Pesta Buku Melayu Singapura (PBMS) kembali pada September dengan program berunsur budaya dan sastera untuk pelbagai peringkat umur, selaras dengan tema, Sastera dan Budaya Berpisah Tiada.

Pada acara tahunan itu, pengunjung boleh menjangkakan 14 reruai menjual buku, termasuk yang menawarkan karya sastera Singapura (SingLit) dan boleh dibeli menggunakan Pas Budaya SG.

Bengkel mengolah novel, perkongsian tentang pemilihan buku untuk kanak-kanak dan permainan fantasi, Dungeons and Dragons, yang diberi suntikan Melayu juga merupakan antara program yang boleh dinantikan di pesta buku itu.

PBMS 2026 dianjurkan oleh Persatuan Kemuning dan akan diadakan dari 3 hingga 6 September 2026 di Wisma Geylang Serai (WGS).

Menurut jurucakap sekretariat penganjuran PBMS, Nur-El-Hudaa Jaffar, acara itu bertujuan memudahkan pembaca daripada pelbagai peringkat umur mengenali dan memperoleh karya pelbagai genre hasil pengkarya watan.

“PBMS kekal dengan tujuan mendekatkan khalayak umum kepada sastera, lebih-lebih lagi sastera Melayu Singapura, dengan meraikan penghasilan buku-buku karya tempatan dan menggalakkan kegiatan membaca dan berkarya,” katanya.

Di PBMS 2026, pengunjung boleh mendapatkan buku-buku di reruai yang dikendalikan syarikat dan badan-badan bukan sahaja dari Singapura, malah dari Malaysia dan Brunei.

Selain mendapatkan buku dalam bahasa Melayu, pengunjung juga boleh menjangkakan buku ekabahasa dan dwibahasa dalam bahasa lain.

Beberapa buku baharu juga akan dilancarkan di acara itu, termasuk buku, Kampong Ayer Gemuroh, dan beberapa buku kanak-kanak seperti, Ke Mana Rambut Ibu Hilang, dan Legenda Oyo dan Susua.

Berikut beberapa kegiatan dan program yang akan dijalankan di PBMS 2026.

Arena Budaya: Tak Kenal Maka Tak Cinta

Program ini memperkenalkan lima seni budaya iaitu anyaman, melipat tanjak, tarian zapin, tulisan khat dan mewarna batik kepada murid sekolah rendah.
Tarikh: 3 September
Masa: 10 pagi hingga 5 petang

Kembali ke Akar

Bengkel seni menganyam mengkuang ini dibuka kepada peserta umum. Sesi akan dipimpin oleh Pengarah, Pusat Kebudayaan, Universiti Pendidikan Sultan Idris di Tanjung Malim, Perak, Dr Salwa Jamaldin.
Tarikh: 4 September
Masa: 9.30 pagi hingga 5.30 petang

Senaman dan Sastera

Acara bersenam beramai-ramai ini melibatkan kumpulan senam dari beberapa masjid. Acara diserikan unsur sastera dan budaya Melayu seperti pantun.
Tarikh: 4 September
Masa: 9.30 pagi hingga 12.30 tengah hari

Sesi Bercerita: Si Cilik Prihatin

Sesi ini disampaikan oleh penulis buku, Nuha Patah Tangan, Sulaiha Ithnin, dan penulis buku, Taman Haiwan Di Dalam Rumah, Fathiah Jamal. Peserta juga dapat mengikuti kegiatan membuat kraf dan membalut tangan yang ‘cedera’.
Tarikh: 5 September
Masa: 12.30 tengah hari hingga 1.30 petang

Sesi Bercerita: Kisah Yaya dan Kuih Baulu

Sesi bercerita interaktif oleh The Storytelling Fairy, Nadya Hashim, tentang Yaya yang menggemari kuih baulu.
Tarikh: 6 September
Masa: 10.30 pagi hingga 11.30 pagi

Sesi Bercerita: Naga yang Tidak Gagah

Acara interaktif ini mengajak kanak-kanak menghayati kisah, Naga yang Tidak Gagah, karya Maria Mahat.
Tarikh: 6 September
Masa: 3.30 petang hingga 4.30 petang

Bengkel: Pengolahan Novel

Melalui analisis dan percubaan menulis, bengkel ini akan berkongsi dengan peserta teknik mengolah novel yang mengambil kira kecenderungan dan keprihatinan golongan pembaca remaja ke atas. Pembimbing, Mustaqim Jiwa, mentor penulisan cereka dan penulis novel, Kaisar.
Tarikh: 5 September
Masa: 10 pagi hingga 1.30 tengah hari

Bengkel: Mencipta Adiwira

Penulis dan pelukis komik, Saka, Ross Monday, akan memberi panduan tentang selok-belok melukis dan mencipta adiwira. Bengkel ini sesuai untuk peserta berumur sembilan tahun ke atas.
Tarikh: 5 September
Masa: 2 petang hingga 4.30 petang

Bengkel: Cerita Yang Bergerak

Bengkel ini mengajak peserta meneroka bagaimana cerpen, novel dan karya lain boleh bergerak ke layar. Dari situ, sesebuah karya berpeluang menjangkau audiens baharu dan berkembang ke dunia penceritaan yang lebih luas. Pembimbing, Wahyu Rahman, pencipta konsep dan produser trilogi, Belaian.
Tarikh: 6 September
Masa: 10 pagi hingga 1 petang

Bengkel: Cipta Lagu

Bengkel ini bertujuan menggalakkan lebih ramai peminat muzik untuk meneroka daya kreatif mereka serta menyumbang kepada perkembangan industri muzik tempatan.

Pembimbing akan berkongsi proses penghasilan sesebuah karya muzik, memperkenal teknologi dan perisian muzik terkini yang digunakan dalam penulisan lagu, gubahan muzik dan produksi audio pada masa kini.

Pembimbing, Mayuni Omar, berpengalaman lebih 30 tahun dalam industri muzik sebagai komposer, penyusun muzik, penulis lirik, pengarah muzik dan penerbit.
Tarikh: 6 September
Masa: 2 petang hingga 5 petang
Untuk: Sesuai bagi peminat muzik, termasuk pendidik yang ingin menyertakan muzik dalam pembelajaran dan penyair yang ingin melagukan puisi. Tiada asas muzik diperlukan.

‘Dungeons and Dragons’ Versi Melayu

Dipimpin penulis fantasi, Hassan Ali, sebagai ‘Dungeon Master’, atau penglipur lara, pemain akan mengharungi kembara yang menggabungkan imaginasi dan strategi.
Tarikh: 6 September
Masa: 3 sesi untuk dipilih
– 10.30 pagi hingga 11.30 pagi
– 2 petang hingga 3 petang
– 4 petang hingga 5 petang
Untuk: Peserta berumur tujuh tahun ke atas. Pengalaman dalam permainan atas meja bukan kemestian.

Perkongsian Dwibahasa – Topik Berat, Pembaca Cilik: Cerita-Cerita tentang Keterangkuman, Perbezaan dan Kehidupan

Biarpun berusia muda, kanak-kanak boleh membina empati, pemahaman dan daya tahan melalui pendedahan kepada buku-buku yang menyentuh tema seperti keterangkuman, keperluan khas, peperangan dan kemiskinan. Penceramah akan berkongsi ciri-ciri buku cerita yang penuh inspirasi.
Tarikh: 6 September
Masa: 1 petang hingga 1.45 petang
Untuk: Ibu bapa, penjaga, pendidik, penerbit dan penulis

Maklumat lanjut boleh didapatkan di wadah Facebook dan Instagram PBMS.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti