Bahasa & Budaya
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Karya penulis tempatan, cermin realiti kehidupan, santapan minda akhir 2025

Lebih bersinar, lebih bermakna apabila dibahagi, dibincang, serta direnungi bersama oleh pembaca dari setiap usia
Dec 29, 2025 | 5:30 AM
Sebelum 2025 menutup tirai, berikut adalah beberapa cadangan buku-buku yang diharapkan akan mendatangkan manfaat kepada pembaca, untuk semua peringkat usia.
Sebelum 2025 menutup tirai, berikut adalah beberapa cadangan buku-buku yang diharapkan akan mendatangkan manfaat kepada pembaca, untuk semua peringkat usia. - Foto fail

Daripada aroma masakan yang mengikat jiwa dengan budaya, bisikan puisi yang meresap rasa rindu dan penghijrahan, renungan tajam tentang akar jati diri Melayu, hinggalah degup pengalaman yang diukir ombak di lautan luas, koleksi buku ini memanggil pembaca untuk menyelam, merasai, dan menjalin benang empati merentas jurang generasi.

Disarankan sebagai santapan minda akhir tahun, karya-karya penulis tempatan ini membuktikan bahawa sastera tempatan mampu menjadi cermin yang memantulkan realiti hidup sebenar, dan ia akan bersinar lebih bermakna apabila dibahagi, dibincang, serta direnungi bersama oleh pembaca dari setiap usia.

Nasi Lemak: Dari Kampung ke Kota

Penulis - Salbiah Bahri

Buku kanak-kanak, ‘Nasi Lemak: Dari Kampung ke Kota’, menceritakan bagaimana makanan tersebut disediakan sejak di kampung. Jalan cerita tersebut diilhamkan daripada kisah sebenar penulis, Salbiah Bahri, semasa beliau membesar di kampung.
Buku kanak-kanak, ‘Nasi Lemak: Dari Kampung ke Kota’, menceritakan bagaimana makanan tersebut disediakan sejak di kampung. Jalan cerita tersebut diilhamkan daripada kisah sebenar penulis, Salbiah Bahri, semasa beliau membesar di kampung. - Foto SALBIAH BAHRI

Buku ini menggunakan hidangan nasi lemak sebagai wadah untuk memperkenalkan nilai kekeluargaan, semangat gotong-royong, dan warisan budaya.

Kisah di dalamnya membawa pembaca daripada suasana kampung yang mesra ke kesibukan hidup di kota, sambil menyentuh kepentingan usaha bersama dan kebersamaan.

Sangat sesuai dibaca bersama, buku ini turut memupuk interaksi keluarga, termasuk peringatan agar pembaca melupakan telefon semasa makan dan menumpukan perhatian kepada ikatan sesama insan.

Kisah Noja

Penulis - Hidyah Amin

Buku kanak-kanak, ‘Kisah Noja’, menceritakan lebih lanjut tentang tugasan seorang noja masjid. Watak Noja diilhamkan berdasarkan noja sebenar, Allahyarham Mat Som Ahmad, yang meninggal dunia pada 2023.
Buku kanak-kanak, ‘Kisah Noja’, menceritakan lebih lanjut tentang tugasan seorang noja masjid. Watak Noja diilhamkan berdasarkan noja sebenar, Allahyarham Mat Som Ahmad, yang meninggal dunia pada 2023. - Foto HIDAYAH AMIN

‘Kisah Noja’ menyingkap peranan seorang noja masjid sebagai wira senyap dalam masyarakat.

Melalui cerita harian yang bersahaja, kanak-kanak didedahkan kepada nilai khidmat, tanggungjawab dan keikhlasan.

Dilengkapi glosari dan soalan perbincangan, buku ini sesuai untuk bacaan di rumah mahupun bilik darjah, serta mengajar bahawa pendidikan juga boleh berlaku melalui teladan dan perbuatan.

Dikir Barat

Penulis - Amirul Hakim

Buku, ‘Dikir Barat’, ditulis dengan matlamat memperkenalkan seni Melayu itu kepada kanak-kanak
Buku, ‘Dikir Barat’, ditulis dengan matlamat memperkenalkan seni Melayu itu kepada kanak-kanak - Foto ALAM CAHAYA

Buku ini memperkenalkan seni dikir barat kepada pembaca muda melalui kisah seorang pelajar yang kurang keyakinan diri tetapi berani mencuba sesuatu yang baru.

Selain mengenali asas seni tersebut, pembaca turut didedahkan kepada nilai kebersamaan dan pembinaan keyakinan diri.

Bacaan ini sesuai sebagai pengenalan awal kepada seni budaya Melayu dan boleh digandingkan dengan aktiviti menonton persembahan seni secara langsung.

Tiga Rangkai

Penulis - Khairi Razaai

Antologi puisi, ‘Tiga Rangkai’, yang mengandungi 150 puisi dalam bahasa Melayu dan Inggeris, merakamkan detik-detik penulis, Khairi Razaai, melalui kehidupan selama lebih 30 tahun di Melbourne, Australia.
Antologi puisi, ‘Tiga Rangkai’, yang mengandungi 150 puisi dalam bahasa Melayu dan Inggeris, merakamkan detik-detik penulis, Khairi Razaai, melalui kehidupan selama lebih 30 tahun di Melbourne, Australia. - Foto KHAIRI RAZAAI

Sebuah antologi puisi dwibahasa yang lahir daripada pengalaman perantauan, tekanan hidup dan pencarian makna diri.

Puisi-puisi dalam buku ‘Tiga Rangkai’ menyentuh tema ujian hidup, cinta, harapan serta kerinduan terhadap ibu bapa.

Dibahagikan kepada tiga bahagian – Ujian dan Dugaan, Cinta dan Harapan, serta Mak dan Ayah – buku ini sesuai untuk pembaca dewasa yang mencari bacaan reflektif dan bersifat terapeutik.

The Inquisitive Future of Malayness

Suntingan - Yulianna Frederika

Majalah atau ‘zine’ berjudul ‘The Inquisitive Future of Malayness’ menyingkap bagaimana kisah kemelayuan dituntut dan diceritakan semula melalui pelbagai lensa – daripada cereka kepada dunia akademik, daripada legenda kepada catatan sejarah.
Majalah atau ‘zine’ berjudul ‘The Inquisitive Future of Malayness’ menyingkap bagaimana kisah kemelayuan dituntut dan diceritakan semula melalui pelbagai lensa – daripada cereka kepada dunia akademik, daripada legenda kepada catatan sejarah. - Foto LEPAK CONVERSATIONS

Majalah ini mengangkat persoalan identiti Melayu/Muslim dalam konteks masa kini dan masa depan.

Melalui esei dan wawancara, penerbitan ini mengajak pembaca menilai semula maksud “kemelayuan”, melangkaui stereotaip dan label sosial.

Menariknya, ia turut memuatkan sumbangan penulis bukan Melayu, menjadikannya ruang dialog terbuka tentang identiti dalam masyarakat majmuk.

Sesuai untuk pembaca remaja matang dan dewasa yang berminat dengan wacana budaya, sosial dan pemikiran masa hadapan.

Demi Sesuap Nasi

Penulis - Jamal Ali

Jamal Ali membukukan pengalamannya sebagai Juruteknik Makmal Geoteknik Luar Pesisir dalam buku, ‘Demi Sesuap Nasi’, dengan harapan ramai dapat meraih inspirasi daripada membaca catatan pengalamannya.
Jamal Ali membukukan pengalamannya sebagai Juruteknik Makmal Geoteknik Luar Pesisir dalam buku, ‘Demi Sesuap Nasi’, dengan harapan ramai dapat meraih inspirasi daripada membaca catatan pengalamannya. - Foto JAMAL ALI

Buku ini merupakan catatan pengalaman sebenar seorang pekerja luar pesisir yang menghabiskan hampir dua dekad hidupnya di lautan.

‘Demi Sesuap Nasi’ merakam suka duka, cabaran emosi, perbezaan budaya dan risiko pekerjaan dalam industri berbahaya.

Ditulis dengan jujur dan bersahaja, buku ini tidak bersifat teknikal, sebaliknya menumpukan aspek kemanusiaan – ketabahan, kerendahan hati dan makna rezeki.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg