Puisi tempatan kini bukan lagi sekadar bahan bacaan di dalam buku.
Ia telah menjadi sebahagian kehidupan harian di Singapura, menarik perhatian, menyentuh hati, dan membangunkan semula rasa cinta terhadap keindahan bahasa.
Bermula 6 November 2025, penumpang boleh menikmati karya puisi tempatan yang menghiasi panel kereta api dan dinding stesen menerusi edisi kedua ‘Puisi di MRT’.
Sebanyak 145 puisi dalam bahasa Inggeris, Cina, Melayu, dan Tamil dipaparkan di 40 kereta api Laluan Timur-Barat, Utara-Selatan, dan Circle, selain turut menghiasi poster di stesen serta perhentian bas.
Salah seorang kurator edisi kedua inisiatif tersebut, pengasas bersama syarikat penerbitan Unggun Creative, Dr Noridah Kamari, berkongsi bahawa tema utama ‘in transit’ bukan sekadar menggambarkan perjalanan fizikal, bahkan juga perjalanan rohani dan proses mengenali diri.
“Kita pun tak tahu apa masalah yang dilalui orang di sekeliling, mungkin mereka sedang sedih, kusut atau tertekan,” ujar beliau.
“Justeru, cebisan-cebisan puisi yang dipaparkan di kereta api ini diharap dapat membangkitkan semangat mereka.”
Menurut Dr Noridah, setiap karya yang dipilih membawa ‘perisa Singapura’ dan mesej positif, sambil memperlihatkan kepelbagaian suara penulis tempatan.
Pemilihan dilakukan secara seimbang antara penulis mapan, pertengahan dengan baru, berdasarkan pencapaian dan kecekalan mereka, selain memastikan mereka masih aktif dalam dunia penulisan.
“Kami tidak mahu penulis yang hanya muncul sekali lalu senyap. Kami cari mereka yang ada istiqamah dan gigih mengembangkan karya,” katanya.
Inisiatif tersebut bertujuan mendekatkan sastera tempatan kepada masyarakat yang mungkin jarang membaca puisi.
“Puisi ini seperti karya seni juga, ia menyuntik keindahan dalam kehidupan harian.
“Kalau orang di dalam MRT dapat baca dua tiga baris pun, itu sudah cukup untuk menggerakkan hati mereka,” kata Dr Noridah.
Beliau berharap penumpang akan mengimbas kod QR yang disediakan, untuk membaca versi penuh setiap puisi tersebut lalu meneroka karya lain yang turut tersenarai.
Antara puisi yang dipamerkan ialah karya Dr Noridah sendiri berjudul, Tanah Liat Di Tangan Tukang Tembikar, yang menurut beliau, membawa makna tentang perubahan dan potensi insan.
“Kita manusia ini seumpama tanah liat, diadun oleh kuasa yang membentuk kita, tetapi pada masa sama kita juga ada kehidupan dan nyawa untuk memenuhi potensi kita,” jelasnya.
Pemenang Anugerah Persuratan sebanyak lima kali itu turut meluahkan rasa terima kasih kerana puisi beliau dipilih.
Bagi Dr Noridah, usaha menampilkan puisi di ruang awam seperti kereta api itu bukan sahaja memperindah pengalaman harian, malah turut memperkukuh ekosistem sastera tempatan.
“Kalau orang tidak mahu dekati puisi, biarlah puisi yang mendekati mereka.
“Dari dinding MRT inilah diharapkan hati masyarakat akan terbuka untuk menghargai sastera Singapura,” katanya.
Selain paparan puisi, ‘Puisi di MRT’, turut menganjurkan beberapa kegiatan interaktif seperti Pertandingan Menulis Puisi MRT dari 7 November 2025 hingga 8 Februari 2026 dan Poetry Hunt, di mana penumpang boleh memenangi hadiah dengan mencari serta merakam puisi yang dipamerkan di tren.
Siri catatan di media sosial oleh Sing Lit Station (SLS) pula akan memperkenalkan kesemua 145 puisi yang menampilkan suara pelbagai penulis merentas generasi dan bahasa.
Pengerusi SLS, Cik Fiona Chan, berkata edisi kali ini membuka ruang lebih luas kepada masyarakat untuk bukan sahaja membaca, malah menulis dan berkongsi karya mereka.
“Kami mahu orang ramai terus menemui puisi Singapura di tren Singapura. Bukan sekadar membacanya, tetapi menulis, menghantar dan meraikannya,” katanya.
Inisiatif Puisi di MRT akan berlangsung dari 6 November 2025 hingga 4 November 2026, dan penumpang boleh mendapatkan maklumat lanjut serta senarai penuh puisi di laman web https://bh.sg/fUvz


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg