Pada zaman persekolahannya, sebagai pelajar yang kurang mahir dalam bahasa Melayu, Encik Nur Muhammad Hidayat Nordin, 40 tahun, menemui keakraban dengan bahasa bukan di bilik darjah, tetapi melalui dikir barat.
Seawal usia 17 tahun, beliau mula menulis lirik selepas menyertai kumpulan dikir barat sekolahnya, bahkan tertarik dengan keindahan bait-bait puisi serta kekuatan persembahan seni dikir barat sebagai warisan Melayu.
Lebih dua dekad kemudian, pengasas Aras Theatre dan kolektif penulisan Meja Conteng itu meraih Hadiah Pertama pada Anugerah Pena Emas 2025 menerusi hasil penulisan cerpen, Matahari Untuk Disewa.
Beliau turut memenangi Hadiah Sebutan Khas bagi cerpen, Jam Saku.
Ini merupakan edisi ke-17 Anugerah Pena Emas, anjuran Arts House Limited (AHL), yang meraikan penulisan cerpen dan puisi dalam empat bahasa rasmi di Singapura, Melayu, Cina, Tamil dan Inggeris, di samping kategori terjemahan.
Encik Hidayat menerima anugerahnya pada 9 Januari di The Arts House di Old Parliament dan merupakan antara 36 pemenang.
Baginya, pencapaiannya merupakan detik bermakna setelah berkecimpung dalam bidang kesusasteraan dan kesenian selama 23 tahun.
Cerpen, Matahari Untuk Disewa, mengisahkan tentang suasana distopia, di mana keadaan agak buruk, tidak adil dan menakutkan dalam satu dunia rekaan.
Bertahun-tahun lamanya keadaan meruncing kerana alam sekitar yang terjejas dan kapitalisme yang membebani kehidupan.
Watak utama, ‘Nur’, terpaksa menghadapi dilema moral yang memerlukan dia memilih antara melarikan diri dari kegelapan untuk mendakap cahaya atau meninggalkan orang tersayang.
Cerpen, Jam Saku pula, mengupas ketakutan dan ketegangan emosi atau psikologi bakal ketinggalan sementara orang lain terus bergerak maju.
Ketika ditemu bual Berita Harian (BH), Encik Hidayat berkata: “Matahari Untuk Disewa, merupakan cerpen pertama saya dan kemenangan pertama saya dalam Anugerah Pena Emas.
“Alhamdulillah ada rezeki dapat tempat pertama. Cuma saya terlalu teruja sampai berjalan mundar-mandir dalam bilik sebab macam tak percaya saya memenangi anugerah ini.”
Menurutnya cerpen kemenangan itu mencerminkan pilihan kecil tetapi penting yang manusia hadapi setiap hari, dengan setiap daripada kita hidup melalui ujian moral kita sendiri.
Beliau menyifatkan gaya penulisannya sebagai vivid dan sinematik, di mana setiap babak dibawa imbasan demi imbasan, seolah-olah menyusun skrip untuk dikir barat atau teater, “menulis dengan muzik latar dalam fikiran” untuk setiap babak yang dirancang bagi cerpennya itu.
Kini, beliau merancang menerbitkan antologi cerpen bagi meneruskan perjalanan kesusasteraannya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg