Topik diikuti
Pergi ke BHkuJangan panah ke langit... agar berkah periuk nasi...
Jangan panah ke langit... agar berkah periuk nasi...
Memelihara tempat mencari rezeki menuntut sikap merendah diri dan hormat terhadap tanah yang dipijak
Jangan panah ke langit... agar berkah periuk nasi...
Singapura merupakan negara ke-20 terkecil di dunia yang hanya seluas 728 kilometer persegi (jumlah kawasan tanah dan air), menurut WorldAtlas.
Sebagai perbandingan, Russia, negara terbesar dunia dengan keluasan 17,098,242 kilometer persegi, adalah kira-kira 23,700 hingga 24,500 kali lebih besar daripada Singapura.
Indonesia pula negara ke-14 terbesar di dunia, dengan keluasan 1,904,569 kilometer persegi.
Tasik terbesar di Indonesia, Danau Toba, sahaja kira-kira 1.5 kali ganda lebih besar daripada Singapura.
Tasik kawah gunung berapi paling besar di dunia itu, yang terletak di Sumatera Utara, seluas kira-kira 1,130 hingga 1,707 kilometer persegi.
Malah, pulau di tengah Danau Toba, Pulau Samosir, lebih kurang sebesar Singapura.
Singapura hanya a little red dot, atau satu titik merah kecil, kata mantan Presiden Indonesia, Encik B.J Habibie.
Jiran sebelah rumah Singapura pula, Malaysia, adalah negara ke-67 terbesar di dunia, dengan keluasan 330,621 kilometer persegi.
Negeri paling kecil di Malaysia, Perlis, seluas 819 hingga 821 kilometer persegi, pun lebih besar daripada Singapura.
Sumber asli di negara-negara besar bagai anak nangui, iaitu banyak sekali, dan pelbagai.
Nangui ialah babi kecil yang banyak anaknya.
Singapura hampir tiada sumber asli langsung.
Kalau ada pun, bagai rambut dibelah tujuh, atau seribu, iaitu sedikit sekali.
Pendek kata, jurang saiz dan keterdapatan sumber asli antara Singapura dengan negara-negara besar, termasuk jiran-jirannya, bagai bumi dengan langit, iaitu jurang perbezaan yang terlalu besar.
Namun, di pulau kecil dan kontang sumber semula jadi inilah 1,635,700 (bilangan pada Disember 2025) pekerja migran cari makan, maksudnya bekerja.
Mereka datang daripada pelbagai negara yang jauh lebih besar dan lebih kaya sumber asli berbanding Singapura.
Dari Malaysia dan Indonesia, jumlahnya ratusan ribu.
Dek ketiadaan pekerjaan atau gaji rendah di negara sendiri, mereka sanggup berjauhan dari keluarga dan datang ke sini mencari rezeki.
Benarlah bagai dikata jauhari, rumah terbakar, tikus habis keluar atau lari, iaitu apabila terjadi sesuatu kesusahan di dalam negara, maka isi negara itu pun mengungai ke tempat lain.
Mengungai bermakna pergi menyelamatkan diri ke tempat yang aman.
Mentelah Singapura seperti air dalam talam, iaitu negara yang aman sentosa.
Singapura menawarkan peluang kehidupan yang baik bukan sahaja kepada golongan profesional, eksekutif (Pas Pekerjaan), dan kakitangan teknikal (Pas-S), malah buat pekerja migran berkemahiran rendah dan sederhana.
Data Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada Disember 2025 menunjukkan terdapat 316,900 pembantu rumah migran (MDW) serta 482,600 pekerja sektor binaan, limbungan dan proses (CMP) yang mencari rezeki di sini.
Ramai daripada mereka sanggup melembur, iaitu bekerja di luar masa pejabat, atau bekerja lebih, untuk menambah rezeki.
Ada yang sambil berdiang, nasi masak, iaitu melakukan dua pekerjaan sekali gus.
Jauhari mengingatkan masuk ke kampung orang bawa ayam betina, jalan di tepi-tepi, benang arang orang jangan dipijak, duduk di tapak tangga, mandi di hilir orang, berdiri di luar-luar gelanggang.
Maksudnya, kalau merantau ke negara orang, hendaklah selalu mengalah, jangan membuat pekerjaan yang buruk, selalu merendahkan diri, jangan suka mendahului orang dan jangan menunjuk-nunjuk.
Pujangga berpesan, air orang disauk, ranting orang dipatah, adat orang diturut.
Ia bermaksud hendaklah mematuhi undang-undang negara yang kita diami.
Pokoknya, jangan memberakkan periuk nasi sendiri, yang bermaksud mengkhianati tempat mencari nafkah atau tempat menumpang kerana ia boleh membawa padah pecah periuk nasinya, iaitu hilang mata pencariannya.
Itu namanya pergi ke pulau batu digalas, iaitu sengaja mencari kesusahan.
Jika nasihat tersebut dituruti, rajin bekerja dan cermat berbelanja, pekerja migran di sini tidak akan hidup laksana apung di tengah laut, dipukul ombak jatuh ke tepi, iaitu melarat di tempat asing, atau terkatung-katung macam biduk patah kemudi, yang juga bermaksud hidup merana di negara orang.
Kalau banyak menabung pula, bukan mereka sahaja, malah orang kesayangan yang ditinggalkan di kampung asal mereka boleh hidup senang hasil keringat mereka di sini.
Sungguh mengagumkan, pulau seluas dada tuma, atau sangat sempit, ini menjadi periuk nasi, iaitu punca pencarian, bagi lebih sejuta setengah pekerja migran dari negara yang jauh lebih besar dan lebih kaya hasil buminya.
Tuma ialah binatang halus seperti kutu.
Hakikat ini sewajarnya menyedarkan kita akan betapa bertuahnya mendiami pulau yang walau tandus sumber aslinya, tetap melimpah kurnia buat warganya, sehingga tidak perlu merantau jauh demi sesuap nasi.
Namun, berpada-padalah dalam kemakmuran. Kata orang tua-tua, sempit lalu, longgar ditokok menggambarkan cabaran sering melahirkan insan yang rajin, manakala kesenangan adakalanya membuai jiwa menjadi leka.
Di sebalik kemewahan ini, janganlah kita alpa.
Ingatlah peribahasa, alpa negeri alah, sia-sia hutang tumbuh – kelalaian membawa bencana, begitu juga pesanan agar jangan memanah ke langit, yakni jangan sesekali derhaka kepada negara kerana akhirnya ia hanya akan membinasakan diri sendiri.