penulis drama mencapai kemuncak melalui kemampuan Hartinah Ahmad menyuarakan emansipasi wanita yang bergejolak dalam jiwa dan nalurinya melalui kumpulan puisinya Gandoura.
Gejolak ini melahirkan pendekatan yang sangat istimewa dalam menghidupkan kesan dramatiknya.
Beliau menggunakan ketegangan dalaman sebagai senjata untuk mendesak pembaca mengalami sendiri keadaan atau suasana yang cuba digambarkannya.
Beliau tidak melakukannya secara eksplisit, tetapi berselindung di sebalik diksi-diksi yang penuh kias, untuk menggambarkan pergolakan dalaman jiwanya yang bergelumang dengan emosi yang dikawal, kenangan yang tidak selesai dan keinginan yang tidak diluahkan sepenuhnya.
Diksi-diksi yang dibentuk dalam ayat seperti “sejarah yang bermata”, “gurindam menyiat jantung hati”, “kamarku yang suam berdarah”, dan “meraungi nostalgia”, merupakan antara usaha beliau untuk mengawal emosinya yang lebih kuat agar ia kelihatan tidak meliar dengan kiasan yang beralas daripada kata-kata yang lantang dan terang.
Keadaan ini boleh melahirkan kepelbagaian tafsiran dalam percubaan memahami jiwa penulis yang kompleks sekali gus melahirkan kesan dramatik yang lebih menggugah daripada apa yang diucapkan.
Penulis drama adalah penganut pemikiran Aristotelian yang tegar.
Bagi mereka, keberhasilan sesebuah naratif bukan hanya terletak pada kemampuan untuk meniru realiti, tetapi sejauh mana ia mampu memberikan ‘pelepasan emosi yang terapeutik’ yang membawa kepada perasaan tenang dan lebih jelas, setelah mengalami pengalaman pembacaan sepenuhnya.
Ini merupakan kelebihan luar biasa penulis drama dalam meneroka penulisan naratif yang ‘memaksa’ pembaca mendedahkan segenap rahsia yang dipendamkan dalam jiwanya selama ini.
Dr Mohamed Pitchay Gani Aziz ialah seorang penyelidik dan pengamat bidang Pengajian Melayu yang aktif dalam gerakan aktivisme bahasa dan persuratan tanah air. Beliau dikenali sebagai pemerhati serta pengkaji bahasa Melayu serantau dan perkembangan sastera di Singapura. Selain terlibat dalam dunia akademik dan pendidikan, beliau banyak menyumbang kepada pemartabatan bahasa Melayu melalui penulisan, penyelidikan, dan kegiatan kebudayaan.
“
Penulis drama adalah penganut pemikiran Aristotelian yang tegar. Bagi mereka, keberhasilan sesebuah naratif bukan hanya terletak pada kemampuan untuk meniru realiti, tetapi sejauh mana ia mampu memberikan ‘pelepasan emosi yang terapeutik’ yang membawa kepada perasaan tenang dan lebih jelas, setelah mengalami pengalaman pembacaan sepenuhnya.