Setiap hujung tahun, Singapura dan negara di rantau ini mengalami musim Monsun Timur Laut yang menyebabkan hujan lebat berserta angin kencang hampir saban hari.

Menurut Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA), Disember merupakan bulan yang paling basah, dan mempunyai suhu minimum kedua terendah dalam setahun, iaitu sekitar 23.5 darjah Celsius.

Bulan yang mempunyai suhu terendah dalam setahun ialah Januari dengan 23 darjah Celsius.

Dengan cuaca dingin sebegini, ada yang memilih untuk menukar gaya pakaian mereka kepada yang lebih tebal untuk menghangatkan tubuh.

Dalam bahasa Inggeris, pakaian yang direka khusus untuk mengekalkan haba badan dan melindungi pemakainya daripada suhu rendah atau keadaan sejuk, dipanggil warm clothes.

Istilah lawannya, cooling clothes pula merujuk kepada pakaian yang direka untuk membantu pemakai berasa lebih dingin dan peluh dapat menyejat dengan senang sewaktu cuaca panas.

Pada erti kata yang lebih mudah, warm clothes jika diterjemahkan dalam bahasa Melayu ialah baju panas dan cooling clothes ialah baju sejuk.

Namun, adakah kedua-dua baju sejuk dan baju panas dalam bahasa Melayu sama maknanya dengan bahasa Inggeris?

Sama makna meski lain istilah

Sebenarnya, istilah ‘baju sejuk’ dan ‘baju panas’ tidak ada perbezaan makna dalam bahasa Melayu.

Kedua-duanya menurut Kamus Bahasa Dewan dan Pustaka (DBP) bermaksud baju yang dipakai untuk memanaskan badan pada cuaca sejuk.

Ini lain dengan bahasa Inggeris yang membezakan takrifan antara baju sejuk dengan baju panas, seperti yang dinyatakan di atas.

Cuaca tropika di Singapura dan Nusantara ini yang mempunyai suhu tinggi dan stabil sepanjang tahun, serta ketiadaan perubahan musim ketara berkemungkinan menyebabkan tiada keperluan ‘baju sejuk’ dan ‘baju panas’ memiliki makna yang khusus.

Pakaian yang kita gunakan sepanjang tahun rata-rata jenis yang sama, iaitu tipis, ringan dan mudah menyerap peluh.

Sekali sekala sahaja, apabila suhu cuaca menurun, pakaian yang lebih tebal akan digunakan.

Ketidakperluan untuk mencipta nama am atau takrifan yang khusus kepada sesuatu benda atau perkara lazimnya berkait rapat dengan konteks budaya, persekitaran, serta keperluan komunikasi masyarakat penuturnya.

Bahasa berkembang mengikut tuntutan kehidupan harian penggunanya.

Jika sesuatu objek atau perkara tidak memainkan peranan penting atau tidak sering ditemui dalam rutin harian, bahasa tersebut tidak akan ada perkataan khusus (bagi merujuk kepada objek atau perkara yang dimaksudkan).

Lantas, penggunaan istilah yang sedia ada akan dipukul rata maksudnya, atau dipinjam daripada bahasa lain.

Ini sudah memadai untuk menyampaikan makna.

Oleh yang demikian, masyarakat Melayu lebih cenderung menggunakan ‘baju sejuk’ dan ‘baju panas’ secara silih berganti dan tidak meletakkan pengkhususan makna kepada kedua-dua istilah itu.

Penambahan kata ‘musim’

Bagaimanapun, penambahan kata ‘musim’ kepada ‘baju sejuk’ dan ‘baju panas’, boleh membawa makna yang berlainan.

Misalnya ‘baju musim sejuk’ merujuk kepada baju yang selesa dipakai dalam keadaan cuaca yang dingin, biasanya pada musim sejuk di negara beriklim dan baju musim panas pula sesuai digayakan semasa cuaca panas atau musim panas.

Kata pinjam bagi jenis baju sejuk

Jika kita lihat kepada perbendaharaan kata Melayu, kebanyakan jenis baju musim sejuk diserap daripada bahasa Inggeris, dengan hanya menyesuaikan bunyi dan ejaannya supaya selaras dengan bunyi dan ejaan Melayu.

Gaya fesyen jaket berhud ini diserap daripada bahasa Inggeris iaitu ‘jacket’ dan ‘hood’.
Gaya fesyen jaket berhud ini diserap daripada bahasa Inggeris iaitu ‘jacket’ dan ‘hood’. - Foto PIXABAY

Contohnya perkataan ‘jaket’, diserap daripada bahasa Inggeris, jacket; ‘kardigan’ (cardigan); ‘kot’ (coat), ‘hud’ (hood) dan ‘kot trenc’ (trench coat).

Sebab kata serapan terjadi adalah sama dengan istilah ‘baju sejuk/panas’ yang dijelaskan di atas, iaitu tiada keperluan memberikan nama am atau khusus kepada benda atau perkara yang di luar pakaian harian masyarakat penutur Melayu.

Sweater dalam bahasa Melayu dieja dan disebut sama seperti kata asalnya dalam bahasa Inggeris.
Sweater dalam bahasa Melayu dieja dan disebut sama seperti kata asalnya dalam bahasa Inggeris. - Foto PIXABAY

Malah, perkataan ‘sweater’ dieja dan disebut sama seperti kata asalnya dalam bahasa Inggeris kerana sifat keantarabangsaan penggunaannya.

Kesimpulan

Kesimpulannya, istilah ‘baju sejuk’ dan ‘baju panas’ boleh digunakan silih berganti kerana mempunyai takrifan yang sama.

Jenis pakaian yang berkaitan dengan ‘baju sejuk/panas’ kebanyakannya dipinjam dan diserap daripada bahasa Inggeris, memandangkan pakaian ini bukanlah pakaian harian maka tidak perlu mencipta istilah Melayu yang baru dan khusus.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti
Laporan berkaitan