Bunyi gendang tradisional Melayu yang mengiringi persembahan muzik dan majlis penuh kesantunan, bukan sekadar hiburan untuk tetamu.
Bagi Riduan Zalani, pengasas bersama kumpulan Nadi Singapura dan antara ahli muzik genderang paling menonjol di negara ini, setiap paluan membawa makna yang jauh lebih mendalam.
“Ia bukan sekadar persembahan sahaja. Ia adalah perjuangan,” kata penerima Anugerah Artis Muda, Majlis Seni Kebangsaan (NAC), yang berusia 40 tahun itu.
Baginya, ia menggambarkan perjalanan yang direntasi dengan penuh ketekunan dan tersemat pengorbanan demi memastikan warisan tradisi yang ingin dikekalkan terus bernafas.
Di sebalik setiap rentak, tersimpan sejarah yang diwarisi turun-temurun, dan seiring warisan itu, terdapat amanah untuk memastikan generasi seterusnya terus menyambung legasi berkenaan.
Menurutnya, terdapat pelbagai jenis gendang yang tercipta kerana setiap daerah dan suku kaum di Nusantara memiliki tradisi alat muzik gendang tersendiri, lengkap dengan nama, fungsi dan peranan masing-masing.
Namun secara amnya, terdapat dua jenis gendang di Nusantara, jenis satu muka yang dipanggil rebana, dan gendang dua muka, yang disebut gendang sahaja.
Menariknya, setiap rebana atau gendang itu biasanya dibuat daripada bahan yang mudah didapati dalam masyarakat daerah dan suku kaum tersebut – seperti jenis kayu dan kulit yang digunakan – menjadikan muzik itu sendiri lahir daripada akar dan kehidupan seharian mereka.
Bentuk gendang, cara kulitnya dipasang, kedudukan tali atau rotannya, semua aspek tersebut bukan kebetulan.
Kadar kelembapan udara sekeliling, kesediaan bahan dan keperluan persembahan muzik sekarang turut diambil kira.
Contohnya, ada gendang yang menggunakan besi dan bahan sintetik untuk mukanya.
Menurut Riduan, dunia moden sering membuatkan masyarakat semakin menjauh daripada akar budaya sendiri.
Namun, beliau percaya masih wujud keinginan dan kesedaran untuk menghargai serta menghidupkan semula alat muzik yang melambangkan budaya Melayu.
“Kita adalah masyarakat kota… tapi dalam nalurinya ada kerinduan kepada suasana yang diiringi alat-alat muzik ini,” kata ayah tiga anak berusia satu hingga lapan tahun itu.
Beliau turut menegaskan, kelangsungan warisan itu bergantung pada keupayaan dalam menyesuaikan diri dengan pembaharuan tanpa menghilangkan identiti asalnya.
Bercakap tentang perjalanan seni pula, Riduan percaya setiap penggiat muzik mesti memiliki ‘warna’ sendiri, bukan sekadar identiti bunyi, tetapi warna jiwa.
Warna itu wujud apabila seseorang memahami akar dan struktur budaya, lalu menambah sesuatu yang baru, tanpa merosakkan tunjangnya.
Beliau sering merujuk kepada tokoh dan ikon muzik Melayu seperti Zubir Said, Tan Sri P. Ramlee, Datuk M. Nasir dan Datuk Ramli Sarip, yang dianggapnya sebagai “tugu-tugu” perjuangan seni dirinya.
Generasi itu, katanya, penuh daya juang.
“Mereka tak pernah ketepikan simbol kemelayuan. Mereka mengangkat Melayu tanpa menjadikannya klise; mereka menjadikan Melayu itu maju.
“Di tangan mereka, lagu, filem, puisi – semuanya menjadi senjata budaya yang lembut tetapi kuat,” jelas Riduan, lulusan bidang Muzik Dunia daripada Maktab Seni Lasalle.
Beliau ingin generasi muda hari ini menjadi sebegitu juga. Berani berubah, tetapi tidak memutuskan warisan.
Dalam membimbing kumpulan Nadi Singapura, Riduan mengangkat tiga nilai yang menurutnya adalah inti dan maruah masyarakat Melayu iaitu kesantunan, perkasa, dan arif budiman.
“Itulah simbol kemelayuan,” katanya, yang menegaskan bahawa seni tanpa nilai hanya menjadi persembahan kosong.
Riduan juga memastikan Nadi Singapura yang dibentuk pada November 2011, bukan sekadar kumpulan persembahan, malah menjadi tempat anak-anak muda datang untuk belajar, tapi akhirnya belajar lebih daripada sekadar rentak.
Beliau dan pengasas bersama kumpulan tersebut, Mohamed Yaziz Mohamed Hassan, ingin anggota mereka mempelajari juga tertib, adab dan budi orang Melayu, serta yakin betapa muzik boleh membawa rezeki, tetapi hanya jika dilakukan dengan jujur dan penuh amanah.
Riduan berkongsi, amalan rutin sebelum dan selepas persembahan adalah membaca doa.
Baginya, seni yang baik bukan bermula daripada kehebatan, tetapi daripada niat.
“Kita harus lakukan sesuatu dengan niat untuk Allah. Bukan untuk memuaskan manusia,” nasihatnya.
“Insya-Allah, pintu rezeki akan dibuka tepat pada masanya,” ujarnya.
Apabila diminta nasihat buat generasi muda, jawapannya ringkas.
“Hanya satu perkara sahaja, jadi insan yang baik,” katanya.
Kebaikan baginya adalah disiplin. Datang awal. Bekerja bersungguh-sungguh. Tidak menyusahkan orang. Mengaku salah bila salah. Tidak menghukum orang sebelum memahami cerita. Semua ini, katanya, membentuk seorang penggiat seni yang tidak hanya berbakat, tetapi berbudi.
“Kalau anda menjadi seorang yang baik, anda akan jadi penggerak budaya yang baik, kerana sudah ditanam sifat-sifat yang baik dalam hati,” tambahnya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg