Sebelum memulakan setiap sesi pembelajaran, Cik Diana Mohamed Mazlan tidak terus mencapai buku teks atau menulis di papan putih.

Sebaliknya, guru Sekolah Rendah First Toa Payoh itu akan meluangkan beberapa minit pertama di dalam bilik darjah untuk memerhatikan wajah murid-muridnya.

Daripada raut wajah, gerak-geri dan cara mereka berinteraksi sesama sendiri, beliau cuba memahami sama ada mereka benar-benar sudah bersedia untuk belajar, atau sedang dibelenggu masalah.

Jika ada murid yang kelihatan tidak seperti kebiasaannya, guru berusia 35 tahun itu tidak tergesa-gesa memulakan sesi pengajaran.

Sebaliknya, beliau memilih untuk memberi mereka sedikit ruang sebelum meneruskan pembelajaran, atau berbual dengan mereka pada waktu rehat.

“Bagi saya, seorang murid yang berasa kehadiran mereka diiktiraf akan lebih bersedia untuk belajar,” ujar finalis Anugerah Guru Arif Budiman (Agab) 2026 itu.

Pendekatan tersebut lahir daripada kepercayaannya bahawa setiap kanak-kanak mempunyai keunikan dan kekuatan tersendiri.

“Tanggungjawab saya sebagai guru ialah memastikan mereka dilihat, dihargai dan diberi peluang mengembangkan potensi mereka,” katanya.

Beliau turut percaya kejayaan tidak boleh diukur dengan satu kayu ukur yang sama.

Sebaliknya, setiap murid mempunyai kemampuan dan perjalanan pembelajaran yang berbeza.

“Matlamat saya ialah membantu setiap daripada mereka mencapai yang terbaik mengikut kemampuan masing-masing,” kata ibu seorang anak lelaki berusia enam tahun itu.

Bagi Cik Diana, pendekatan itu bukanlah sesuatu yang luar biasa.

Malah, beliau percaya ramai guru sanggup melakukan lebih daripada apa yang diperlukan demi memastikan pelajar mereka berjaya.

Namun, beliau mengakui pemerhatian kecil yang dilakukan pada permulaan setiap kelas sering membantunya menyesuaikan pengajaran mengikut keperluan murid pada hari tersebut.

Di luar bilik darjah pula, beliau aktif berkongsi amalan pengajaran dengan rakan sejawat bagi memperkukuh pembelajaran Bahasa Melayu.

Antara perkara yang sering dikongsi ialah strategi komunikasi lisan, penulisan karangan serta penggunaan mnemonik dan perancah berstruktur untuk membantu pemerolehan bahasa.

Mnemonik merujuk pada formula, teknik, atau alat bantu ingatan yang digunakan untuk memudahkan seseorang mengingati maklumat yang banyak, rumit, atau abstrak.

Menurut beliau, strategi seperti itu amat penting kerana semakin ramai murid tidak menggunakan bahasa Melayu secara kerap di rumah.

Melalui perkongsian profesional bersama rakan-rakan guru, beliau percaya amalan pengajaran dapat terus diperkemas demi manfaat murid.

Beliau turut berkongsi pendekatan bilik darjah yang dapat memenuhi keperluan murid dengan tahap kesediaan dan gaya pembelajaran yang berbeza.

Selain kemahiran bahasa, Cik Diana turut memberi penekanan kepada pembentukan adab dan nilai murni dalam setiap sesi pembelajaran.

Bagi beliau, nilai tidak diajar melalui satu topik khas, sebaliknya dibentuk menerusi perkara-perkara kecil yang berlaku setiap hari.

Beliau masih mengingati pesan pensyarahnya semasa menuntut di Institut Pendidikan Nasional (NIE): “Bahasa menunjukkan bangsa”.

Ungkapan itu terus menjadi pegangannya sehingga hari ini.

Kini, beliau pula yang menyampaikan pesanan itu kepada murid-muridnya.

Beliau berusaha memastikan apabila murid-muridnya berinteraksi dengan rakan, mereka menyampaikan pandangan dan melahirkan pendapat bertentangan dengan sopan ketika berbincang atau menjalankan tugasan berkumpulan.

Mereka kemudian belajar bahawa pemilihan kata-kata bukan sahaja menunjukkan penguasaan bahasa, malah turut mencerminkan adab dan rasa hormat terhadap orang lain.

Cik Diana juga gemar berkongsi pengalaman sebenar yang dilalui dalam kehidupan seharian atau sewaktu di sekolah.

Menurutnya, ada kalanya pembelajaran yang paling bermakna bukan datang daripada buku teks, tetapi melalui perbualan ringkas yang berlaku secara spontan di dalam kelas.

“Harapan saya agar murid-murid tahu mendengar dengan empati, bercakap dengan beradab dan membawa nilai-nilai itu ke mana-mana sahaja mereka berada,” katanya.

Pegangan itulah yang terus menjadi panduan buat Cik Diana dalam mendidik anak bangsa.

Bagi beliau, kejayaan sebenar seorang guru bukan sekadar melihat muridnya menguasai sesuatu bahasa, tetapi menyaksikan mereka membesar menjadi insan yang beradab, berempati dan yakin dengan kemampuan diri.

CALON ANUGERAH GURU ARIF BUDIMAN 2026

Kategori Perangsang (kurang 10 tahun dalam perkhidmatan)

– Cik Diana Mohamed Mazlan (Sekolah Rendah First Toa Payoh)

– Cik Nur Azirah Mohd Nor (Sekolah Rendah Cantonment)

– Cik Nasuha Rahmat (Sekolah Menengah Outram)

– Cik Syafiqah Md Anuar (Sekolah Menengah Meridian)

Kategori Teladan (10 tahun atau lebih dalam perkhidmatan)

– Cik Aidah Hosni (Sekolah Rendah Fern Green)

– Encik Azhar Abdul Rashid (Sekolah Rendah Horizon)

– Cik Julaiha Haron (Sekolah Menengah Punggol)

– Cik Nur Maizurah Rosle (Sekolah Tinggi Nan Chiau)