Bahasa & Budaya
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Buku siri ‘Bidin Si Tukang Bikin’ cermin kepentingan sastera kanak-kanak

Projek dijalan sejak 2023, dalam usaha hasil karya kanak-kanak bahasa Melayu bermutu
Dec 7, 2025 | 5:30 AM
bidin si tukang bikin, majlis pelancaran, buku cerita kanak-kanak
(Dari kiri) Pengasas bersama Unggun Creative, Dr Noridah Kamari; Ketua Jabatan Bahasa dan Kebudayaan Asia, Institut Pendidikan Nasional (NIE) Profesor Madya Dr Mohd Mukhlis Abu Bakar; dan penulis siri ‘Bidin Si Tukang Bikin’, Farihan Bahron, semasa majlis pelancaran buku kanak-kanak itu pada 22 November. - Foto AMIRUL HAKIM

Baru-baru ini, lima buku siri Bidin Si Tukang Bikin hasil karya penulis tanah air, Farihan Bahron telah berjaya dilancarkan dan diterbitkan Unggun Creative.

Projek penerbitan karya cerita kanak-kanak ini menerima sokongan daripada Dana Kedwibahasaan Lee Kuan Yew.

Sebanyak lima tajuk berbeza yang dihasilkan dalam siri ini, Bidin Bikan Baju Berkipas, Bidin Bikin Basikal Belon, Bidin Bikin Gasing Berpusing, Bidin Bikin Wau Bulan dan Bidin Bikin Aiskrim Sambal.

Sebanyak lima buku cerita yang dihasilkan dalam siri ini, ‘Bidin Bikan Baju Berkipas’, ‘Bidin Bikin Basikal Belon’, ‘Bidin Bikin Gasing Berpusing’, ‘Bidin Bikin Wau Bulan’ dan ‘Bidin Bikin Aiskrim Sambal’ , disokong Dana Kedwibahasaan Lee Kuan Yew.
Sebanyak lima buku cerita yang dihasilkan dalam siri ini, ‘Bidin Bikan Baju Berkipas’, ‘Bidin Bikin Basikal Belon’, ‘Bidin Bikin Gasing Berpusing’, ‘Bidin Bikin Wau Bulan’ dan ‘Bidin Bikin Aiskrim Sambal’ , disokong Dana Kedwibahasaan Lee Kuan Yew. - Foto AMIRUL HAKIM

Projek yang berjalan sepanjang dua tahun, sejak 2023, secara tidak langsung mencerminkan komitmen dan kesungguhan ekosistem penulisan dan penerbitan dalam menghasilkan karya sastera kanak-kanak bahasa Melayu yang bermutu.

Sasterawan Muda Mastera Terjun Dalam Sastera Kanak-Kanak

Farihan merupakan seorang penulis yang tidak asing di Singapura.

Beliau merupakan seorang penulis yang cukup prolifik dan telah merangkul beberapa anugerah yang berprestij.

Antaranya ialah Anugerah Pena Emas, Hadiah Sastera Singapura, Anugerah Persuratan.

Malah, beliau juga telah dianugerahkan Anugerah Harapan dan Anugerah Penghargaan Sasterawan Muda Mastera.

Farihan memang cukup mesra dengan karya-karya bergenre novel, cerpen, puisi dan seni kata dikir barat.

Karya-karyanya sering tertumpu untuk bacaan golongan para pelajar dan peringkat dewasa.

Justeru itu, keputusannya untuk menceburi bidang penulisan cerita kanak-kanak merupakan satu langkah yang baru.

Menurut Farihan, peralihan kepada bidang sastera kanak-kanak membawa cabaran yang baru dan berbeza.

Sementelahan beliau sudah terbiasa dengan gaya dan corak penulisan cerpen atau puisi bagi peringkat yang lebih tinggi.

Penulisan cerita kanak-kanak ini tidak semudah yang kita sangka.

Ia memerlukan ketelitian yang lebih tajam dalam proses pertukangan cerita dan pemilihan kata agar sesuai dibaca oleh golongan kanak-kanak.

Proses penulisan buku kanak-kanak ini juga memerlukan fokus dan komitmen yang tertumpu.

Farihan turut berkongsi bahawa antara cabaran menyiapkan lima buah buku kanak-kanak ini ialah tatkala beliau harus berbahagi masa dan tumpuan antara penulisan buku kanak-kanak ini, penghasilan karya-karya kreatif yang lain sambil menjalani pengajian Ijazah Sarjana Sastera dalam Pengajian Melayu di Universiti Malaya yang baru sahaja beliau tamatkan.

Justeru, kesungguhan Farihan dalam menghasilkan karya sastera kanak-kanak memberi penanda bahawa perlu adanya komitmen yang lebih serius dalam memartabatkan sastera kanak-kanak ini.

‘Bidin Si Tukang Bikin’ Simbol Kebijaksanaan

Dalam kata alu-aluannya, Dr Noridah Kamari, selaku pengasas bersama Unggun Creative, beliau memberi sedikit singkapan tentang sastera Melayu kanak-kanak.

Cerita Melayu kanak-kanak atau cerita rakyat lazim mewujudkan watak yang melambangkan kecerdikan dan kebijaksanaan.

Watak-watak terkenal yang pernah dihidupkan seperti Sang Kancil bukan sahaja menarik dari sudut tingkah atau ragamnya, malah, menggambarkan nilai kepandaian dan kebijaksanaan yang terpahat dalam akal budi Melayu.

Lantaran itu, sebagai penerbit buku siri Bidin Si Tukang Bikin, beliau melihat kesejajaran dalam perihal mengangkat nilai dan sisi kebijaksanaan yang terkandung dalam siri ini.

Dengan lima tajuk yang berputar pada tema-tema dan jalan cerita yang berbeza, Dr Noridah bukan sahaja melihat cerita-cerita ini mampu untuk menarik minat kanak-kanak, malah, ia juga dapat menjadi sumber inspirasi kepada kanak-kanak dengan nilai kebijaksanaan yang diangkat.

Menutup bicara, beliau mengharapkan agar siri buku ini disambut baik oleh masyarakat dan dapat menjadi bahan bacaan yang bermutu sekaligus dapat mendorong pemikiran kanak-kanak.

‘Bidin Si Tukang Bikin’ Pemangkin Proses Pemerolehan Bahasa

Majlis pelancaran ini diserikan lagi dengan kehadiran Profesor Madya Dr Mohd Mukhlis Abu Bakar, Ketua Jabatan Bahasa dan Kebudayaan Asia, Institut Pendidikan Nasional (NIE) sebagai tetamu terhormat.

Dr Mukhlis sebagai seorang pakar bahasa turut meluahkan rasa bangga dan suka citanya dengan penghasilan buku kanak-kanak yang lumayan.

Dalam ucaptamanya, Dr Mukhlis, berkongsi bahawa penguasaan bahasa kanak-kanak ini memerlukan kepada proses pemerolehan bahasa yang mencukupi.

Beliau berkongsi satu dapatan kajian yang menunjukkan bahawa terdapat lebih banyak buku cerita bahasa Inggeris berbanding buku cerita bahasa Melayu di rumah-rumah orang Melayu.

Justeru, ini menunjukkan bahawa pendedahan terhadap bahasa Melayu bagi kanak-kanak masih berada pada tahap yang tidak memuaskan.

Bagi proses pemerolehan bahasa untuk berlangsung dengan efektif, pendedahan seperti bahan bacaan dan penggunaan bahasa secara harian harus ditingkatkan dengan lebih banyak lagi.

Dengan pelancaran lima buku ini, Dr Mukhlis melihat bahawa usaha ini akan memudahkan lagi pendedahan bahasa Melayu itu sendiri dan secara tidak langsung membantu untuk mendorong proses pemerolehan bahasa dalam diri kanak-kanak.

Dr Mukhlis juga turut mencerahkan bahawa dengan lebih banyak bahan bacaan yang dihasilkan, ini juga mendorong proses pertukaran idea antara anak-anak dan ibu bapa apabila buku ini dibacakan secara terpandu bersama ibu bapa.

Namun, Dr Mukhlis menegaskan bahawa dalam proses bacaan terpandu itu, ibu bapa usahlah terlampau menitikberatkan sebutan kanak-kanak hingga kerap memfokuskan kepada kesilapan mereka.

Menurut beliau, ini akan mematikan rasa minat kanak-kanak terhadap bahasa dan akan menghambatkan proses pemikiran mereka.

Pemerolehan bahasa itu akan menjadi efektif tatkala kanak-kanak mampu menikmati bahan bacaan yang tersedia dan sekaligus ia dapat mengalunkan minda mereka dalam bahasa tersebut.

Malah, bahan bacaan seperti ini akan dapat mengembangkan minda kanak-kanak lantaran ia dapat memacu daya imaginasi dan rasa keterkaitan mereka dengan cerita yang dibaca.

Terakhir sekali, Dr Mukhlis menyanjung tinggi usaha penghasilan cetakan buku kanak-kanak bergambar ini kerana ia mampu untuk mendukung pembelajaran mereka secara holistik.

Dengan perkembangan teknologi mutakhir ini, bahan bacaan bercetak menawarkan alternatif sebagai bahan pembelajaran yang memberi kesan lebih berpanjangan.

Sesi bercerita semasa majlis pelancaran siri Bidin Si Tukang Bikin.
Sesi bercerita semasa majlis pelancaran siri Bidin Si Tukang Bikin. - Foto AMIRUL HAKIM

Majlis pelancaran ini juga diakhiri dengan sebuah sesi bercerita oleh Cikgu Hira, pengasas @padasuatuharisg.

Sesi yang dikendalikan oleh Cikgu Hira ini menceritakan buku Bidin Bikin Wau Bulan kepada kanak-kanak yang hadir dengan cara yang interaktif.

Sesi bercerita sebegini yang menggunakan elemen lagu dan prop, serta huraian lanjut oleh pencerita sangat ampuh dalam membantu kanak-kanak menikmati sekaligus menggarap inti pati dalam buku cerita tersebut.

Pada 2025, sudah lebih daripada 10 buah buku cerita Melayu kanak-kanak yang telah diterbitkan, termasuklah siri Bidin Si Tukang Bikin.

Ini jelas mencerminkan peningkatan terhadap kesedaran dalam kalangan penulis tempatan akan kepentingan sastera kanak-kanak.

Tidak dapat kita sangkal bahawa bahan bacaan yang berkualiti dan banyak dapat merangsang minat, penguasaan bahasa dan juga pemikiran kanak-kanak.

Dengan penghasilan cerita kanak-kanak yang lebih banyak dan rencam, ia akan memperkaya daya kognitif dan bahasa kanak-kanak melalui interaksi antara pengalaman dan imaginasi mereka.

Kini, buku siri Bidin Si Tukang Bikin sudah boleh didapatkan melalui laman web Unggun Creative, aplikasi Shopee dan Tiktok.

Penulis seorang mahasiswa jurusan Pengajian Melayu di Universiti Malaya. Beliau telah dilantik sebagai Sahabat Sastera 2023 oleh Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS) dan bergiat aktif dalam bidang penulisan kreatif.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg